Serangan Tiong kepada Dr Hisham di Parlimen bukanlah satu perkara yang remeh, tetapi satu tindakan yang bersifat pengecut dan berniat jahat yang bersembunyi di sebalik penyalahgunaan hak dan kebebasan Parlimen

Serangan Ahli Parlimen Bintulu, Tiong King Sing terhadap Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah di Parlimen semalam bukanlah satu perkara yang remeh, tetapi satu tindakan yang bersifat pengecut dan berniat jahat yang bersembunyi di sebalik penyalahgunaan hak dan kebebasan di Parlimen.

Jika tindakan ini tidak mempunyai niat jahat, mengapakah Tiong tidak mengkritik Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba, yang perlu bertanggungjawab penuh terhadap apa-apa perkara yang berlaku di Kementerian Kesihatan di hadapan Parlimen?

Tiong merupakan seorang Ahli Parlimen yang telah berkhidmat selama lima penggal, 21 tahun sejak 1999. Adakah Tiong cuba untuk mengatakan yang beliau tidak tahu yang untuk segala perkara berkaitan dengan perkara kesihatan, Menteri Kesihatan, bukannya Ketua Pengarah Kesihatan yang bertanggungjawab dan perlu menjawab di Parlimen?

Peraturan Parlimen masih berkuat kuasa, walaupun kita mempunyai seorang Menteri Kesihatan yang halimunan yang telah kehilangan semua autoriti dan kredibiliti selepas beberapa kesilapan beliau dengan isu “air suam” sebagai penawar kepada Covid-19, “500 negara dalam dunia”, dan “15 negeri dalam Malaysia” dalam tempoh dua bulan pertama beliau sebagai Menteri Kesihatan.

Adakah Menteri Kesihatan berasa iri hati dengan semua perhatian yang diberikan kepada Ketua Pengarah Kesihatan dalam usaha beliau melawan wabak Covid-19 setiap hari, dan Tiong ini hanya cuba untuk menyampaikan perasaan Adham Baba?

Hakikat di mana Menteri Kesihatan masih belum mempertahankan Ketua Pengarah Kesihatan beliau sendiri ini juga merupakan sesuatu yang patut diberikan perhatian.

Jika tujuan tindakan beliau adalah untuk menuntut tanggungjawab daripada pihak berkuasa akibat kegagalan mengendalikan Covid-19, mengapakah Tiong tidak bertanya secara terus kepada Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, yang juga merupakan Perdana Menteri, yang telah melantik beliau sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke China?

Tindakan Tiong yang tidak mengarahkan serangan beliau ini kepada Menteri Kesihatan atau Perdana Menteri sebagai Pengerusi MKN ini adalah satu tindakan yang bersifat pengecut. Tindakan ini juga bersifat jahat apabila beliau enggan untuk memohon maaf dan sebaliknya bersembunyi di sebalik penyalahgunaan hak dan kebebasan di Parlimen.

Saya harap Tiong akan cukup berani untuk memohon maaf di atas kesalahan penyalahgunaan hak dan kebebasan Parlimen beliau dalam menyerang Dr Noor Hisham pada persidangan Parlimen Isnin depan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri