Seruan supaya Kabinet meluluskan peruntukan khas untuk melawan gelombang ketiga wabak Covid-19 pada mesyuarat hari Rabu ini
Mesyuarat Kabinet pada hari Rabu ini perlu meluluskan peruntukan khas untuk melawan gelombang ketiga wabak Covid-19.
Semalam, rekod baharu dicatatkan dengan 317 kes jangkitan baharu, memecahkan rekod tertinggi sehari sebelumnya, lantas membawa jumlah kes aktif dalam negara kepada 1,735 kes.
Hospital Sungai Buloh sedang bersiap-sedia untuk berhadapan dengan satu lagi gelombang jangkitan Covid-19 sebagai sebuah “hospital Covid-19 sahaja” dan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah juga telah membunyikan semboyan untuk para petugas barisan hadapan untuk bersedia dengan satu lagi peperangan melawan wabak ini.
Dalam laman Twitter beliau semalam, Dr Noor Hisham telah memberitahu para petugas barisan hadapan, diterjemahkan: “Kepada semua para petugas barisan hadapan, kita mempunyai perjuangan yang besar yang sedang menanti kita. Seluruh negara bergantung kepada kita walaupun selepas melalui malam demi malam yang tanpa tidur dan dengan keletihan, lapkan air mata anda, bertabah, marilah kita mendatarkan lekuk penularan ini semula”.
Seruan Dr Noor kepada para petugas barisan hadapan ini perlu didengari oleh semua rakyat Malaysia juga, untuk kita semua bersama-sama melawan penularan wabak ini.
Kini, rakyat Malaysia mempunyai kesedaran yang lebih tinggi dalam berhadapan dengan gelombang ketiga penularan wabak ini, berbanding dengan semasa kita berhadapan dengan gelombang pertama dah kedua penularan wabak ini sembilan bulan yang lepas.
Kerana inilah terdapat perasaan marah dalam kalangan rakyat terhadap para ahli politik yang telah melanggari SOP melawan wabak ini sedangkan mereka sepatutnya menjadi contoh tauladan yang baik kepada rakyat.
Dalam tempoh sembilan bulan yang lalu, banyak pengajaran dapat dipelajari mengenai wabak Covid-19 ini.
Marilah kita di Malaysia terus mempelajari dan meneladani perbuatan yang baik, dan meninggalkan semua yang buruk, seperti mana contoh terburuk yang ditunjukkan oleh Presiden AS Donald Trump yang semalam telah disahkan dijangkiti wabak Covid-19.
Kerajaan perlu memastikan yang rakyat percaya dan yakin dengan kebolehan kerajaan untuk melawan wabak ini, bagi membolehkan kita semua bersatu-padu bersama untuk melawan wabak ini dan bukannya berpecah belah dengan rakyat berasa tidak yakin dan ragu-ragu dengan tindakan kerajaan.
Kerana inilah Menteri, Timbalan Menteri, dan para pemimpin politik tidak boleh membuat contoh tauladan yang buruk, di mana mereka menyuruh rakyat untuk berbuat satu perkara sedangkan mereka sendiri membuat perkara yang bertentangan, dan kerana ini jugalah, kes di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan Industri, Khairuddin Aman Razali yang telah mencabuli SOP kuarantin Covid-19 sejurus selepas pulang daripada Turki pada 7 Julai lalu perlu dimuktamadkan dengan sewajarnya.
Bagaimanakah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mahu memastikan rakyat jelata semua mematuhi SOP Covid-19 sedangkan orang-orang kenamaan seperti menteri beliau sendiri, Khairuddin, boleh melanggari SOP ini tanpa sebarang hukuman?