Noor Hisham mengatakan yang negara kita sedang berhadapan dengan “gelombang baharu” penularan kes Covid-19 -- adakah ini gelombang kedua ataupun ketiga kita?

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah semalam telah mengatakan yang negara kita sedang berhadapan dengan “gelombang baharu” penularan wabak Covid-19 memandangkan jumlah kes baharu terus-menerus meningkat.

Beliau berkata dalam satu sidang media semalam: “Jika kita melihat pada carta, kita mendapati peningkatan kes kebelakangan ini. Ini mungkin permulaan satu gelombang baharu.”

Jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam telah mencecah tahap 260 kes -- jumlah tertinggi yang dicatatkan sejak daripada 4 Jun.

Tetapi, adakah Malaysia sedang berhadapan dengan gelombang kedua ataupun yang ketiga?

Para Menteri Perikatan Nasional yang tidak bertanggungjawab sering mendakwa yang negara kita akan berhadapan dengan lebih banyak jangkitan dan kematian akibat Covid-19 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan.

Namun, kebenarannya amatlah berbeza.

Di bawah Menteri Kesihatan Pakatan Harapan, Dzulkefly Ahmad, sebelum berlakunya Langkah Sheraton pada 23 Februari 2020 dan sebelum negara kita dilanda oleh gelombang kedua wabak Covid-19 ini, Malaysia mempunyai rekod yang baik dalam menguruskan wabak ini.

Sebelum Langkah Sheraton, Malaysia mencatatkan sejumlah 21 kes Covid-19 terkumpul dengan sifar kematian setakat 15 Februari, dengan hanya satu kes baharu di antara 16 ke 26 Februari yang membawa jumlah terkumpul kes positif kepada 22 kes.

Rekod Malaysia semasa itu (di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan) adalah antara yang terbaik di ASEAN, lebih baik daripada situasi di Thailand.

Pada waktu tersebut, Thailand mencatatkan 35 kes positif pada 15 Februari, dan sejumlah 40 kes terkumpul pada 26 Februari -- mengatasi jumlah kes di Malaysia pada kedua-dua tarikh.

Gelombang kedua wabak Covid-19 bermula di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional, dengan jumlah kes dalam negara kita mengatasi rekod Thailand buat pertama kalinya pada 4 Mac dengan 50 kes berbanding dengan 43 kes di Thailand.

Semasa Kabinet PN dibentuk pada 7 Mac, negara kita mencatatkan sejumlah 93 kes, dengan 10 kes baharu dan sifar kematian, manakala Thailand pula mencatatkan sejumlah 50 kes, dua kes baharu, dan satu kematian pada hari yang sama.

Semasa gelombang kedua wabak Covid-19 ini memuncak di Malaysia pada 3 April 2020, wabak ini telah menjangkiti 3,333 orang dan mengorbankan 53 nyawa, berbanding dengan 1,978 jangkitan dan 19 kematian di Thailand.

Jurang ini terus membesar sejak daripada hari tersebut, kini Malaysia mencatatkan sejumlah 11,484 kes dengan 136 kematian berbanding dengan 3,575 kes dan 59 kematian di Thailand.

Semasa gelombang pertama wabak Covid-19 yang berlaku di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, negara kita mencatatkan rekod yang lebih baik berbanding dengan Thailand yang mempunyai dua kali lebih ramai penduduk berbanding dengan Malaysia.

Namun, dalam gelombang kedua wabak ini yang berlaku di bawah pemerintahan Perikatan Nasional, situasi ini telah terbalik dan Malaysia kini mencatatkan sejumlah 11,484 kes dengan 136 kematian berbanding dengan 3,575 kes dan 59 kematian di Thailand.

Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali, pernah mengakui dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight pada 27 Julai 2020 yang negara kita sedang menghadapi gelombang kedua wabak Covid-19 ini.

Beliau berkata: “Apa yang kita sedang hadapi sejak bulan Mac sehingga hari ini adalah gelombang kedua.”

Beliau mengatakan yang Malaysia berhadapan dengan gelombang pertama yang agak kecil pada akhir bulan Januari dalam kalangan pesakit daripada China yang pada masa tersebut merupakan pusat penularan utama wabak ini.

Beliau berkata yang gelombang kedua ini bermula pada bulan Mac, dalam bulan yang sama di mana kerajaan mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan. Sekatan pergerakan ini berjaya dalam mengekang penularan wabak ini lantas membolehkan kerajaan untuk “meratakan lekuk” penularan wabak ini, kata beliau lagi.

Ahli-ahli politik dalam Perikatan Nasional tidak boleh terus melemahkan kebolehan dan profesionalisme sektor perkhidmatan awam negara, terutamanya pimpinan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah -- yang telah dianugerahkan Tan Sri sebagai perhargaan kepada kepimpinan beliau dalam memimpin negara kita melawan wabak Covid-19.

Jika dibandingkan dengan negara seperti Amerika Syarikat dan negara-negara lain di Amerika Selatan, Eropah, Asia, Afrika, dan Timur Tengah, kita telah berjaya -- tetapi jika dilihat dengan rekod Dzulkefly sebagai Menteri Kesihatan bersama dengan kerajaan Pakatan Harapan, besar kemungkinannya yang Pakatan Harapan dapat memberikan hasil yang lebih baik berbanding dengan kerajaan Perikatan Nasional.

Mungkin, dengan pimpinan Dzulkefly dan kerajaan Pakatan Harapan, tanpa berlakunya Langkah Sheraton, kita akan mempunyai rekod yang lebih baik berbanding dengan Thailand dalam melawan wabak Covid-19, memandangkan jumlah penduduk di Malaysia adalah kira-kira setengah jumlah penduduk di Thailand, jika kita berjaya mengelakkan daripada berlakunya gelombang kedua di bawah sebuah kerajaan pintu belakang.

Akibat Langkah Sheraton dan kerajaan pintu belakang ini, sedangkan seluruh dunia sedang risau mengenai gelombang kedua penularan wabak Covid-19, kita perlu merisaukan mengenai penularan gelombang ketiga!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri