Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu segera menggerakkan satu tinjauan ke seluruh negeri Sabah selama dua minggu yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk memastikan kemalangan seperti keruntuhan jambatan gantung di Kampung Gusi, Rana yang telah mengakibatkan kecederaan kepada para pelajar yang cuba mendapatkan sambungan internet di situ tidak berulang lagi

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu segera menggerakkan satu tinjauan ke seluruh negeri Sabah selama dua minggu yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk memastikan kemalangan seperti keruntuhan jambatan gantung di Kampung Gusi, Rana yang telah mengakibatkan kecederaan kepada para pelajar yang cuba mendapatkan sambungan internet di situ tidak berulang lagi

Kita masih belum mempelajari pengajaran daripada insiden Veveonah Mosibin, di mana seorang gadis berusia 18 tahun daripada Pitas terpaksa meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet untuk menduduki peperiksaan atas talian, walaupun video Youtube yang merakamkan pengalaman beliau ini telah pun mencatatkan 855,231 tontonan.

Kini, tidak sampai enam bulan daripada insiden tersebut, tiga orang pelajar berusia di antara 15 ke 18 tahun di Kampung Gusi di daerah pedalaman Ranau, Sabah, telah mengalami kecederaan teruk apabila jambatan gantung -- yang juga merupakan salah satu daripada beberapa tempat di mana mereka boleh mendapatkan sambungan internet pada waktu malam -- runtuh.

Para pelajar ini berada di atas jambatan gantung Kampung Gusi tersebut pada kira-kira jam 9 malam, apabila jambatan yang dibuat daripada jaring besi dan kayu tersebut runtuh.

Jambatan tersebut berusia kira-kira 10 tahun, dan ia pernah diperbaiki setakat perlu, namun keadaannya masih usang.

Para pelajar ini terjatuh daripada ketinggian kira-kira 19 meter, dengan seorang pelajar perempuan 16 tahun mengalami patah tulang di betis dan peha beliau, manakala seorang pelajar lelaki mengalami kecederaan tulang belakang, dengan pelajar-pelajar lain mengalami kecederaan ringan.

Kampung Gusi terletak kira-kira 80km daripada pekan terdekat, Ranau. Perjalanan ke Ranau ini adalah satu perjalanan dengan kenderaan pacuan empat roda yang mengambil masa selama enam jam, melalui jalan yang berlumpur.

Sabah kini menderita akibat infrastruktur, kemudahan, dan sambungan internet yang tidak memuaskan dan tidak mencukupi, terutamanya di kawasan-kawasan pedalaman Sabah apabila kini sekolah ditutup dan kelas dijalankan secara atas talian, di mana para pelajar terpaksa bergantung kepada sambungan internet.

Pada bulan Jun, pelajar daripada Sabah, Veveonah Mosibin telah mendapatkan perhatian negara apabila beliau menerbitkan video beliau berkhemah di atas pokok berhampiran dengan kampung halaman beliau di Pitas, memandangkan itu adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan sambungan internet yang memuaskan untuk beliau menduduki satu peperiksaan atas talian di universiti beliau.

Veveonah menjadi selebriti kebangsaan, daripada gadis di atas pokok kini beliau menjadi pelajar tajaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), malah beliau juga mendapat peluang untuk makan malam bersama dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sabah pada bulan September lepas.

Namun, sudahkah Perdana Menteri berazam untuk menyelesaikan masalah kekurangan infrastruktur di Sabah ini, terutamanya masalah sambungan internet semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19, di mana sekolah ditutup dan kelas dijalankan secara atas talian?

Keruntuhan jambatan gantung di Kampung Gusi, Ranau ini adalah satu jawapan “tidak” yang sangat jelas!

Janji-janji untuk tindakan yang lebih pantas dan lebih banyak peruntukan untuk merapatkan jurang digital di Sabah, Sarawak, dan Semenanjung Malaysia supaya tidak ada mana-mana pelajar terpaksa meluangkan masa selama 24 jam di atas pokok, atau berkumpul di atas jambatan gantung yang usang untuk mendapatkan sambungan internet yang baik ini masih belum dikotakan.

Apa yang terjadi di Kampung Gusi, Ranau ini menjadi satu titik hitam kepada Kementerian Pendidikan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan Kerajaan Negeri Sabah.

Saya menyeru kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk segera menggerakkan satu tinjauan ke seluruh negeri Sabah selama dua minggu yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk memastikan kemalangan seperti keruntuhan jambatan gantung di Kampung Gusi, Rana yang telah mengakibatkan kecederaan kepada para pelajar yang cuba mendapatkan sambungan internet di situ tidak berulang lagi.

Kejadian di Kampung Gusi ini sepatutnya menjadi peringatan kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Mohd Noor, kepada janji 26 tahun beliau semasa beliau mula-mula bertanding sebagai calon UMNO pada tahun 1994, untuk menyelesaikan masalah kekurangan infrastruktur di Sabah, mengurangkan kadar kemiskinan dan buta huruf di Sabah kepada sifar, dan untuk menghapuskan rasuah dan masalah pendatang tanpa izin di Sabah.

Berdasarkan kepada apa yang dijanjikan oleh Hajiji 26 tahun yang lalu, beliau sepatutnya menjadi yang pertama untuk bertindak terhadap insiden Kampung Gusi ini, memandangkan kemalangan ini tidak akan berlaku sekiranya Hajiji mengotakan janji beliau ini.

Adakah Ketua Menteri Sabah menyokong cadangan penubuhan Pasukan Tindakan Khas Persekutuan-Negeri yang diketuai oleh Veveonah Mosibin untuk mengatasi masalah kekurangan sambungan internet yang dihadapi oleh para pelajar di kawasan pedalaman di Sabah?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri