Malaysia telah mengatasi Singapura dengan lebih banyak jumlah kes terkumpul Covid-19, dua hari lebih awal daripada yang saya jangkakan dan negara kita kini berada di haluan untuk mengatasi kedudukan China sebelum sidang Parlimen berakhir pada pertengahan Disember

Malaysia telah mengatasi Singapura dengan lebih banyak kes terkumpul Covid-19, dua hari lebih daripada jangkaan saya sebelum ini, dan kini dijangkakan akan mengatasi kedudukan China sebelum persidangan Parlimen berakhir pada pertengahan bulan Disember dengan trajektori semasa.

Negara kita kini berada di tempat ke-83 di seluruh dunia dengan sejumlah 58,847 kes terkumpul Covid-19, manakala Singapura pula berada di tempat ke-84 dengan 58,183 kes terkumpul.

China, yang merupakan negara dengan jumlah kes dan kematian akibat Covid-19 terkumpul tertinggi pada awal tahun ini, kini berada di tempat ke-68 dengan 86,464 kes dan 4,634 kematian.

Saya telah menjangkakan yang Malaysia bakal mengatasi kedudukan China menjelang akhir tahun ini, dan kemudiannya mengubah jangkaan saya kepada seminggu lebih awal, kira-kira semasa musim Krismas. Tetapi saya tidak menjangkakan yang peningkatan harian kes Covid-19 ini akan terus memuncak untuk memecahkan siling 2000 angka.

Semalam, Malaysia mencatatkan satu lagi rekod suram apabila Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa terdapat 2,188 kes baharu Covid-19, mencatatkan rekod tertinggi baharu untuk dua hari berturut-turut. Rekod tertinggi sebelum ini adalah 1,884 kes yang dicatatkan sehari sebelumnya.

Angka terkini ini bermakna jumlah kes Covid-19 terkumpul dalam negara kini berada pada tahap 58,847 kes, meletakkan negara kita dalam haluan untuk mengatasi kedudukan China menjelang pertengahan Disember.

Perkara ini adalah hasil kegagalan kerajaan yang mengabaikan nasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggesa kerajaan di seluruh dunia untuk melaksanakan tindak balas dan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam melawan wabak Covid-19 ini, sehinggakan 7,000 doktor am merasakan yang mereka disisihkan daripada usaha melawan wabak ini.

Sebagai contoh, Pengarah WHO Wilayah Asia Tenggara, Dr Poonam Khetrapal Singh telah mengatakan dalam bulan April yang lepas: “Sebuah pendekatan yang lebih komprehensif diperlukan, di mana komuniti menjadi fokus utama respons kita. Yang lebih penting lagi, komuniti perlu dilibatkan dan diperkasakan untuk mengambil respons dan tindakan yang sewajarnya. Semua orang perlu bertanggungjawab. Dalam keadaan semasa ini, semua orang perlu menyumbang untuk mengurangkan impak wabak ini terhadap kesihatan dan aspek sosio-ekonomi.”

Tetapi perkara ini tidak berlaku di Malaysia walaupun selepas sebelas bulan berhadapan dengan wabak Covid-19. Bukan sahaja kita mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang halimunan, tetapi sehinggakan 7,000 orang doktor am kini merasakan yang mereka disisihkan daripada usaha membantu melawan wabak Covid-19 ini.

Ini adalah satu bidang yang Adham Baba patut cuba untuk tambahbaik dalam usaha menguruskan wabak Covid-19 di Malaysia.

Antara perkara di mana Adham boleh uruskan adalah berkongsi beban perkhidmatan-perkhidmatan seperti imunisasi, perkhidmatan x-ray, penjagaan luka, pengurusan ubat jangka panjang, pemeriksaan kesihatan, ujian darah, kes-kes penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, darah tinggi, kolestrol tinggi, obesiti dan lain-lain, rawatan Methadone kepada penagih dadah, dan perkhidmatan ujian ante-natal dan ultrasound untuk mengurangkan beban di hospital dan klinik kesihatan KKM.

Ujian Covid-19 adalah satu lagi perkara di mana rakyat Malaysia boleh membantu.

ADUN DAP Selangor untuk Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran sedang menawarkan ujian Rapid Testing Kit-Antigen (RTK-AG) Covid-19 swasta kepada pihak awam dengan kos yang disubsidi pada harga RM70 untuk satu ujian, yang merupakan satu harga yang jauh lebih rendah berbanding harga di antara RM150 ke RM180 yang dikenakan untuk ujian ini di pusat kesihatan swasta.

Kerajaan boleh menyediakan ujian RTK-AG ini pada kos yang jauh lebih murah jika kerajaan melibatkan doktor-doktor am dalam proses ini.

Dalam penggulungannya di Parlimen, Adham Baba juga perlu memberikan penjelasan kepada kepada persoalan-persoalan seperti berikut untuk untuk menunjukkan sejauh mana kerajaan telah berusaha untuk memanfaatkan doktor am dalam usaha memerangi wabak Covid-19:

  • Jumlah klinik am yang ditutup di seluruh negara kerana Covid-19;
  • Berapa ramai doktor am dan kakitangan mereka yang dijangkiti Covid-19 -- berapa ramai terjangkit secara langsung di klinik;
  • Berapa ramai doktor yang diperintahkan untuk menjalani kuarantin kerana "terdedah" kepada Covid-19; dan
  • Apa tindakan yang diambil oleh KKM untuk mengurangkan jangkitan di kalangan pekerja kesihatan di sektor swasta, jika ada.

Kejadian di mana Jeffrey Kitingan memasuki Dewan Rakyat semalam, sebelum menamatkan tempoh kuarantin selama 14 hari yang sebelum ini dikenakan kepada para pengembara daripada Sabah sebagai sebahagian daripada SOP Covid-19, yang kemudiannya disusuli dengan pengumuman daripada Kementerian Kesihatan mengenai penamatan keperluan tempoh kuarantin 14 hari untuk semua orang yang tiba daripada Sabah ini adalah salah satu sebab mengapa wujudnya apa yang dikatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, sebagai “defisit kepercayaan”, di mana sesetengah orang melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan semasa negara kita berhadapan dengan wabak Covid-19.

Di seluruh dunia, kita masih belum dapat mengawal wabak ini, satu lagi rekod yang suram baru sahaja dicatatkan, dengan kes terkumpul di seluruh dunia memecah rekod 60 juta kes, manakala kematian telah meningkat melepasi paras 1.4 juta korban nyawa.

Negara kita memerlukan satu pelan jangka panjang untuk mengatasi masalah kepada kesihatan awam, ekonomi, sosial, dan usaha pembinaan negara yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini. Apa yang mengejutkan, selepas sebelas bulan berhadapan dengan wabak ini yang mungkin akan berlanjutan sehingga 2022, kita hanya mempunyai rancangan jangka pendek, tanpa sebarang rancangan jangka pertengah dan panjang untuk menguruskan wabak ini.

Bilakah kerajaan boleh membentangkan rancangan jangka pertengahan dan panjang untuk menguruskan wabak Covid-19 ini kepada Parlimen?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri