Mengejutkan apabila SPRM sendiri terkejut yang badan tersebut mempunyai masalah persepsi awam terhadap kebebasan dan professionalismenya
Hari ini, Suruhanjaya Pencegarahan Rasuah Malaysia (SPRM) meraikan ulang tahun ke-53 penubuhan badan tersebut, dan salah satu cabaran utama yang masih membelenggu badan tersebut adalah masalah kekurangan keyakinan awam terhadap kebebasan dan kebolehan badan tersebut untuk melaksanakan tugasnya secara profesional tanpa sebarang gangguan daripada “pihak luar”.
Namun, apa yang mengejutkan adalah apabila SPRM sendiri kelihatan terkejut mengenai perkara ini seperti yang dikatakan oleh Pengerusinya, Azam Baki.
Bukti-bukti yang menunjukkan kekurangan keyakinan awam terhadap kebebasan dan kebolehan SPRM untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan profesional ini banyak, tetapi sepuluh perkara berikut sepatutnya memadai untuk menjelaskan perkara ini kepada Azam:
- Ketiadaan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri semasa sambutan ulang tahun ke-53 SPRM ini.
- Penumbangan kerajaan Pakatan Harapan yang berusia 22 bulan yang komited terhadap usaha-usaha membanteras rasuah dan kleptokrasi oleh sebuah kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional yang tidak berpegang kepada komitmen ini. Malah lebih buruk lagi, kerajaan ini kini bergantung kepada sokongan sebuah parti politik yang mana para pemimpinnya bersaing memegang rekod kesalahan rasuah terbanyak dan sebuah lagi parti politik yang percaya yang seseorang itu perlu dipilih sebagai pemimpin walaupun korup, asalkan mereka percaya kepada agama yang sama.
- Kabinet terbesar dalam sejarah, dengan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri yang paling ramai, berserta dengan pelantikan politik ke dalam syarikat-syarikat (GLC, GLIC) dan agensi-agensi milik kerajaan -- meletakkan negara kita ke arah sebuah kakistokrasi.
- Sebuah Kabinet yang dibelenggu dengan masalah rasuah dan kleptokrasi -- dengan sebuah badan SPRM yang cuba untuk wujud bersama dengan pemimpin negara yang tidak mempunyai komitmen terhadap integriti awam, sehingga mereka tidak percaya kepada kewujudan skandal 1MDB yang dilihat di seluruh dunia sebagai skandal kewangan terbesar.
- Bagaimanakah Malaysia boleh menjadi bebas daripada rasuah dan mempunyai sifar toleransi kepada rasuah, jika kerajaan hari ini boleh diperas ugut sebegitu sahaja oleh enam orang Ahli Parlimen yang sedang berhadapan pertuduhan rasuah yang berat di mahkamah?
- Rekod memalukan dalam melawan rasuah dan politik wang dalam Pilihan Raya Negeri Sabah yang baru sahaja berlangsung beberapa hari yang lepas. Terutamanya laporan oleh Bersih terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengamalkan perbuatan korup semasa pilihan raya ini dengan menyerahkan cek yang bernilai RM60 juta di Beaufort, Sabah.
- Kegagalan selepas 11 tahun, untuk menyelesaikan kes pembunuhan Teoh Beng Hock oleh pegawai SPRM di premis SPRM Selangor.
- Kegagalan untuk mendakwa sebarang pesalah dalam skandal RM70 juta MARA di Australia.
- Malaysia kini menyertai senarai “destinasi berisiko tinggi pengubahan wang haram”.
- Apakah jangkaan Azam mengenai kedudukan negara kita dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI-CPI) 2020 yang akan diterbitkan pada bulan Januari tahun hadapan? Adakah akan terdapat penambahbaikan berbanding dengan kedudukan negara kita pada tempat ke-51 dengan markah 53 dalam TI-CPI 2019 -- yang mencatatkan peningkatan enam mata dan sepuluh kedudukan berbanding dengan kedudukan tahun sebelumnya? Atau adakah kedudukan tahun depan akan merosot teruk jika markah ini turun lebih daripada tiga mata?