Adakah kleptokrasi telah terkubur di Malaysia atau adakah ia akan datang semula?

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, rakyat Malaysia telah mengejutkan negara dan dunia dengan mengambil kedudukan menolak kleptokrasi dan skandal kewangan 1MDB, menumbangkan kerajaan yang pada masa itu menjadi punca negara kita terkenal di seluruh dunia dengan skandal kewangan 1MDB dan sebagai sebuah kleptokrasi global.

Namun, adakah kleptokrasi telah terkubur di Malaysia atau adakah ia akan datang semula?

Adakah rakyat Malaysia telah mempelajari pengajaran daripada skandal kewangan 1MDB atau adakah kita akan berhadapan dengan satu lagi skandal sepertinya, yang merompak berbillion ringgit wang pembayar cukai dan mencemarkan negara kita di seluruh dunia?

Persoalan-persoalan ini kembali relevan dalam minggu ini, terutamanya selepas diumumkan bahawa mantan Perdana Menteri yang merupakan individu utama yang bertanggungjawab menyebabkan skandal kewangan 1MDB ini telah dilantik sebagai pengerusi Kelab Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC) di Parlimen Malaysia.

Dalam tahun-tahun terakhir persidangan Parlimen ke-13, terutamanya daripada tahun 2015 sehingga tahun 2018, isu mengenai negara kita menjadi sebuah kleptokrasi global dan skandal kewangan 1MDB ini diharamkan daripada dibahaskan di Parlimen Malaysia.

Kurang daripada dua tahun selepas pengharaman ke atas perbahasan dua isu ini dibatalkan, kita kembali ke era yang sama, di mana punca utama skandal 1MDB dan kleptokrasi di Malaysia ini kembali bersama-sama dengan kuncu-kuncu beliau, yang merupakan menteri dan timbalan menteri ketika itu, tanpa menunjukkan sebarang rasa bersalah di Parlimen kerana membiarkan negara kita menjadi sebuah kleptokrasi global dengan skandal 1MDB.

Seperti yang dikatakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam penghakiman 500 muka surat beliau, -- semasa menyabitkan Najib bersalah atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram, dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan kes SRC-1MDB yang bernilai RM42 juta dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda sebanyak RM210 juta kepada Najib -- Najib tidak pernah menunjukkan sebarang rasa bersalah, malah kekal mengatakan beliau tidak bersalah dalam ucapan mitigasi beliau.

Saya telah berikan masa kepada Najib untuk memberikan penjelasan mengenai pelantikan beliau sebagai Pengerusi BNBBC, dan saya berterima kasih kepada beliau kerana menjelaskan perkara ini di lama Facebook beliau semalam. Beliau benar-benar komited untuk membuat kedatangan semula dan saya terkejut dengan Barisan Nasional, sama ada UMNO, MCA, mahupun MIC yang masih lagi tidak mempelajari apa-apa pengajaran daripada penolakan rakyat terhadap mereka dalam PRU14 akibat tindakan mereka yang menjunamkan negara kita ke arah sebuah kleptokrasi global dengan skandal kewangan 1MDB.

Izinkan untuk saya katakan, tidak ada sebarang sebab untuk kita takut dengan Najib, tetapi saya amat takut untuk melihat kleptokrasi dan skandal kewangan seperti 1MDB kembali ke negara kita, memandangkan integriti dan agenda anti-rasuah belum lagi bertapak kukuh di negara kita.

Malaysia mencatatkan kedudukan terbaik negara kita dalam laporan Indeks Persepsi Rasuah 2019 Transparency International (TI-CPI) pada bulan Januari tahun ini.

Perkara tersebut merupakan satu antidot terbaik untuk keadaan suram negara kita ketika itu, yang diharapkan untuk menjadi pencetus penyampaian janji-janji reformasi pilihan raya Pakatan Harapan dalam tahun 2020.

Namun begitu, perkara ini tidak berlaku, memandangkan kerajaan Pakatan Harapan ini telah ditumbangkan oleh konspirasi Langkah Sheraton yang membawa masuk sebuah kerajaan kakistokrasi pintu belakang yang tidak sah.

Semasa Transparency International mula menerbitkan laporan TI-CPI ini pada tahun 1995, negara kita berada di tempat ke-23 daripada sejumlah 41 buah negara, dengan markah 5.28/10, pada tahun 1996, negara kita berada di tempat ke-26 daripada 54 buah negara, dengan markah 5.32/10.

Dalam tempoh suku abad yang lepas, kita telah kalah dari segi integriti awam berbanding dengan banyak negara lain, sedangkan negara-negara lain seperti Indonesia dan China telah mencatatkan banyak penambahbaikan dalam usaha anti-rasuah.

Di bawah pemerintahan Najib, Malaysia mencatatkan kedudukan terendah kita dalam TI-CPI 2017 pada kedudukan ke-62 (kedudukan terendah negara kita dalam 25 tahun sejak 1995), dengan markah 47 per 100.

Dalam TI-CPI 2019, Malaysia berada pada kedudukan ke-51 dengan markah 53, mencatatkan peningkatan tahunan enam markah dan 10 kedudukan dalam TI-CPI, yang merupakan pencapaian terbaik negara kita.

Tahun Markah Kedudukan Jumlah Negara
1995 5.28 23 41
1996 5.32 26 54
1997 5.01 32 52
1998 5.3 29 85
1999 5.1 32 99
2000 4.8 36 90
2001 5 36 91
2002 4.9 33 102
2003 5.2 39 133
2004 5 39 145
2005 5.1 39 158
2006 5 44 163
2007 5.1 43 179
2008 5.1 47 180
2009 4.5 56 180
2010 4.4 56 178
2011 4.3 60 183
2012 49 54 176
2013 50 53 177
2014 52 50 175
2015 50 54 168
2016 49 55 176
2017 47 62 180
2018 47 61 180
2019 53 51 180

Saya telah menjangkakan penambahbaikan dalam kedudukan dan markah TI-CPI 2019 negara kita, tetapi, saya tidak menjangkakannya untuk menjadi sebaik ini.

Saya telah berharap yang laporan TI-CPI 2019 ini, yang terbaik dalam tempoh 25 tahun, akan menjadi asas kepada sebuah era baharu anti-rasuah di Malaysia dengan mencapai markah dan kedudukan yang lebih baik dalam laporan TI-CPI 2020 yang akan diterbitkan pada Januari 2021, dan tahun-tahun yang akan datang untuk meletakkan Malaysia ke arah 30 negara teratas dari segi integriti awam menjelang 2030.

Malangnya, perkara ini tidak berlaku. Dengan pelantikan Najib sebagai Pengerusi BNBBC di Parlimen, tanpa menunjukkan sebarang rasa bersalah kerana menyebabkan skandal 1MDB dan menyebabkan negara kita dilabel sebagai sebuah kleptokrasi global, saya berasa pessimistik dengan laporan TI-CPI 2020 yang akan diterbitkan dalam masa tiga bulan yang akan datang.

Untuk menarik perhatian negara daripada fokus kepada isu 1MDB dan negara kita menjadi sebuah kleptokrasi global, mantan perdana menteri tersebut telah memacu satu kempen peperangan siber terhadap para pemimpin DAP, menuduh saya sebagai seorang yang anti-Melayu, anti-Islam, dan anti-Raja, komunis, saudara kepada setiausaha agung PKM Chin Peng, dan kononnya lahir di China dan datang ke Malaysia semasa saya seorang dewasa.

Kesemua perkara ini adalah penipuan semata-mata, tetapi politik penipuan dan berita palsu ini, bersama dengan politik ekstrem perkauman dan keagamaan telah membawa kerosakan yang besar terhadap usaha-usaha untuk membina sebuah negara Malaysia pelbagai kaum, agama, bahasa, dan budaya yang bersatu padu dan berjaya.

Kini dengan kleptokrasi menunjukkan tanda-tanda untuk datang kembali ke Malaysia, rakyat Malaysia perlu mempelajari dan mengingati pengajaran pahit masa lepas.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri