MB Johor dipuji kerana cadang PKPB dilaksanakan di zon merah sahaja

Saya puji Menteri Besar Johor, Hasni Mohammad kerana mencadangkan supaya perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) untuk dilaksanakan hanya di kawasan atau daerah zon merah yang mencatatkan jumlah kes Covid-19 yang tinggi dan bukannya ke atas keseluruhan negeri.

Beliau mengatakan yang cadangan tersebut dibuat kepada kerajaan Persekutuan melalui mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN).

Saya bersetuju dengan Hasni mengenai perkara penting ini, supaya pelaksanaan PKPB ini tidak memberikan kesan negatif kepada sektor ekonomi dan kehidupan harian di kawasan-kawasan yang mencatatkan jumlah kes yang rendah.

Malah, satu perkara yang timbul dalam fikiran saya dalam perjalanan selama empat jam daripada Gelang Patah ke Kuala Lumpur pada hari Ahad lepas adalah mengapakah kerajaan masih tidak mempelajari pengajaran daripada 10 bulan pengalaman dengan wabak Covid-19 ini? Bukan sahaja pengajaran di Malaysia, tetapi daripada seluruh dunia, untuk melaksanakan satu strategi fleksibel yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” melawan wabak ini.

Penting untuk kerajaan menyeimbangkan usaha menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat.

Ahad lepas di Johor, hanya terdapat satu daerah dalam zon merah, dengan lebih daripada 40 kes (Johor Bahru), enam daerah dalam zon kuning, dengan di antara 1 ke 20 kes (Kluang, Kulai, Tangkak, Kota Tinggi, Pontian, dan Muar), dan tiga daerah dalam zon hijau dengan sifar kes (Batu Pahat, Mersing, dan Segamat).

Hari ini, tidak ada satu pun daerah di Johor yang berada dalam zon merah, memandangkan Johor Bahru kini berada dalam zon jingga dengan di antara 21-40 kes, enam daerah dalam zon kuning, dan tiga daerah dalam zon hijau.

Semasa gelombang kedua penularan wabak Covid-19 di Malaysia pada bulan Mac dan April, wabak ini merupakan satu perkara baharu yang menjangkiti rakyat Malaysia dan dunia buat pertama kalinya, dan rakyat pada masa itu bersedia untuk menerima tindakan drastik seperti sekatan penuh kawalan pergerakan yang terbukti merupakan satu tindakan yang mempunyai kos ekonomi dan sosial yang tinggi.

Namun, dalam berhadapan dengan gelombang ketiga wabak ini di Malaysia, rakyat Malaysia kini telah mengenali pelbagai kesan strategi melawan wabak ini, dan rakyat berhak untuk menanyakan mengapakah kerajaan masih tidak melaksanakan pendekatan fleksibel yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dalam peperangan jangka panjang melawan wabak ini, bagi memastikan terdapat keseimbangan di antara menyelamatkan nyawa dan kehidupan -- dengan pemimpin kerajaan menjadi tauladan yang baik tanpa sikap pilih kasih.

Saya telah bertanya sebelum ini, sama ada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersedia untuk mempertimbangkan kawalan pergerakan pada peringkat daerah, yang akan mengurangkan impak dan kerosakan terhadap punca pendapatan rakyat dan ekonomi Malaysia.

Jika pendekatan fleksibel ini digunakan, bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh Malaysia, dengan PKPB hanya dilaksanakan di peringkat daerah dan bukan di peringkat negeri, kita akan mempunyai pendekatan yang lebih fleksibel yang mempunyai keseimbangan di antara menyelamatkan nyawa dan punca pendapatan dalam situasi di mana kita terpaksa belajar untuk hidup bersama dengan wabak ini, memandangkan petanda semasa menunjukkan yang virus ini akan kekal bersama kita mungkin sehingga tahun 2022.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri