Adham Baba perlu memberikan penjelasan di Parlimen mengapa kerajaan gagal memanfaatkan kebolehan sistem kesihatan swasta dalam 11 bulan memerangi wabak Covid-19 dalam negara kita

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba perlu memberikan penjelasan di Parlimen dalam penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 beliau mengenai kegagalan kerajaan dalam melibatkan sektor kesihatan swasta untuk memerangi wabak Covid-19, di mana kemampuan sektor ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. Perkara ini telah menyebabkan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr. Subramaniam Muniandy menekankan bahawa sistem kesihatan kerajaan tidak seharusnya bersendirian dalam pertempuran ini kerana sistem kesihatan swasta juga merupakan satu komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan negara yang mampu menambah kekuatan dalam melawan wabak Covid-19. Beliau mengatakan sudah tiba waktunya untuk meredakan tekanan yang terhadap sistem penjagaan kesihatan awam di Malaysia dan menggembeleng gabungan sistem kesihatan awam dan swasta untuk meningkatkan usaha dalam melawan wabak Covid-19 dalam negara kita serta untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang lain. Dr. Subramaniam mengatakan banyak klinik dan hospital di seluruh negara melaporkan penurunan kehadiran pesakit, sesetengahnya sehingga sebanyak 70 ke 80 peratus dengan pengurangan pendapatan yang signifikan dan kemampanan perusahaan mereka yang kini terancam. Ramai doktor pakar yang berpengalaman sedang mempertimbangkan untuk menggulung tikar atau bersara dan dianggarkan sekitar 200 klinik di seluruh negara akan ditutup menjelang akhir tahun. MMA percaya yang rakyat akan mendapat keuntungan daripada hasil kerjasama di antara sektor awam dan swasta ini. Pesakit juga akan dilayan dengan lebih baik apabila kedua-dua sektor memaksimumkan perkhidmatan kesihatan mereka daripada bekerja secara berasingan. Menurut Subramaniam, terdapat 7,000 doktor am yang dilatih oleh Kementerian Kesihatan (GP) dan sekitar 3,000 doktor pakar perubatan swasta yang berkhidmat di lebih daripada 200 hospital swasta di seluruh negara. Katanya, angka pada tahun 2018 menunjukkan bahawa 14,649 doktor, 5,174 ahli farmasi dan 34,874 jururawat berkhidmat dalam sektor perubatan swasta. Perbelanjaan penjagaan kesihatan swasta adalah sekitar 50 peratus daripada jumlah perbelanjaan kesihatan nasional dengan berjuta-juta rakyat Malaysia dan warga asing di Malaysia menggunakan kemudahan rawatan swasta setiap hari. Sejak perintah kawalan pergerakan pada bulan Mac 2020, kebanyakkan respons Penjagaan Kesihatan di Malaysia dimulakan oleh kemudahan kesihatan kerajaan. Ada waktu-waktu semasa kemuncak penularan wabak ini di mana fasiliti kerajaan telah digunakan secara maksimum di hospital atau daerah tertentu, dengan bantuan atau sumbangan diberikan oleh masyarakat dan badan-badan kebajikan. Kekurangan kerjasama sistem kesihatan awam-swasta ini amat mengejutkan. Tiga hari yang lalu pada hari Jumaat, saya bertanya adakah Malaysia telah hilang kawalan terhadap gelombang ketiga wabak Covid-19 ini. Menteri Kesihatan harus menjelaskan di Parlimen mengapa kerajaan gagal menggunakan pemikiran dan pendekatan yang melibatkan "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat" dalam peperangan melawan wabak Covid-19, walaupun saya telah mencadangkan perkara ini lebih dari enam bulan yang lepas. Saya telah memberi amaran pada hari Jumaat yang lalu bahawa jika Malaysia terus berhadapan dengan peningkatan harian empat angka jangkitan Covid-19, kita akan mengatasi Singapura dalam masa seminggu dan China menjelang akhir tahun ini dari segi jumlah terkumpul kes jangkitan Covid-19. Trajektori peningkatan harian jangkitan Covid-19 dalam tiga hari yang lepas telah mengesahkan amaran ini. Malah, menjelang hari Khamis ini yang merupakan hari terakhir penggulungan perbahasan Belanjawan 2021, Malaysia akan berada di ambang untuk mengatasi Singapura dari segi jumlah kes terkumpul Covid-19 jika jumlah jangkitan baharu setiap hari berterusan pada kadar sedia ada. Pada kadar sedia ada ini, Malaysia juga akan mengatasi China, negara di tempat pertama dunia dengan jumlah kes Covid-19 dan kematian tertinggi pada peringkat awal penularan wabak ini pada awal tahun ini, yang kini sedang melaporkan peningkatan harian dua digit. Kini nampaknya Malaysia mungkin akan dapat mengatasi China seminggu lebih awal -- bukan pada akhir tahun ini tetapi sekitar hari Krismas. Ini bukanlah perkara yang remeh dan Menteri Kesihatan perlu memberikan penjelasan penuh kepada seluruh negara dalam penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 beliau. Semalam, Kementerian Kesihatan melaporkan 1,096 kes Covid-19 baru dengan kebanyakkan kes dilaporkan di Selangor. Angka terbaru menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sejumlah 54,775 -- di mana Sabah mendahului dengan 26,098 kes, Selangor di tempat kedua dengan 9,752 kes dan Kuala Lumpur di tempat ketiga dengan 4,860 kes. Sabah juga mendahului jumlah korban nyawa terkumpul Covid-19 dengan 194 kematian, Selangor di tempat kedua dengan 27 kematian, Johor di tempat ketiga dengan 22 kematian dan Kuala Lumpur dan Sarawak di tempat ke empat dengan masing-masing mencatatkan 19 kematian -- sejumlah 335 kematian. Pada 1 September, Sabah berada di tempat ke enam, dengan sejumlah terkumpul 426 kes, berbanding dengan KL (2,587 kes), Selangor (2,174 kes), Negeri Sembilan (1,034 kes), Johor (751 kes) dan Sarawak (699 kes). Dari segi jumlah korban terkumpul, Sabah berada di tempat ke lima bersama dengan Negeri Sembilan dengan lapan kematian, selepas Selangor (24), Johor (21), Sarawak (19) dan Kuala Lumpur (18). Kini, Sabah telah menjadi negeri teratas dari segi jumlah terkumpul kes jangkitan dan kematian Covid-19, dengan sejumlah 26,098 kes dan 194 kematian daripada sejumlah 54,775 kes dan 335 kematian di Malaysia. Menteri Kesihatan juga harus menjelaskan di Parlimen tentang kecuaiannya dalam memerangi wabak Covid-19 dengan usaha menjatuhkan Kerajaan Warisan Negeri Sabah, yang menyebabkan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Sabah dan Malaysia dan telah mengorbankan sekitar 180 nyawa di Sabah.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri