Adakah kita sedang melihat kakistokrasi bekerja?

Menurut akhbar The Malaysian Insight, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah mendakwa beliau tidak tahu mengenai peruntukan RM85.5 juta untuk menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Saifuddin mengatakan yang beliau tahu mengenai rancangan untuk menghidupkan semula JASA, tetapi beliau tidak tahu mengenai saiz peruntukan rancangan ini.

Timbalan Menteri beliau, Zahidi Zainul Abidin -- yang masih belum memohon maaf kepada pelajar Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin di atas penipuan beliau di Dewan Negara mengenai pengalaman Veveonah yang terpaksa meluangkan masa di atas pokok untuk menduduki peperiksaan atas talian -- tidak berfikiran begitu.

Beliau mengatakan, pengembalian JASA ini adalah idea beliau dan Saifuddin tahu mengenainya. Zahidi mengatakan Saifuddin mungkin telah terlupa “memandangkan beliau mempunyai pelbagai tanggungjawab lain”.

Zahidi juga mengatakan yang keputusan untuk memberikan peruntukan yang besar kepada JASA dalam Belanjawan 2021 ini adalah satu keputusan bersama.

Siapakah yang betul -- Saifudin ataupun Zahidi?

Adakah kita sedang melihat kakistokrasi bekerja, di mana Timbalan Menteri lebih berkuasa dan mengetahui lebih banyak benda berbanding dengan Menteri beliau?

Adakah Saifuddin juga teramat sibuk dengan tugas Kabinet beliau sebagai Menteri Luar Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan yang lalu, sehingga beliau terlupa yang beliau telah menyebabkan kecederaan besar pertama kepada Pakatan Harapan apabila beliau menjadikan ICERD dan Statut Rom satu isu yang panas, di mana DAP yang tidak mengetahui apa-apa mengenai perkara ini telah dipersalahkan dan dikatakan sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja.

Isu ICERD dan Statut Rom ini menjadi bahan bakar pihak ekstremis yang mengapi-apikan kempen menuduh DAP yang kononnya anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja ini mengawal kerajaan Pakatan Harapan, di mana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir semasa itu hanyalah seorang pak turut DAP, memberikan alasan untuk menghalalkan Langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

Melihat kemarahan di seluruh negara terhadap cadangan untuk mengembalikan JASA ini, adakah Saifuddin akan mengambil inisiatif untuk membetulkan kerosakan ini di dalam Kabinet dan menghentikan rancangan mengembalikan JASA, dan memberikan peruntukan ini kepada sebuah agensi khas untuk menggalakkan perpaduan negara dan menyatupadukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun politik untuk bersama melawan wabak Covid-19.

Adakah Saifuddin akan memberikan komitmen yang JASA -- yang merupakan badan propaganda dan tentera siber yang ditubuhkan untuk mempertahankan skandal kewangan 1MDB dan memomokkan DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, malah menuduh DAP sebagai “komunis” untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu 1MDB dan kleptokrasi dalam pemerintahan Najib -- ini tidak akan dikembalikan.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri