Bolehkah Belanjawan 2021 Tengku Zafrul bertahan dalam tempoh sepuluh hari yang akan datang?
Adakah Belanjawan 2021 Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mampu bertahan tempoh sepuluh hari yang akan datang?
Parlimen kini sedang membahaskan bacaan kedua Belanjawan 2021 pada peringkat dasar, di mana perbahasan ahli-ahli backbenchers akan berakhir pada hari Khamis ini dan disusuli dengan penggulungan daripada para menteri, dan penggulungan akhir oleh Menteri Kewangan dijangkakan pada 25 November.
Perkara ini akan disusuli dengan undian terhadap bacaan kedua belanjawan ini.
Adakah Belanjawan 2021 Tengku Zafrul ini akan bertahan sehingga pengundian bacaan kedua yang akan berlangsung pada 25 November ini dalam tempoh sepuluh hari yang akan datang.
Ahli-ahli Parlimen pembangkang telah mencuba sedaya upaya untuk menyokong Belanjawan 2021, namun Menteri Kewangan telah mengambil kesempatan ke atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong supaya ahli-ahli Parlimen menyokong Belanjawan ini untuk memulihkan ekonomi negara dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 yang dikatakan datang “sekali dalam seabad”.
Perkara ini, di mana Tengku Zafrul menjangkakan Ahli-ahli Parlimen memberikan cek kosong kepada kerajaan selepas Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja menolak cadangan darurat kerajaan ini adalah satu perkara yang amat tidak bertanggungjawab.
Semalam, Menteri Kewangan telah memberikan amaran, mengatakan yang gaji para penjawat awam, petugas kesihatan, dan bantuan kewangan akan terhalang jika Belanjawan 2021 ini tidak diluluskan.
Saya bersetuju dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kenyataan Tengku Zafrul ini adalah satu ugutan yang tidak boleh diterima dan merupakan satu cubaan untuk mengetepikan kritikan yang sah terhadap Belanjawan 2021 yang tidak dipertimbangkan oleh Kabinet.
Kerana inilah kita mempunyai satu keadaan yang mengagumkan di mana Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifudin Abdullah tidak sedar mengenai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) yang diberikan peruntukan RM85.5 juta untuk dihidupkan semula -- mengembalikan semula era penyalahgunaan Perdana Menteri di mana Ketua Pengarah JASA bertanggungjawab kepada Perdana Menteri dan bukanlah Menteri di mana agensi tersebut diletakkan.
Pertemuan Tengku Zafrul dengan para ahli Parlimen pembangkang sebelum pembentangan Belanjawan 2021 tanpa mempertimbangkan dan menerima sebarang cadangan-cadangan yang diberikan ini adalah satu tindakan yang tidak memadai.
Memandangkan telah selesai seminggu perbahasan Belanjawan 2021 ini, Tengku Zafrul perlu berjumpa dengan Ketua Pembangkang untuk membincangkan bagaimana beliau boleh memasukkan pendapat dan cadangan ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya Belanjawan 2021 ini boleh benar-benar menjadi Belanjawan Perpaduan yang menjadi asas kepada usaha melawan Covid-19 dengan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dan rakyat Malaysia.