Kluster Menteri menyertai Kluster White House menunjukkan keperluan untuk para pemimpin kerajaan menjadi tauladan yang baik kepada rakyat bagi membolehkan negara kita bersatu padu dalam melawan penularan wabak Covid-19

Malaysia baru sahaja menyertai Amerika Syarikat dengan merekodkan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pimpinan tertinggi kerajaan -- dengan Kluster Menteri kita, yang kini bersama dengan Kluster White House dalam menunjukkan risiko jawatan tinggi.

Di Malaysia, Kabinet telah terkesan apabila seorang Menteri disahkan dijangkiti Covid-19 dengan lima orang menteri, termasuklah Perdana Menteri sendiri terpaksa menjalani kuarantin di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dari Rumah Kediaman (HSO) di bawha arahan Kementerian Kesihatan.

Di Washington, Presiden AS, Donald Trump telah kembali daripada Pusat Rawatan Tentera Kebangsaan Walter Reed ke White House -- yang baru-baru ini menjadi pusat penularan wabak Covid-19 akibat tidak meremehkan langkah-langkah pencegahan -- dalam satu cubaan untuk menunjukkan kekuatan beliau. Namun begitu, walaupun setelah sekian lama menafikan keseriusan wabak ini, terdapat lebih daripada 200,000 rakyat Amerika yang telah terkorban akibat Covid-19, dengan lebih daripada 7.5 juta yang dijangkiti, bersama-sama dengan lebih satu dozen pegawai tinggi Trump juga disahkan positif.

Walaupun Trump bukanlah pemimpin dunia pertama yang dijangkiti Covid-19 -- Presiden Brazil Jair Bolsonaro dan Perdana Menteri United Kingdom Boris Johnson juga telah dijangkiti wabak ini -- apakah pengajaran yang boleh kita dapatkan daripada jangkitan Covid-19 dalam kalangan pimpinan tertinggi sebuah negara.

Sama ada Kluster Menteri mahupun Kluster White House, keutamaan pemimpin kerajaan seharusnya berfokus kepada memastikan wujudnya perpaduan dan azam nasional untuk melawan wabak Covid-19, bukan sebaliknya.

Walaupun berbeza fahaman politik, saya mendoakan semua menteri dan pemimpin politik yang, tidak kira daripada mana-mana parti sekalipun, sihat dan selamat.

Negara kita sedang berhadapan dengan cabaran gelombang ketiga penularan wabak Covid-19, walaupun kita sepatutnya tidak perlu berhadapan dengan gelombang kedua wabak ini sekalipun, apatah lagi gelombang ketiga.

Terdapat peningkatan kes-kes Covid-19 sejurus selepas Pilihan Raya Negeri Sabah yang ke-16 pada 26 September -- yang kini mencatatkan rekod tertinggi baharu sejak kes ini mula dikesan dalam negara pada awal tahun ini.

Semalam, sejumlah 432 kes baharu telah dilaporkan, pada hari Ahad (4 Oktober) 293 kes, Sabtu (3 Oktober) 317, dan Jumaat (2 Oktober) 287, membawa kepada sejumlah 12,813 kes terkumpul.

Jumlah kes aktif semasa adalah 2,336 dan jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi telah meningkat kepada 32, berbanding dengan lapan pada hari Isnin lepas.

Amerika Syarikat sepatutnya menunjukkan kepimpinan dalam melawan wabak koronavirus ini tetapi negara tersebut berada dalam bencana, dengan mencatatkan jumlah jangkitan dan kematian yang tertinggi di seluruh dunia, 7,679,644 kes dan 215,032 kematian.

Walaupun kita telah berjaya mengawal gelombang kedua penularan wabak Covid-19 ini, kita kini berhadapan dengan cabaran yang dibawa oleh gelombang ketiga pula.

Kita berada di tempat ke-31 di Asia, dari segi jumlah kes Covid-19 terkumpul. Tetapi kita perlu sentiasa beringat yang kita sepatutnya berada pada kedudukan yang lebih baik berbanding dengan negara-negara yang mempunyai lebih ramai penduduk, seperti Thailand yang berada di kedudukan ke-37 dan Vietnam yang berada di kedudukan ke-41.

Di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu hari ini, Kesatuan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan yang kira-kira seorang dalam sepuluh orang mungkin telah dijangkiti oleh koronavirus ini, mendedahkan sejumlah besar populasi dunia kepada risiko jangkitan Covid-19.

Angka ini amatlah merisaukan, memandangkan perkara ini bermakna hampir 780 juta orang telah dijangkiti wabak ini, 10 peratus daripada populasi dunia sebanyak 7.8 bilion orang -- jumlah yang sangat berbeza dengan jangkaan semasa Covid-19.

Menurut laman web Worldometer, data terkini jumlah kes terkumpul di seluruh dunia semasa adalah 35,701,674 kes dengan 1,045,953 kematian, dan lima negara dengan jumlah kes tertinggi (satu senarai yang sangat berbeza berbanding dengan waktu wabak ini mula menular) adalah seperti berikut:

Negara Jumlah Kes Jumlah Kematian
1. Amerika Syarikat 7,679,644 215,032
2. India 6,685,082 103,600
3. Brazil 4,940,499 146,773
4. Rusia 1,225,889 21,475
5. Colombia 862,158 26,844

Pihak kerajaan perlu segera mengembalikan keyakinan dan kepercayaan rakyat dalam usaha melawan wabak Covid-19 ini dan pemimpin kerajaan juga perlu mematuhi SOP Covid-19 yang mereka telah kenakan kepada rakyat.

Seperti yang dituliskan oleh seseorang semalam: “Kita akan gagal dalam menjalankan kewajipan patriotisme kita jika kita membiarkan pemimpin yang tidak bertanggungjawab melarikan diri tanpa dipertanggungjawabkan.”

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri