Parlimen tidak sepatutnya mengiktiraf pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC memandangkan perkara ini akan memalukan Parlimen negara kita

Parlimen tidak sepatutnya mengiktiraf pelantikan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai pengerusi BNBBC memandangkan perkara ini akan memalukan Parlimen Malaysia.

Pelantikan Najib ini merupakan satu perkara yang mengejutkan dan memalukan -- menjadi bukti integriti dan agenda anti-rasuah adalah prinsip yang sangat jauh daripada UMNO, MCA, dan MIC.

Apa yang membuatkan pelantikan ini lebih mengejutkan dan memalukan adalah pelantikan ini dibuat tiga bulan selepas pendakwaan dan penjatuhan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada Najib pada 28 Julai yang lalu atas kesalahan rasuah, pengubahan wang haram, dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan kes SRC-1MDB yang bernilai RM42 juta dan juga selepas seminggu Goldman Sachs mengaku bersalah di Amerika Syarikat atas pertuduhan kesalahan di bawah Akta Perlakuan Rasuah Luar Negara yang menghalang syarikat-syarikat AS daripada memberikan rasuah kepada pegawai kerajaan di luar negara.

Dalam membuat pengumuman penting berkenaan dengan kes Goldman Sachs ini, Jabatan Kehakiman AS menggambarkan peranan penting Goldman Sachs ini sebagai “satu skim global untuk merompak berbilion dolar” daripada 1MDB yang merupakan satu institusi milik kerajaan, dan kemudiannya pegawai-pegawai bank Goldman, bersama-sama dengan rakan sekutu mereka menggunakan wang ini untuk membayar berbilion dolar rasuah kepada pegawai-pegawai kanan kerajaan di seluruh dunia.

Kumpulan Goldman Sachs telah bersetuju untuk menyertai perjanjian dengan Jabatan Kehakiman untuk menangguhkan pendakwaan selama tiga tahun, dengan syarat bank tersebut memenuhi beberapa syarat.

Jurucakap Jabatan Kehakiman mengatakan: “Memandangkan keseriusan tindakan bank ini, persetujuan hari ini mencatatkan penalti kewangan terbesar yang pernah dibayar kepada Amerika Syarikat dalam satu penyelesaian kes rasuah luar negara dan memerlukan bank tersebut untuk membayar lebih daripada 2.9 bilion dolar dalam denda dan penalti jenayah.

“1MDB adalah sebuah tabung pelaburan yang bernilai berbilion dolar yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia untuk menggalakkan pembangunan ekonomi. Pada tahun 2012 dan 2013, Goldman menerima kira-kira $600 juta sebagai bayaran upah -- satu jumlah yang luar biasa besar -- di atas usahanya dalam membantu 1MDB meraih $6.5 bilion melalui penerbitan dan penjualan bon di pasaran antarabangsa dan untuk perkhidmatan-perkhidmatan lain.

“Namun, berbilion dolar ini kemudiannya dicuri dari 1MDB, sebahagiannya kemudian digunakan untuk memberi rasuah kepada pegawai dari Malaysia dan Abu Dhabi. Hasil jenayah ini dicuci melalui A.S. dan institusi kewangan lain dan digunakan untuk membuat pembelian yang melampau di seluruh dunia, termasuklah harta tanah mewah, kapal layar, hasil seni, dan barang mewah lain.

"Seperti yang diperakui oleh bank tersebut hari ini, pegawai bank kanan Goldman memainkan peranan penting dalam skim ini, bersekongkol dengan yang lain untuk menyedut keluar lebih dari $2.7 bilion dari 1MDB. Mereka kemudiannya menggunakan dana tersebut untuk mengisi poket mereka sendiri dan membayar rasuah yang bernilai $1.6 bilion. Selain daripada penglibatan beberapa eksekutif Goldman, kakitangan lain di bank tersebut telah membenarkan skim ini untuk berterusan dengan mengabaikan petanda-petanda yang jelas. ”

Jurucakap Jabatan Kehakiman tersebut menambah lagi: “Dana 1MDB ini mempunyai potensi yang besar untuk rakyat Malaysia. Tetapi daripada merealisasikan janji itu, dana ini telah dijarah oleh pegawai korup dan konspirator mereka, termasuklah pegawai kanan bank Goldman. Tingkah laku jenayah ini bertentangan dengan pentadbiran yang baik. Perkara ini membawa kerosakan terhadap pasaran bebas, melemahkan kedaulatan undang-undang, mewujudkan lapangan persaingan yang buruk, dan membawa bahaya kepada keselamatan nasional kita dengan memberi sokongan kepada sebuah regim yang korup. Perkara ini juga menghakis keyakinan global terhadap institusi kewangan dan sistem kewangan A.S.

"Resolusi hari ini, bersama dengan tindakan lain yang diambil oleh jabatan ini selama lima tahun yang lepas, merupakan langkah utama untuk mengembalikan keyakinan itu dan membawa keadilan kepada rakyat Malaysia. Perkara ini membawa kesan serius kepada Goldman kerana salah laku serius bank itu.”

Najib berhadapan dengan 42 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dengan skandal kewangan 1MDB.

Beliau dianggap sebagai pencuri utama dalam skandal 1MDB ini oleh pihak kerajaan AS -- Malaysian Official 1 (MO1) -- dan Malaysia menantikan pemulangan semula oleh AS$4.5 bilion yang telah dialihkan secara haram daripada 1MDB daripada kerajaan Amerika Syarikat dan kita telah menerima AS$620 juta setakat hari ini.

Pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC dan pengiktirafan pelantikan ini oleh pihak Parlimen adalah satu perkara yang jelas bertentangan dengan “membawa keadilan kepada rakyat Malaysia”.

Ahli Parlimen daripada kedua-dua belah Dewan perlu mendengari penghakiman hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mengatakan sabitan terhadap Najib pada 28 Julai lalu adalah salah satu kes penyalahgunaan kuasa yang terburuk.

Dalam penghakiman 500 muka surat beliau, hakim tersebut mengatakan walaupun Najib telah menyumbang kepada kebajikan dan penambahbaikan kehidupan rakyat dalam pelbagai bentuk, mahkamah akan membiarkan sejarah untuk menentukan sama ada mantan perdana menteri tersebut telah melakukan lebih banyak kebaikan berbanding dengan keburukan.

Beliau berkata: Proses ini (perbicaraan panjang) boleh dikatakan tidak sesuai dengan cita-cita (negara terhadap) pentadbiran bersih yang tidak bertolak ansure dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

“Apa yang ingin ditegaskan oleh mahkamah ini adalah kesucian kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Tidak seorang pun - biarpun mereka yang pernah menjadi tokoh politik yang berkuasa dapat lari daripada proses undang-undang. Sebarang tanggapan yang cuba mengatakan sesiapa kebal daripada undang-undang adalah berlawanan dengan Artikel 8 Perlembagaan yang menetapkan bahawa semua orang sama di hadapan undang-undang. "

Mengulas mengenai kenaikan Najib ke puncak kepemimpinan negara, dia mengatakan dia telah melihat rakyat meletakkan bekas perdana menteri itu dalam kedudukan yang dipercayai dalam sistem demokrasi berperlembagaan kita.

Namun, dengan sabitan ini, Nazlan mengatakan bahawa semua tujuh tuduhan mengenai penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram merupakan satu "pengkhianatan mutlak terhadap kepercayaan yang diberikan itu".

"Atas sebab ini, saya menganggap sabitan tertuduh atas kesalahan penyalahgunaan kuasa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM sebagai kesalahan yang paling serius di antara ketiga-tiga kesalahan ini memandangkan beliau memegang amanah sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan negara ketika melakukan kesalahan ini.

"Saya tidak teragak-agak untuk mendapati yang kes ini dapat dicirikan sebagai salah satu bentuk penyalahgunaan kuasa, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang haram yang terburuk kerana bukan sahaja kerana bagaimana jenayah ini berlaku, tetapi yang lebih penting, ia melibatkan sejumlah besar RM42 juta, dan mempunyai kesan terhadap negara memandangkan RM42 juta itu adalah milik syarikat MOF Diperbadankan. "

"Mungkin yang paling penting, ia melibatkan seorang yang pada waktu tersebut berada di peringkat tertinggi pemerintahan negara,” tambah Hakim Mohd Nazlan lagi.

Hakim Nazlan juga mendapati yang mantan Perdana Menteri tersebut tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah di atas tuduhan yang dihadapinya.

“Pihak tertuduh tidak menunjukkan sebarang rasa bersalah dan kekal mengatakan yang beliau tidak mengetahui apa-apa mengenai RM42 juta daripada SRC dalam ucapan mitigasi beliau. Namun, saya tidak menafikan yang beliau pernah menjadi Perdana Menteri negara kita.

“Penggunaan harta tersebut oleh pihak lain tidak wajar sama sekali. Perkara ini tidak boleh diubah mahupun disembunyikan dengan mengatakan yang sebahagian daripada RM42 juta ini telah digunakan untuk tujuan kebajikan.

“Tidak ada yang baik apabila seseorang mendermakan sesuatu yang bukan miliknya. SRC International Sdn Bhd ditubuhkan untuk mempelopori usaha menggalakkan penggunaan sumber tenaga alternatif dalam negara kita. Penerima perbelanjaan daripada pihak tertuduh ini tidak dapat dinafikan memang ramai dan berbagai, tetapi, semuanya hanyalah untuk kepentingan peribadi pihak tertuduh.”

Masih setuju dengan pelantikan Najib sebagai pengerusi BNBBC?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri