Najib telah mencemarkan martabat Parlimen apabila beliau membahaskan Belanjawan 2021 selama 90 minit atas kapasiti selaku Pengerusi BNBBC semalam, tanpa mengakui langsung penglibatannya dalam skandal 1MDB
Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mencemarkan martabat Parlimen apabila beliau membahaskan Belanjawan 2021 selama 90 minit atas kapasiti selaku Pengerusi BNBBC semalam.
Adakah mana-mana Parlimen di dunia ini yang membenarkan seseorang yang telah disabitkan dengan kesalahan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa untuk berucap sebagai Ahli Parlimen seperti di Malaysia?
Adakah rakyat Malaysia lupa bahawa Najib kini telah dikenal seantero dunia sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap skandal kewangan 1MDB, dan telah disabitkan oleh mahkamah Malaysia pada 28 Julai atas beberapa tuduhan yang berkaitan dengan skandal 1MDB membabitkan kegiatan rasuah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa, malah telah pun dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta?
Tidak muncul tanda-tanda daripada Belanjawan 2021 yang kerajaan akan meningkatkan usahanya untuk mengembalikan reputasi Malaysia sebagai negara yang berintegriti di mana langkah-langkah pencegahan rasuah diambil dengan lebih serius.
Dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) oleh Transparency International (TI) 2019, Malaysia berada di kedudukan 51 dengan 53 markah, mencatat peningkatan enam mata dalam masa setahun untuk TI CPI dan di tempat ke-10 dalam ranking TI CPI - prestasi terbaik Malaysia sejak suku abad yang lalu.
Apakah yang dapat kita harapkan dari CPI TI 2020 yang akan diterbitkan pada Januari 2021? Bolehkah kita mengharapkan peningkatan enam markah dalam TI CPI 2020 dan terus berada dalam 10 kedudukan tertinggi TI CPI, dengan 59 markah dan kedudukan di tempat ke-41 dalam TI CPI 2020?
Pada hari yang sama di mana Najib mencemari martabat Parlimen dengan ucapan perbahasan selama 90 minit beliau, ahli ekonomi terkenal Malaysia, Jomo Kwame Sundaram memberi amaran bahawa negara tidak akan beransur lebih baik selepas peristiwa kegagalan 1MDB. Beliau menegaskan bahawa situasi semasa akan membawa kepada lebih banyak skandal ala 1MDB susulan tindakan kerajaan yang memberikan peruntukan besar kepada GLC yang sebahagian besarnya diisi oleh ahli politik tanpa sebarang kebertanggungjawaban atau ketelusan.
Ucapan Najib tidak dapat dimaafkan, lebih-lebih lagi selepas Goldman Sachs pada bulan lalu, mengaku bersalah di Amerika Syarikat (AS) atas pelanggaran Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (Foreign Corrupt Practices Act), yang melarang syarikat AS membayar rasuah kepada pegawai kerajaan di luar negara - dalam kes "skim berskala global bertujuan untuk menjarah berbilion-bilion dolar ”dari 1MDB dan penggunaan dana tersebut oleh pegawai bank kanan Goldman dan rakan-rakan komplot mereka untuk menyogok berbilion-bilion dolar kepada pegawai kanan kerajaan dan banyak individu lain di seluruh dunia, terutama kepada “MO1”, yang tidak lain dan tidak bukan adalah Najib sendiri.
Najib telah mencemari martabat Parlimen dan negara kerana gagal bertanggungjawab dan mengakui penglibatannya dalam skandal 1MDB.