Najib diberikan 72 jam untuk menjelaskan pelantikan beliau sebagai pengerusi BNBBC, memandangkan rakyat Malaysia tidak mahu melihat negara kita kembali ke arah sebuah kleptokrasi

Pada hari Ahad lepas, dilaporkan bahawa mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah dilantik sebagai Pengerusi Kelab Backbenchers Barisan Nasional (BNBBC).

Saya memberikan respons dengan menggesa Parlimen untuk tidak mengiktiraf pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC ini memandangkan perkara ini akan membawa malu kepada institusi Parlimen Malaysia.

Saya mengatakan, pelantikan Najib ini adalah satu perkara yang mengejutkan dan memalukan dan menjadi bukti yang integriti dan agenda anti-rasuah ini adalah satu prinsip yang jauh daripada UMNO, MCA, dan MIC.

Apa yang membuatkan pelantikan ini lagi tidak boleh diterima adalah hakikat pelantikan ini yang berlaku tiga bulan selepas sabitan 28 Julai Najib atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram, dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan kes SRC-1MDB yang bernilai RM42 juta dan seminggu selepas pengakuan bersalah Goldman Sachs ke atas kesalahan di bawah Undang-undang Perlakuan Rasuah Luar Negara di Amerika Syarikat, yang menghalang syarikat-syarikat AS daripada membayar rasuah kepada pegawai kerajaan di luar negara.

Walaupun Jabatan Kehakiman AS telah mengatakan pengakuan bersalah Goldman Sachs -- yang merupakan satu “skim untuk merompak berbilion dolar” daripada 1MDB dan kemudiannya “penggunaan wang ini untuk merasuah pegawai kanan kerajaan dan sekutu mereka di seluruh dunia” -- adalah untuk membawa keadilan kepada rakyat Malaysia, namun pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC ini menjadi satu perkara yang berlawanan dengan niat ini.

Najib telah menggunakan persona baharu “Malu Apa Bossku” dan dengan amat pantas memberikan pelbagai komen ke atas pelbagai perkara, namun beliau sangat-sangat senyap kebelakangan ini dan tidak mengatakan apa-apa langsung mengenai ketidaksesuaian beliau untuk dilantik sebagai pengerusi BNBBC di Parlimen.

Rakyat Malaysia telah menunjukkan dengan jelas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, yang mereka tidak akan berdiam diri melihat Perdana Menteri Malaysia berhadapan dengan pelbagai tuduhan sebagai “perompak utama” yang merompak berbilion dolar daripada skandal kewangan 1MDB, di mana Perdana Menteri kita ketika itu dikenali di seluruh dunia dengan gelaran “Malaysian Official 1 (MO1)”.

Pada masa itu, Parlimen Malaysia sendiri diharamkan daripada membahaskan skandal 1MDB ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang menyabitkan Najib bersalah atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram, dan rasuah dalam kes SRC-1MDB yang bernilai RM42 juta, dan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun berserta dengan RM210 juta sebagai denda, mengatakan perbuatan Najib ini sebagai satu “kes penyalahgunaan kuasa yang terburuk”.

Seperti yang dikatakan oleh hakim tersebut, Najib tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah di atas kesalahan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang haram, dan rasuah beliau, malah Najib terus mempertahankan dirinya dengan mengatakan yang beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai RM42 juta ini dalam ucapan mitigasi beliau.

Walaupun beliau terus berdiam diri dalam tempoh 48 jam selepas berita mengenai pelantikan ini mula tersiar, saya memberikan Najib 24 jam lagi untuk memberikan penjelasan mengenai pelantikan beliau ini, yang jelas merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima dan merupakan satu penghinaan kepada kemuliaan dan reputasi Parlimen Malaysia -- terutamanya selepas Parlimen dimanipulasikan untuk mengharamkan perbahasan mengenai skandal 1MDB semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Jika Najib terus berdiam diri untuk tempoh 72 jam yang berterusan, rakyat Malaysia yang patriotik yang tidak mahu melihat reputasi antarabangsa negara kita terus dicemari dengan skandal 1MDB dan tidak mahu melihat negara kita kembali ke arah menjadi sebuah kleptokrasi perlulah bersuara mengenai tindakan yang perlu kita ambil.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri