Satu pengajaran yang perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia daripada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat jika kita tidak mahu melihat negara kita berhadapan dengan nasib yang sama -- kekuatan usaha pengeliruan, terutamanya daripada para pemimpin tertinggi politik, mestilah dilawan dan dibongkarkan
Satu pengajaran yang perlu dihayati oleh semua rakyat Malaysia daripada Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat jika kita tidak mahu melihat negara kita berhadapan dengan nasib yang sama -- kekuatan usaha pengeliruan, terutamanya daripada para pemimpin tertinggi politik, mestilah dilawan dan dibongkarkan.
Seorang menteri dalam kerajaan Najib misalnya, pernah mengatakan sebelum PRU14 yang skandal kewangan 1MDB ini adalah satu “berita palsu”.
Adakah menteri ini telah memohon maaf kerana menyebarkan penipuan ini?
Malah, masih ramai rakyat Malaysia sehingga hari ini yang memercayai yang skandal kewangan 1MDB ini hanyalah satu “berita palsu”.
DAP telah menjadi sasaran satu kempen jangka panjang besar-besaran yang menyebarkan kekeliruan dengan tujuan untuk menggambarkan parti ini sebagai sebuah parti yang anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, sedangkan para propagandis dan tentera siber UMNO ini tidak pernah pun dapat memberikan contoh di mana DAP bertindak anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja dalam lima dekad sejarah DAP.
Telah tiba masanya untuk rakyat Malaysia pulang kepada politik yang jujur, sopan, dan beradab yang berasaskan polisi dan program dan bukannya politik tidak jujur dan buruk yang berteraskan penipuan dan kebencian yang mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan.
Saya tidak pernah menuduh UMNO sebagai sebuah parti yang anti-Cina, anti-India, anti-Buddha, anti-Kristian, atau anti-Hindu tetapi perkara menuduh DAP sebagai anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja ini adalah satu perkara harian dalam kalangan pemimpin dan apparatus propaganda UMNO.
Masalah UMNO adalah selepas setengah abad negara kita merdeka, para pemimpin UMNO telah lupa yang mereka sepatutnya berkhidmat untuk orang Melayu dan rakyat Malaysia, di mana kini mereka bertindak seakan-akan mereka adalah tuan kepada bukan sahaja orang Melayu tetapi kepada semua rakyat Malaysia juga.
Saya tidak percaya ada mana-mana kaum, agama, mahupun budaya yang mahu melihat pemimpin mereka daripada kalangan kleptokrat mahupun melihat negara mereka dianggap di seluruh dunia sebagai sebuah kleptokrasi global.
Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat ini perlu menjadi pengajaran kepada semua, di mana apabila politik toksik perkauman, keagamaan, penipuan, fitnah, dan berita palsu ini dibenarkan untuk tersebar luas, usaha untuk membendung penularan dan membongkar berita-berita palsu dan penipuan yang muncul ini amatlah sukar -- tanpa mengira sesiapa pun yang memenangi pilihan raya ini.
Walaupun Donald Trump telah menjanjikan kepada pengundi di Amerika Syarikat dalam kempen beliau yang keadaan wabak Covid-19 di AS telah beralih arah, hakikatnya bertentangan sama sekali, memandangkan setiap hari dalam minggu lepas, Amerika Syarikat telah mencatatkan rekod baharu peningkatan harian kes Covid-19 -- dengan angka tertinggi dicatatkan semalam pada 121,054 kes baharu di Amerika Syarikat!
Malah, jumlah peningkatan kes harian global telah mencapai satu rekod baharu, dengan 601,958 kes dicatatkan semalam -- di mana buat pertama kalinya wabak ini melepasi paras 600,000 kes baharu dalam sehari.