Gesaan kepada MKN untuk meminimumkan kesan buruk ekonomi ekoran pelaksanaan PKP dan menerapkan pendekatan yang lebih fleksibel untuk menarik semula pelaksanaan PKPB selama empat minggu yang dikenakan ke atas hampir semua negeri sehingga 6 Disember di negeri-negeri yang tidak ada zon merah atau hanya melaporkan beberapa kes Covid-19

Majlis Keselamatan Negara (MKN) harus mencari jalan untuk meminimumkan kesan buruk ekonomi ekoran pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan perlu menggunakan pendekatan yang lebih fleksibel untuk menarik semula pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) selama empat minggu yang dikenakan ke atas hampir semua negeri sehingga 6 Disember di negeri-negeri di mana tidak ada zon merah atau melaporkan hanya beberapa kes Covid-19.

Hari ini, terdapat sekurang-kurangnya tiga negeri, iaitu Johor, Melaka dan Kedah yang tidak mempunyai zon merah atau daerah dengan lebih daripada 40 kes Covid-19, walaupun negeri-negeri ini mempunyai daerah zon merah ketika PKPB diumumkan. MKN harus mempertimbangkan untuk menarik semula pelaksanaan PKPB di ketiga-tiga negeri ini.

Secara umum, semua bersetuju bahawa usaha membendung pandemik Covid-19 akan memakan masa selama setahun, malah mungkin hingga tahun 2022, MKN harus mengambil pendekatan yang lebih fleksibel untuk membolehkan rakyat Malaysia mengharungi tempoh yang sukar ini, sekaligus menyeimbangkan kepentingan antara menyelamatkan nyawa dan punca kehidupan tanpa memberi kesan yang besar terhadap pemulihan ekonomi negara.

Pertanyaan yang diajukan oleh Akademi Perubatan Malaysia (AMM) dan para pakar perubatan Malaysia terkemuka, meminta MKN untuk menghentikan PKPB dan mengambil "jalan tengah yang telus" berhubung PKPB sehingga kini masih belum terjawab.

AMM menyatakan bahawa di Semenanjung Malaysia, hanya Negeri Sembilan yang mencatatkan kadar jangkitan lebih tinggi Covid-19 yang lebih tinggi bagi setiap 100,000 penduduk daripada kadar nasional.

AMM bingung dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan PKPB secara pukal dan meminta kerajaan untuk menjelaskan rasional di sebalik keputusan itu.

Menurut AMM: "Dalam memeriksa bukti yang ada, kami mendesak kerajaan untuk menarik balik PKPB dan menerapkan 'jalan tengah' yang telus."

Jelas AMM lagi, berdasarkan kadar jangkitan 14 hari iaitu dari 21 Oktober sehingga 3 November, banyak negeri yang tidak memerlukan pelaksanaan PKP yang lebih ketat.

Hanya Negeri Sembilan mencatatkan kadar jangkitan lebih tinggi berbanding kadar di peringkat nasional, sementara Kedah, Perak, Terengganu, Johor dan Melaka berada pada tahap yang agak rendah.

Adalah sangat malang apabila Parlimen digunakan untuk menyerang profesionalisme dan dedikasi para petugas barisan hadapan serta mengalihkan perhatian masyarakat daripada hakikat bahawa pemimpin politik Perikatan Nasional merupakan pemimpin politik oportunis dan tidak berprinsip yang menyebabkan wabak Covid-19 merebak di Sabah kerana kerakusan mereka untuk merampas Kerajaan Negeri Sabah daripada gabungan Warisan Plus.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri