Belanjawan 2021 Zafrul adalah satu pengecewaan memandangkan beliau telah membazirkan satu peluang keemasan untuk membentuk sebuah Malaysia yang bersatu padu dan hebat melalui belanjawan ini, sebaliknya, memberikan sebuah belanjawan yang tidak ada sebarang unsur imaginasi, inspirasi, mahupun kreativiti

Belanjawan 2021 Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz adalah satu pengecewaan memandangkan beliau telah membazirkan satu peluang keemasan untuk membentuk sebuah Malaysia yang bersatu padu dan hebat melalui belanjawan ini, sebaliknya, memberikan kita semua sebuah belanjawan yang tidak ada sebarang unsur imaginasi, inspirasi, mahupun kreativiti.

Perkara ini amatlah ironi dan merisaukan, memandangkan Belanjawan 2021 yang dibentuk untuk melawan gelombang ketiga wabak Covid-19, dibentangkan pada hari di mana kes Covid-19 dalam negara melonjak tinggi mencapai rekod baharu 1,755 kes dengan 1,199 kes di Sabah sahaja.

Apa yang mengecewakan adalah apabila melihat Belanjawan 2021 yang memotong berbilion ringgit daripada belanjawan rawatan dan kesihatan awam, termasuklah potongan terhadap peruntukan untuk rawatan kanser dan penyakit buah pinggang.

Perkara ini jelas berlawanan dengan nasihat dan amaran yang diberikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggesa semua negara di seluruh dunia untuk bersiap sedia menghadapi pandemik yang akan datang.

WHO telah menggesa komuniti kesihatan di seluruh dunia untuk memastikan semua negara bersedia untuk mengesan dan bertindak terhadap kes-kes Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

WHO memberikan amaran yang negara-negara di seluruh dunia tidak boleh kembali tergelungsur ke belakang dalam matlamat kesihatan kritikal dan menekankan yang pandemik Covid-19 ini merupakan satu peringatan suram yang kesihatan adalah asas utama kestabilan sosial, ekonomi, dan politik.

Gelombang ketiga wabak Covid-19 ini mestilah dilawan dengan semua sumber yang ada, tetapi kita tidak boleh mengorbankan matlamat-matlamat kritikal kesihatan di Malaysia.

Menteri Kesihatan perlu mengembalikan semua potongan-potongan yang telah dibuat dalam cadangan anggaran perbelanjaan perbelanjaan rawatan dan kesihatan awam ini.

Belanjawan 2021 ini telah gagal sebagai sebuah Belanjawan Perpaduan dan komen tajam mantan penjawat awam kanan, Tan Sri Ramon Navaratnam adalah sangat berpatutan apabila beliau mengatakan yang tindakan memberikan peruntukan berasingan untuk kaum Cina dan India adalah satu perkara yang tidak sihat untuk perpaduan nasional. Ramon mengatakan: “Yang susah adalah orang miskin. Mereka yang memerlukan bantuan perlu dibantu tanpa mengira kaum”.

Komen daripada Ramon ini hanya menguatkan lagi bukti kegagalan Belanjawan 2021 ini sebagai sebuah Belanjawan Perpaduan, tetapi juga menjadi bukti kepada kegagalan proses pembinaan negara dalam enam dekad yang lepas.

Ramon telah mengatakan: “Terdapat peruntukan untuk Imam. Bagaimana pula dengan sami agama Buddha dan Hindu, dan paderi Kristian. Perkara ini akan menyebabkan perpecahan.”

Belanjawan 2021 yang dibentangkan di Parlimen semalam perlu disemak semula untuk memastikan ia memenuhi sasarannya sebagai sebuah Belanjawan Perpaduan, terutamanya semasa negara kita sedang berhadapan dengan cabaran melawan wabak Covid-19 ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri