Mengapakah kerajaan Muhyiddin terus-menerus merendahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya yang akan mengganggu usaha-usaha untuk menyatupadukan rakyat dalam melawan wabak Covid-19?

Semasa saya menulis kenyataan media saya pada 20 Mac 2020 yang “Perkembangan pandemik Covid-19 di peringkat antarabangsa secara terus-menerus menjadi semakin suram dan tidak menyenangkan”, tidak ada sesiapa yang menjangkakan yang perkembangan ini akan bertambah buruk, enam bulan kemudian.

Semasa itu, Itali telah mencatatkan rekod baharu dengan 3,405 kematian akibat Covid-19, mengatasi 3,248 kematian di China di mana virus tersebut mula muncul.

Penularan wabak ini di Itali berlaku pada kadar yang sangat pantas dan mengerikan, walaupun selepas negara tersebut melaksanakan sekatan pergerakan. Dengan peningkatan jumlah kematian, upacara pengebumian tradisional terpaksa diharamkan memandangkan terdapat sekatan daripada sebarang perhimpunan.

Pada 20 Mac, Itali mencatatkan 902 kematian dalam tempoh dua hari sebelum itu sahaja -- satu angka yang tidak dapat dibayangkan ketika itu. Pada masa tersebut, Itali mencatatkan sejumlah 41,035 kes terkumpul, manakala China mencatatkan 80,996 kes terkumpul, dan sejumlah 234,130 kes dicatatkan di seluruh dunia.

Lebih daripada enam bulan kemudian, angka ini kelihatan kecil jika dibandingkan dengan angka jangkitan dan kematian semasa yang dicatatkan oleh sesetengah negara.

Jumlah jangkitan terkumpul di seluruh dunia kini melepasi paras 35 juta jangkitan -- lebih 150 kali ganda jumlah jangkitan di seluruh dunia pada 20 Mac -- manakala wabak ini telah mengorbankan 1,041,823 nyawa di seluruh dunia, lebih dari 114 kali ganda jumlah korban nyawa pada 20 Mac yang mencatatkan 9,112 kematian.

Di Amerika Syarikat, wabak Covid-19 ini telah menjangkiti lebih daripada 7.6 juta orang dan meragut lebih daripada 214,000 nyawa, dengan peningkatan harian lebih daripada 43,000 kes dan 739 kematian sehari mengikut purata minggu lepas.

Angka-angka ini sangatlah besar. Berapa ramaikah lagi yang akan dijangkiti dan menjadi korban sebelum wabak ini akan hanya menjadi sejarah?

Walaupun Malaysia boleh dikatakan sebagai berjaya dalam melawan wabak ini, dengan berjaya mengubah kedudukan negara kita, daripada negara ke-18 dengan jumlah kes tertinggi ke tempat ke-96, dan daripada tempat ke-33 dengan jumlah korban nyawa tertinggi kepada tempat ke-101, kita tidak boleh leka dengan wabak ini.

Apa yang ironinya, tiga pemimpin utama dunia yang tidak mengambil serius mengenai wabak ini kini memimpin ketiga-tiga negara yang mencatatkan kadar kematian tertinggi, mereka adalah, Donald Trump, Presiden Amerika Syarikat yang kini berada di tempat pertama dengan 7.46 juta kes dan 214,611 kematian, di mana beliau, isteri beliau, dan beberapa pegawai tinggi beliau didapati positif dengan jangkitan Covid-19; Jair Bolsonaro, Presiden Brazil, yang kini mencatatkan lebih daripada 4.9 juta kes Covid-19 dengan lebih daripada 146,000 kematian; dan Lopex Obrador, Presiden Mexico, yang kini berhadapan dengan 761,000 kes dan lebih daripada 79,000 kematian.

Kita tidak boleh lupa bahawa negara kita sepatutnya berada dalam keadaan yang lebih baik, kerana kita tidak mempunyai sebarang sebab untuk berada di belakang Thailand, yang kini hanya mencatatkan sebanyak 3,590 kes dan 59 kematian -- berbanding dengan 12,381 kes positif dan 127 kematian di Malaysia -- memandangkan Thailand mempunyai lebih daripada dua kali ganda jumlah penduduk di Malaysia.

Kerana inilah rakyat Malaysia perlu bertanya kepada kerajaan Muhyiddin, mengapakah kerajaan Muhyiddin terus-menerus merendahkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya yang akan mengganggu usaha-usaha untuk menyatupadukan rakyat dalam melawan wabak Covid-19?

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mempengerusikan satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 pada hari Sabtu lepas, namun begitu, dengan jelas sekali, Ketua Menteri Pulau Pinang dan Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan tidak ada dalam mesyuarat ini.

Saya bertanyakan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, mengapa beliau tidak menghadiri mesyuarat ini dan beliau menjawab yang beliau tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkaitan Covid-19 ini.

Saya masih lagi ingat kegelisahan yang kemudiannya disusuli dengan permohonan maaf daripada Ketua Setiausaha Negara, Zuki Ali, kerana tidak menjemput pemimpin negeri Pakatan Harapan ke mesyuarat khas pertama yang dipengerusikan oleh Muhyiddin selepas beliau menjadi Perdana Menteri.

Mengapakah kerajaan Perikatan Nasional memutuskan untuk bermain politik lagi, dan bukannya menunjukkan tauladan untuk menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira parti politik dalam usaha melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 ini?

Isu berbangkit yang kekal menjadi misteri sehingga hari ini adalah mengapa kes mudah seperti pengingkaran SOP Kuarantin Covid-19 oleh Menteri Industri Perladangan dan Komoditi mengambil masa yang amat lama, dengan pihak Polis mengulangi jawapan yang sama, mengatakan kes ini masih dibawah siasatan.

Saya seru Perdana Menteri untuk menekankan kepada Kabinet, mengenai kepentingan untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada kerajaan dalam usaha melawan gelombang ketiga penularan wabak Covid-19 di Malaysia. Adakah beliau akan dan mampu berbuat demikian?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri