Adakah Belanjawan 2021 akan ditolak esok dengan Muhyiddin dijatuhkan, menjadi Perdana Menteri terpendek dalam sejarah negara?
Esok dijangkakan menjadi hari utama untuk dua persoalan: Sama ada Belanjawan 2021 dapat diluluskan di Parlimen dan sama ada Muhyiddin Yassin bakal dijatuhkan sebagai Perdana Menteri, menjadi Perdana Menteri dengan tempoh berkhidmat yang terpendek dalam sejarah.
Masih terdapat persoalan, sama ada bacaan kedua Belanjawan 2021 ini akan diundi di Dewan Rakyat esok, memandangkan terdapat ura-ura yang dijadualkan untuk berlangsung pada hari esok ini mungkin akan ditangguhkan ke minggu hadapan.
Namun begitu, pelbagai pergerakan politik telah terserlah dengan isu pengundian Belanjawan 2021 ini, yang dapat dilihat daripada kenyataan bersama luar biasa daripada para menteri dan timbalan menteri yang mengisytiharkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Muhyiddin sehinggalah pilihan raya dapat dilaksanakan selepas wabak Covid-19.
Sesetengah orang mungkin akan tertanya, mengapakah perlu kenyataan luar biasa seperti ini dikeluarkan oleh para menteri dan timbalan menteri, sedangkan perkara ini tidak lain dan dan tidak bukan hanyalah satu bentuk rayuan kepada Parlimen untuk membolehkan mereka terus menjadi menteri dan timbalan menteri. Tetapi, kenyataan ini terus menjadi bukti jelas yang tidak ada sesiapapun, termasuklah Muhyiddin, yang mempunyai kepercayaan majoriti ahli-ahli Parlimen.
Pemain utama dalam plot rumit permainan politik semasa adalah ahli-ahli Parlimen UMNO, yang kini terpisah ke dalam dua kumpulan, antara mereka yang mahu menumbangkan Muhyiddin daripada jawatan Perdana Menterinya dan mereka yang mahu terus kekal komited dengan kerajaan Perikatan Nasional sehinggalah wabak Covid-19 ini cukup reda untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.
Hasilnya, puak UMNO yang mahu menumbangkan kerajaan Muhyiddin ini telah menghantar utusan kepada beberapa orang yang merasakan yang mereka dapat menggunakan keadaan semasa politik ini untuk mendapatkan peluang untuk menjadi Perdana Menteri.
Namun perkara ini hanyalah fantasi dan angan-angan, memandangkan kepimpinan UMNO tidak mahu sesiapa pun menjadi Perdana Menteri melainkan dalam kalangan mereka sendiri.
Apa yang menjadi taruhan pada hari ini bukan sahaja Belanjawan 2021 dan kerajaan pintu belakang Muhyiddin, tetapi juga visi masa hadapan negara kita.
Sembilan bulan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional ini telah menunjukkan perbezaannya dengan 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, di mana kerajaan Perikatan Nasional dapat dilihat mundur ke arah masa lampau kleptokratik dan kakistokratik seperti Barisan Nasional, yang telah ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah pada 9 Mei 2018.
Kemunduran berikut yang berlaku dalam sembilan bulan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional tidak akan sama sekali berlaku sepanjang pentadbiran 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan:
- Kelulusan pindaan perlembagaan negeri Pahang yang mewujudkan lima kerusi ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak diundi, yang memundurkan kemajuan demokrasi di Malaysia;
- Pengembalian Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dengan peruntukan sebesar RM85.5 juta untuk meneruskan kerja kotor JASA memomokkan DAP sebagai Anti-Melayu, Anti-Islam, dan Anti-Raja, dan meneruskan kerja-kerja “pembersihan” skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan menyebar penipuan dan fitnah untuk mengapi-apikan kempen kebencian dan syak wasangka di antara kaum dan agama;
- Intimidasi polis terhadap kesatuan pelajar dan NGO, seperti yang dilakukan kepada presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) dan para pemimpin pelajar yang lain;
- Peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengekang penjualan arak di semua kedai runcit dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur bermula pada 1 Oktober 2021;
- Pengangkatan politik toksik kebencian dan syak wasangka antara kaum dan agama menjadi ideologi kebangsaan; dan
- Pengunduran dalam perjuangan melawan rasuah di pejabat-pejabat awam.
Saya menjangkakan kedudukan dan markah yang lebih teruk dalam Indeks Persepsi Rasuah 2021 Transparency International yang bakal diterbitkan dalam tempoh dua bulan.
Sementara esok mungkin menjadi hari yang penting untuk Belanjawan 2021 dan kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan, kita tidak boleh lupa usaha rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018 yang mahukan sebuah Malaysia Baharu sebagai sebuah negara berkelas dunia yang boleh menggembeleng nilai-nilai terbaik pelbagai kaum, bahasa, budaya, dan peradaban yang bertemu di Malaysia untuk mendapatkan penghormatan daripada seluruh dunia sebagai sebuah negara yang berjaya yang berasaskan perpaduan, demokrasi, keadilan, kebebasan, kecemerlangan, dan integriti dan bukannya dikenali sebagai kleptokrasi global dan kakistokrasi yang menjunam ke arah sebuah negara gagal.
Adakah impian ini telah hilang selamanya?
Adakah Malaysia telah disumpah selamanya untuk menjadi sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, dan sebuah negara yang gagal?
Inilah persoalan yang perlu ditanyakan oleh semua rakyat Malaysia, yang perlu dicari jawapannya bersama.