Puad membelanjakan RM100 juta peruntukan JASA untuk memfitnah DAP dan 'memperindah' skandal 1MDB, namun usaha itu gagal seperti yang telah dibuktikan menerusi keputusan Pilihan Raya Umum ke-14
Sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dari tahun 2015 hingga 2018, Mohd Puad Zarkashi telah membelanjakan RM100 juta peruntukan yang diterima JASA untuk memfitnah DAP sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan komunis, malah telah menjelajah ke luar negara untuk "memperindahkan" skandal 1MDB terutama di kalangan pelajar Malaysia yang berada di luar negara, bagaimanapun usaha itu gagal berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018.
Pun begitu, dalam tempoh dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14, ratusan juta ringgit sekali lagi digunakan untuk membiayai operasi siber UMNO untuk terus mengambarkan DAP sebagai kononnya anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan komunis, dan haruslah diakui bahawa usaha menyebarkan pembohongan dan kepalsuan mengenai DAP lebih berjaya kali ini berbanding usaha Puad sebagai ketua pengarah JASA menggunakan dana awam sebanyak RM100 juta.
Adakah RM85.5 juta yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 untuk menghidupkan semula JASA akan digunakan untuk membanteras kempen pembohongan yang dijalankan Puad dari tahun 2015-2018 serta kempen pembohongan, kepalsuan dan maklumat tidak benar oleh laskar siber UMNO yang menuduh DAP konnya adalah anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja dan komunis?
Puad mengatakan bahawa kewujudan JASA bersifat politik dan tiada siapa yang membantahnya.
Tidak hairanlah selama beliau menjadi ketua pengarah JASA, beliau bertindak seperti Menteri Besar kerana gajinya lebih besar daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, di mana JASA diletakkan secara rasmi di bawah bidang kuasa kementerian itu - meskipun beliau sebenarnya tidak bertanggungjawab kepada Menteri yang berkenaan tetapi hanya kepada Perdana Menteri.
Adakah kerajaan Perikatan Nasional mahu menghidupkan kembali JASA yang mana ketua pengarahnya lebih berkuasa dan dibayar gaji yang lebih tinggi daripada Menteri Komunikasi dan Multimedia, yang mungkin merupakan sebab mengapa Menteri, Saifuddin Abdullah, tidak menyedari bahawa jumlah peruntukan kementeriannya sama tinggi iaitu sebanyak RM85 juta, yang bahkan lebih besar daripada peruntukan anggaran tahunan JASA pada masa Puad menerajui agensi tersebut.
Siapa yang akan menjadi bos JASA yang akan dihidupkan kembali ini - yang bahkan boleh menggantikan peranan Menterinya sendiri, iaitu Saifuddin Abdullah?
Wajarkah Parlimen menubuhkan agensi ketika tugas dan peranan ketua agensi berkenaan dilihat begitu kabur dan tidak menentu, ditambah dengan kerangka acuan agensi itu yang bersifat tersembunyi dalam begitu banyak misteri?
Puad salah besar apabila beliau mendakwa bahawa kononnya DAP takut kepada JASA. Mengapa JASA yang pernah diterajui Puad ini harus ditakuti sedangkan ia adalah sebuah kegagalan besar, jika tidak sudah tentu Najib Razak masih kekal menjadi Perdana Menteri Malaysia hari ini dan tidak akan disabitkan dengan kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram dalam siri pertama kes berkaitan 1MDB serta dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.
Persoalannya sekarang; mengapa wang rakyat Malaysia digunakan oleh JASA untuk menyebarkan pembohongan dan kepalsuan?