Pelantikan Najib sebagai Pengerusi BNBBC di Parlimen telah membawa krisis moral kepada rakyat Malaysia

Pelantikan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai Pengerusi Kelab Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC) telah membawa satu krisis moral kepada semua rakyat Malaysia, menonjolkan isu skandal kewangan 1MDB dan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi.

Ini adalah masanya untuk semua ahli politik yang patriotik untuk mengambil kedudukan menolak keras skandal kewangan 1MDB dan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi.

Apa yang lebih mengejutkan adalah setelah lebih sedekad, di penghujung tahun 2020, masih terdapat pemimpin politik, terutamanya daripada UMNO, MCA, dan MIC yang masih terpesona dengan skandal kewangan 1MDB ini sehingga mereka tidak sanggup untuk mengutuknya. Malah, mereka mengambil kedudukan yang samar-samar yang cuba mengatakan skandal 1MDB ini masih belum terbukti dan mereka cuba untuk mengelakkan daripada bercakap mengenai hakikat yang Malaysia pernah menjadi sebuah kleptokrasi, walaupun skandal 1MDB ini telah diketahui di seluruh dunia sejak sekurang-kurangnya lima tahun yang lepas dan menjadi perkara yang disiasat oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di sekurang-kurangnya 10 buah negara!

Saya tertanya, adakah mereka ini menantikan hari di mana skandal kewangan 1MDB ini menjadi sebahagian daripada norma baharu dan isu di mana Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi ini diharamkan daripada dibahaskan di Parlimen dan perbincangan awam melalui tindakan yang menindas dan drakonian.

Adakah kita menanti hari di mana pelarian jenayah, Jho Low, boleh pulang ke negara kita sebagai seorang wira?

Malaysia kini berada di persimpangan, tidak sampai dua tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 yang berlangsung pada 9 Mei 2018 di mana sebuah kerajaan kleptokratik yang kelihatan kebal telah ditolak melalui pilihan raya, para pemimpin politik masih mengambil kedudukan yang agak samar-samar terhadap kedua isu skandal kewangan 1MDB dan Malaysia menjadi sebuah kleptokrasi.

Baru tiga bulan lepas Najib disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram, dan penyalahgunaan kuasa dalam perbicaraan pertama daripada sejumlah beberapa perbicaraan berkiatan dengan 1MDB di Mahkamah Malaysia, di mana beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta. Manakala hanya pada minggu lepas, Goldman Sachs telah mengaku bersalah di Amerika Syarikat atas kesalahan melanggari undang-undang Perlakuan Rasuah di Luar Negara yang menghalang syarikat-syarikat AS daripada menyogok rasuah kepada pegawai-pegawai kerajaan di luar negara -- dalam “skim global perompakan berbilion dolar” daripada 1MDB dan penggunaan dana tersebut oleh pegawai kanan Goldman untuk membayar berbilion dolar sebagai rasuah kepada pegawai kanan kerajaan dan sekutu mereka di seluruh dunia, terutamanya kepada MO1 yang merupakan Najib sendiri.

Mengapakah ahli politik di negara kita mempunyai memori yang pendek?

Terdapat mereka yang mengatakan yang saya tidak sepatutnya membangkitkan krisis moral ini sekarang, memandangkan Najib telah memberikan pihak pembangkang satu isu yang besar untuk dikempenkan dalam PRU-15.

Tetapi, saya tidak bersetuju.

Saya bersetuju yang moral krisis ini menjadi satu perkara yang mudah untuk digunakan secara politikal dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15, tetapi saya percaya, sebagai seorang rakyat Malaysia yang patriotik, kita perlu menghalang negara kita daripada terjebak dengna krisis moral ini sekarang.

Malaysia telah mencatatkan kedudukan terbaiknya dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI-CPI) 2019 yang diterbitkan pada bulan Januari tahun ini.

Perkara tersebut merupakan satu antidot terbaik untuk keadaan suram negara kita ketika itu, yang diharapkan untuk menjadi pencetus penyampaian janji-janji reformasi pilihan raya Pakatan Harapan dalam tahun 2020.

Namun begitu, perkara ini tidak berlaku, memandangkan kerajaan Pakatan Harapan ini telah ditumbangkan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang membawa masuk sebuah kerajaan kakistokrasi pintu belakang yang tidak sah.

Semasa Transparency International mula menerbitkan laporan TI-CPI ini pada tahun 1995, negara kita berada di tempat ke-23 daripada sejumlah 41 buah negara, dengan markah 5.28/10, pada tahun 1996, negara kita berada di tempat ke-26 daripada 54 buah negara, dengan markah 5.32/10.

Dalam tempoh suku abad yang lepas, kita telah kalah dari segi integriti awam berbanding dengan banyak negara lain, sedangkan negara-negara lain seperti Indonesia dan China telah mencatatkan banyak penambahbaikan dalam usaha anti-rasuah.

Dalam laporan pertama TI-CPI pada tahun 1995, China dan Indonesia merupakan dua negara di tempat terakhir dalam laporan tersebut, dengan masing-masing mencatatkan markah 2.16 dan 1.94 daripada keseluruhan 10 markah.

Dalam laporan TI-CPI 2019, China berada di tempat ke-80 dengan markah 41 daripada 100 manakala Indonesia berada di tempat ke-85 dengan 40 markah -- dan Malaysia mendapati kedudukan yang bertambah baik di tempat ke-51 dengan 53 markah.

Dengan usaha anti-rasuah yang kian menguncup di Malaysia seperti yang ditunjukkan dengan pelantikan Najib sebagai Pengerusi BNBBC di Parlimen, adakah Indonesia dan China bakal mengatasi kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara berintegriti dalam dekad yang akan datang sebelum tahun 2030?

Inilah soalan yang perlu ditanyakan oleh semua rakyat Malaysia yang patriotik.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri