Malaysia akan menjadi perbualan berita antarabangsa sekiranya RM81.5 juta yang diperuntukkan untuk pengembalian JASA ini dipindahkan untuk membentuk sebuah Pasukan Tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk menyelesaikan masalah akses internet di kawasan pedalaman Sabah untuk memudahkan proses pembelajaran dalam talian semasa wabak Covid-19

Pada bulan Jun, gadis berusia 18 tahun daripada Kampung Sapatalang, Pitas, Veveonah Mosibin terpaksa meluangkan 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik bagi menduduki peperiksaan atas talian.

Pada malam Isnin yang lepas, satu jambatan gantung yang usang di Kampung Gusi, Ranau, telah runtuh apabila lapan pelajar bersesak di atasnya untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik. Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun telah mengalami kepatahan tulang di peha dan betis beliau, manakala seorang pelajar lelaki mengalami kecederaan tulang belakang, dan selebihnya hanya mengalami kecederaan ringan.

Bilakah insiden seperti ini akan berakhir, terutamanya dalam negara kita berhadapan dengan gelombang ketiga wabak Covid-19, di mana jumlah kes terkumpul di Sabah telah melonjak naik daripada 426 kes dan lapan kematian pada 1 September kepada angka terkini dengan 28,155 kes dan 206 kematian, menyebabkan sekolah ditutup dan kelas dipindahkan ke atas talian?

Menjadi satu tragedi apabila Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan Kerajaan Negeri Sabah tidak mengakui keruntuhan jambatan gantung di Kampung Gusi, Ranau ini sebagai bukti kegagalan mereka untuk merapatkan jurang digital di pedalaman Sabah.

Saya telah mencadangkan yang Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah patut menubuhkan satu pasukan tindakan yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk menjalankan tinjauan di keseluruhan negeri Sabah untuk memastikan tidak ada sesiapa pun lagi perlu meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok atau berkumpul di atas jambatan yang usang untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik untuk mendapatkan akses pendidikan.

Malaysia akan menjadi perbualan berita antarabangsa sekiranya RM81.5 juta yang diperuntukkan untuk pengembalian JASA ini dipindahkan untuk membentuk sebuah Pasukan Tindakan Kerajaan Persekutuan-Negeri yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk menyelesaikan masalah akses internet di kawasan pedalaman Sabah untuk memudahkan proses pembelajaran dalam talian semasa wabak Covid-19.

Pelantikan Veveonah Mosibin untuk mengetuai pasukan tindakan ini akan menjadi bukti komitmen Malaysia terhadap sumbangan daripada golongan wanita, belia, dan minoriti, untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh golongan muda dalam negara kita dalam menggunakan platform pembelajaran atas talian.

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz telah mengumumkan dalam ucapan penggulungan bacaan kedua Belanjawan 2021 beliau yang peruntukan sebanyak RM81.5 juta untuk mengembalikan JASA akan dipotong. Difahami yang peruntukan ini akan dipotong sebanyak RM40 juta.

Perkara ini jelas tidak boleh diterima sama sekali. Keseluruhan daripada sejumlah RM81.5 juta ini sepatutnya dihalakan kepada usaha untuk menyelesaikan masalah sambungan internet di kawasan pedalaman Sabah, terutamanya semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19 di mana pendidikan para pelajar dipindahkan daripada sekolah kepada platform atas talian.

Adakah Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bersedia untuk mengambil langkah yang inovatif dan berani seperti ini untuk menyelesaikan masalah negara?

Sejak negara kita mula dilanda wabak Covid-19, para ibu bapa di Malaysia telah menerima yang pendidikan digital akan menjadi sebahagian daripada norma baharu.

Ahli Parlimen DAP Kulai, Teo Nie Ching, yang merupakan mantan Timbalan Menteri Pendidikan, telah memberitahu Parlimen semasa perbahasan Belanjawan 2021 yang kira-kira 37 peratus atau 1.7 juta pelajar di sekolah Kementerian Pendidikan tidak mempunyai alat telekomunikasi untuk membolehkan mereka menyertai kelas pendidikan atas talian. Mereka tidak mempunyai komputer riba, tablet, atau komputer, yang diperlukan untuk pembelajaran atas talian.

Perkara ini bermakna, kira-kira 1.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah berada dalam kategori “miskin digital”.

Semasa perbahasan Belanjawan, mantan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik (Simpang Renggam) mengatakan yang kerajaan perlu memberikan lebih banyak waktu siaran untuk program pendidikan televisyen memandangkan kelas pendidikan terganggu akibat wabak Covid-19.

Beliau mengatakan, program pendidikan TV hanya disiarkan selama dua jam sehari dalam saluran televisyen arus perdana.

Perkara ini tidak memadai apabila dibandingkan dengan negara yang berjiranan dengan kita, enam jam sehari di saluran TV arus perdana di Indonesia dan Thailand, dengan 15 saluran TV pendidikan.

Inilah masalah-masalah yang perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan dan bukannya dengan bercakap mengenai menghidupkan semula JASA ataupun Program Latihan Khidmat Negara seperti yang diumumkan oleh Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaacob di Parlimen pada hari Selasa lepas.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri