Batalkan rancangan untuk mengembalikan JASA pada kos RM85.5 juta dan gunakan wang peruntukan tersebut untuk sebuah agensi khas untuk memupuk perpaduan nasional dan menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun kawasan untuk bersama melawan wabak Covid-19

Batalkan rancangan untuk mengembalikan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada kos RM85.5 juta dan gunakan wang peruntukan tersebut untuk sebuah agensi khas untuk memupuk perpaduan nasional dan menyatukan semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun kawasan untuk bersama melawan wabak Covid-19.

Ini adalah langkah pertama untuk memastikan Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz di Parlimen pada hari Jumaat lepas menjadi sebuah “Belanjawan Perpaduan” dalam berhadapan wabak Covid-19, dan bukannya satu belanjawan yang menyalahgunakan seruan Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong untuk meluluskan satu belanjawan yang hanya memenuhi kepentingan sempit politik dan bukannya untuk menjaga kepentingan negara.

Dalam tempoh dua hari yang lepas, lebih daripada 30,000 orang telah menandatangani petisyen atas talian [https://www.change.org/p/ahli-dewan-rakyat-batalkan-peruntukan-jasa-dalam-belanjawan-2021] yang menyeru supaya rancangan bernilai RM85.5 juta untuk mengembalikan JASA ini dibatalkan memandangkan negara kita sedang berhadapan dengan kesesakan ekonomi dengan wabak Covid-19.

Saya telah menandatangani petisyen tersebut dan saya menyeru semua rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum, agama, kawasan, mahupun latar belakang politik untuk menyokong petisyen atas talian ini untuk menjadikannya petisyen atas talian yang paling berjaya dalam sejarah negara, bagi memastikan Belanjawan 2021 ini menjadi satu Belanjawan Perpaduan untuk semua rakyat Malaysia yang sedang berhadapan dengan wabak Covid-19.

Kerajaan Pakatan Harapan telah membubarkan JASA memandangkan badan ini merupakan alat propaganda dan badan penyebar penipuan utama kerajaan Najib, di mana Ketua Pengarahnya lebih berkuasa daripada seorang Menteri Kabinet.

Malah, Ketua Pengarah JASA ini merupakan seorang yang lebih tinggi daripada Menteri, dengan gaji yang lebih tinggi berbanding dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, di mana JASA ini diletakkan secara rasmi sebagai sebuah jabatan, dan Ketua Pengarah JASA ini berntanggungjawab secara terus kepada Perdana Menteri dan bukannya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Semasa pemerintahan Najib, JASA adalah badan yang paling tidak patriotik dan tidak bertanggungjawab yang melanggari kelima-lima prinsip Rukun Negara dan merupakan agensi utama kerajaan yang menyebarkan penipuan yang mengatakan skandal kewangan 1MDB sebagai “berita palsu” dan dalam pada masa yang sama, memomokkan DAP dengan mengatakan DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, anti-Raja, malah komunis, untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu 1MDB dan kleptokrasi.

Saya amat terkejut melihat kerajaan Perikatan Nasional bukan sahaja memutuskan untuk mengembalikan JASA yang merupakan agensi pemomokan utama kerajaan Najib, tetapi memperuntukkannya dengan belanjawan yang teramat besar, sejumlah RM85.5 juta untuk tahun hadapan, yang hampir tiga kali ganda (RM30 juta) jumlah peruntukan yang diberikan kepada agensi tersebut dalam tahun terakhir pemerintahan Najib.

Nampaknya, kerajaan Perikatan Nasional ini telah berpusing semula ke arah yang sama seperti kerajaan UMNO-Barisan Nasional yang ditolak rakyat pada 9 Mei 2018.

Adakah Najib akan menyokong cadangan untuk membatalkan rancangan untuk mengembalikan JASA ini?

Dalam ucapan kemenangan beliau, Presiden-terpilih ke-46 Amerika Syarikat, Joe Biden, telah menjanjikan pengakhiran “era pemomokan” yang berlaku meluas di bawah pemerintahan Trump. Amat malang sekali, jika dalam masa sekarang, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk melakukan perkara yang berlawanan dengan melancarkan satu “era pemomokan” di Malaysia dengan menghidupkan semula JASA dalam Belanjawan 2021.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri