Adakah Saifuddin Abdullah akan berterus terang di Parlimen esok dalam penggulungan menteri beliau untuk mengakui bahawa kegagalan isu ICERD pada tahun 2018 adalah disebabkan oleh beliau sendiri semasa beliau menjadi Menteri Luar Negeri dalam Kerajaan Pakatan Harapan dan DAP tidak tahu apa-apa mengenai cadangan ratifikasi ICERD ini walaupun DAP yang sering dimomokkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja?

Saifuddin Abdulah akan menggulung perbahasan dalam Belanjawan 2021 esok di Parlimen sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Adakah beliau akan berterus terang di Parlimen esok dalam penggulungan menteri beliau untuk mengakui bahawa kegagalan isu Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Kaum (ICERD) pada tahun 2018 adalah disebabkan oleh beliau sendiri semasa beliau menjadi Menteri Luar Negeri dalam Kerajaan Pakatan Harapan dan DAP tidak tahu apa-apa mengenai cadangan ratifikasi ICERD ini walaupun DAP yang sering dimomokkan sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja?

Saya isu ICERD meletus buat pertama kalinya pada akhir tahun 2018, saya sedang menyertai satu lawatan ke China.

Pada 19 November, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan bahawa ratifikasi ICERD akan memerlukan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang merupakan "perkara mustahil untuk dilakukan" tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen.

Pada 24 November 2018, dalam ucapan di Majlis Makan Malam Tahunan Persatuan Jiansu Malaysia di Souchou, China, saya mengatakan bahawa tidak ada sesiapa pun rakyat Malaysia yang mahu negara kita meratifikasikan ICERD jika harga untuk berbuat demikian adalah satu lagi rusuhan perkauman seperti 13 Mei di negara kita. Kerana tidak ada sebarang keraguan bahawa terdapat unsur-unsur yang tidak bertanggungjawab yang cuba menghasut dan meningkatkan syak wasangka, permusuhan dan kebencian antara kaum dan agama untuk menimbulkan keadaan yang boleh mencetus satu rusuhan perkauman.

Dalam ucapan saya, saya mengatakan:

“Adakah ICERD bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia, anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja?

"Tidak ada sebarang keperluan untuk menghasut dan menimbulkan syak wasangka, permusuhan, dan kebencian di antara rakyat pelbagai kaum dan agama, yang boleh membawa kepada satu rusuhan perkauman seperti yang berlaku pada 13 Mei, kerana saya tanpa sebarang ragu-ragu percaya bahawa jika benar ICERD sememangnya anti Perlembagaan Malaysia, anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja-raja Melayu, majoriti rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, akan menolak ratifikasi ICERD.

"Saya masih menunggu jawapan kepada persoalan saya, sama ada 99 peratus daripada 1.9 bilion umat Islam di seluruh dunia yang tinggal di negara-negara yang telah meratifikasikan ICERD ini bukan penganut Islam yang sebenar?

“Mengapakah Malaysia berbeza dengan majoriti besar 57 negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di mana hanya Malaysia dan Brunei sahaja daripada 57 buah negara ini yang belum meratifikasikan ICERD?

"Terdapat 38 buah negara yang mengamalkan sistem monarki, di mana 36 daripada negara-negara ini telah meratifikasikan ICERD, termasuklah United Kingdom pada tahun 1969, Norway 1970, Sweden 1971, Denmark 1971, Belanda 1971, Jordan 1974, Belgium 1975, Jepun pada tahun 1995, dan Arab Saudi 1997.

"Tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan ratifikasi ICERD dalam negara-negara ini menjejaskan sistem monarki dalam negara mereka yang membawa kepada penghapusan sistem monarki.

"Isu ICERD ini menjadi peringatan kepada semua rakyat Malaysia bahawa visi “Malaysia Baharu” -- yang menjadi pemangkin keputusan bersejarah 9 Mei 2018 yang menyaksikan peralihan kuasa secara aman dan demokratik untuk pertama kalinya dalam enam dekad, dan memberi harapan kepada dunia yang demokrasi sebagai sistem pentadbiran untuk mencapai kebebasan, keadilan dan pentadbiran yang baik untuk rakyat di dunia -- masih boleh gagal jika kita membiarkan oportunis politik menggunakan politik toksik berasaskan penipuan dan kebencian antara kaum dan agama yang tidak teragak-agak untuk menyebabkan konflik perkauman dan keagamaan."

Kita masih berhadapan dengan peninggalan politik toksik berasaskan penipuan dan kebencian antara kaum dan agama ini -- yang digerakkan dengan cermat semasa isu ICERD ini meletus pada tahun 2018 -- sama ada dalam bentuk konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari tahun ini untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang sah dan menggantikannya dengan pemerintahan pintu belakang yang tidak mempunyai legitimasi, atau perkara yang mungkin akan berlaku di Parlimen pada hari Khamis ini, di mana dalam semasa negara kita berhadapan dengan wabak membawa maut Covid-19 yang telah mengorbankan 377 nyawa dalam tempoh 11 bulan yang lepas, Parlimen mungkin akan digantungkan dan satu perisytiharan darurat dibuat untuk disusuli dengan Pilihan Raya Umum ke-15 yang akan berlangsung pada suatu tarikh di masa hadapan selepas wabak ini terkawal.

Beberapa hari yang lalu, dalam kapasiti baharunya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia kerajaan Perikatan Nasional, Saifuddin membicarakan masalah "defisit kepercayaan" yang menyebabkan sesetengah pihak enggan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan arahan kerajaan semasa Pandemik Covid19.

Beliau mengatakan yang analisis mendapati bahawa terdapat "defisit kepercayaan" dalam kalangan sesetengah pihak, yang menyebabkan mereka mempersoalkan data yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan dan tindakan yang diambil oleh Majlis Keselamatan Nasional (MKN), selain daripada bersikap marah, sarkastik dan sinis dan membuat kenyataan politik.

Adakah Saifuddin sedar bahawa beliau adalah salah seorang pemimpin politik yang menjadi punca wujudnya "defisit kepercayaan" ini di negara kita? Memandangkan semasa beliau menjadi Menteri Luar Negeri dalam Kerajaan Pakatan Harapan, beliau membiarkan politik toksik berasaskan penipuan dan kebencian antara kaum dan agama tersebar luas untuk memfitnah DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja, sedangkan DAP, sama ada di dalam atau di luar kerajaan, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan cadangan Kementerian Luar Negeri untuk meratifikasikan ICERD ini.

Kerana inilah saya bertanya sebelum ini, di mana memandangkan mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Puad Zarkashi telah membelanjakan lebih daripada RM100 juta peruntukan JASA di antara tahun 2015 sehingga tahun 2018 untuk memomokkan DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja dan kononnya komunis dan juga untuk membersihkan nama skandal 1MDB, adakah Saifuddin akan memberikan jaminan kepada Parlimen pada hari esok, yang pengembalian JASA dengan peruntukan sebanyak RM85.5 juta adalah bertujuan untuk melawan impak negatif kempen JASA ini dan disebaliknya digunakan untuk melawan berita palsu dan maklumat palsu?

Atau adakah beliau akan setuju dengan pihak Pembangkang bahawa pengembalian semula JASA dengan peruntukan sebanyak RM85.5 juta ini tidak wajar sama sekali, memandangkan beliau sendiri tidak menyedari mengenai peruntukan yang sebegitu besar ini sebelum perkara ini dibentangkan di Parlimen dalam Belanjawan 2021?

Apakah pendirian Saifuddin di Parlimen esok?

Kita akan tahu dalam masa 24 jam.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri