Apa yang mengejutkan bukanlah kemenangan Joe Biden, tetapi hakikat yang Donald Trump hampir menang!

Selepas empat hari yang getir, yang hampir mengubah hari Pemilihan Presiden AS kepada Minggu Pemilihan Presiden AS, Joe Biden telah disahkan melepasi kedudukan 270 undian Badan Pemilihan yang diperlukan beliau untuk menjadi Presiden ke-46 Amerika Syarikat.

Perkara yang mengejutkan kita semua bukanlah kemenangan Joe Biden, tetapi hakikat yang Donald Trump hampir memenangi pemilihan ini!

Perkara ini menjadi testimoni kepada kuasa usaha pengeliruan dan penyebaran berita palsu dalam era informasi ini. Walaupun setelah beliau mengabaikan lebih daripada 10 juta kes Covid-19 di Amerika Syarikat, yang mengorbankan hampir suku juta orang di AS dalam masa 10 bulan -- hampir kali ganda jumlah kematian Amerika dalam Perang Vietnam -- dan kemudiannya cuba memberikan gambaran yang salah dengan mengatakan yang keadaan Covid-19 di AS sedang berubah arah kepada situasi yang lebih baik sedangkan wabak ini sedang merebak pantas, mencatatkan rekod baharu peningkatan harian setinggi 132,540 pada 6 November, Trump hampir berjaya dipilih semula sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Di seluruh dunia, terdapat lebih daripada 50 juta kes Covid-19 dan lebih daripada 1.25 juta korban akibat wabak ini, dan Amerika Syarikat mendahului dengan jumlah kes tertinggi di dunia.

Terdapat 73 hari lagi sebelum hari mengangkat sumpah AS pada Januari 20, di mana Biden akan masuk bertugas secara rasmi sebagai Presiden Amerika Syarikat.

Jika AS terus mencatatkan peningkatan seperti yang dicatatkan sejak hari pemilihan lalu pada 3 November, negara tersebut mungkin akan berhadapan dengan 18 juta kes Covid-19 dan lebih daripada 330,000 kematian akibat Covid-19 menjelang 20 Januari. Satu angka yang mengerikan.

Terdapat satu penganggaran yang mengatakan, sejak Trump memasuki White House empat tahun yang lalu, beliau telah menyebarkan lebih daripada 25,000 penipuan.

Kita di Malaysia tidak boleh memandang ringan kuasa pengeliruan dan penyebaran berita palsu yang cuba untuk mengalihkan perhatian umum daripada skandal kewangan 1MDB dan penyalahgunaan kuasa, rasuah, dan pengubahan wang haram dalam sebuah kleptokrasi yang cuba dicapai melalui penciptaan dan penyebaran penipuan dan fitnah yang cuba mengatakan DAP ini anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, malah dituduh sebagai komunis oleh propagandis dan tentera siber UMNO.

Namun, masih terdapat harapan -- kejayaan Biden memenangi pemilihan ini menunjukkan kuasa pembaharuan nasional dan kebolehan rakyat untuk menyelamatkan negara daripada dimalukan dan dihina.

Hari ini adalah hari di mana rakyat Malaysia perlu bermuhasabah dan beriltizam yang bahawa “keajaiban politik” yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018 bukanlah satu perkara yang hanya berlaku sekali sahaja, tetapi merupakan satu keyakinan mendalam majoriti rakyat Malaysia, yang mahukan negara kita untuk menjadi seperti yang dikatakan oleh Bapa Kemerdekaan Tunku Abdul Rahman, sebuah obor menyinari dunia yang suram dan terganggu, untuk mengambil tempat kita yang sepatutnya dalam komuniti antarabangsa, bukan kerana malu dan penghinaan menjadi sebuah kleptokrasi mahupun sebuah kakistokrasi, tetapi kerana pencapaian dan kecemerlangan kita dalam pelbagai bidang yang diceburi manusia, menggembelengkan kepelbagaian kita di mana empat tamadun dunia bertemu.

Penantian dalam pemilihan presiden AS minggu ini menjadi satu amaran dan inspirasi kepada rakyat Malaysia yang percaya bahawa negara kita layak untuk mendapat yang lebih baik dalam semua bidang kehidupan negara.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri