Mengapakah soalan saya berkenaan Menteri PAS yang melanggari SOP kuarantin Covid-19 ini diletakkan di tempat ke-38 dalam Dewan Rakyat esok dan bukannya di satu kedudukan yang lebih awal bagi membolehkannya dijawab secara lisan dalam Parlimen?

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah enggan untuk menjawab persoalan mengenai kekeliruan dalam penguatkuasaan undang-undang di mana Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi PAS, Khairuddin Aman Razali, hanya didenda selepas melanggar SOP kuarantin Covid-19 sejurus selepas kembali dari Turki pada 7 Julai.

Saya telah mengemukakan soalan parlimen mengenai masalah yang sama dalam persidangan Parlimen sesi Belanjawan yang berlangsung selama 27 hari bermula esok, tetapi soalan itu tidak diberikan keutamaan dan tidak akan dijawab secara lisan.

Mengapakah soalan saya berkenaan Menteri PAS yang melanggari SOP kuarantin Covid-19 ini diletakkan di tempat ke-38 dalam Dewan Rakyat esok dan bukannya di satu kedudukan yang lebih awal bagi membolehkannya dijawab secara lisan dalam Parlimen?

Saya telah meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjelaskan status terkini siasatan terhadap pelanggaran SOP kuarantin Covid-19 oleh Khairuddin.

Jelas bahawa persoalan mengenai penguatkuasaan undang-undang SOP Covid-19 secara tidak teratur dalam kes Menteri PAS ini adalah perkara berkepentingan tinggi, dan pastinya akan ada banyak pertanyaan tambahan oleh Ahli-ahli Parlimen yang tidak berpuas hati daripada kedua-dua belah Dewan yang sedang menunggu untuk menanyakan berkenaan isu ini, kerana perkara ini akan menentukan tahap kepercayaan dan sokongan masyarakat terhadap pemikiran dan pendekatan melibatkan "keseluruhan kerajaan" dan "keseluruhan masyarakat" yang dilancarkan oleh kerajaan dalam perang melawan wabak Covid-19.

Penyusunan soalan Parlimen, untuk menentukan sama ada ia akan dijawab secara lisan yang kemudiannya disusuli dengan pertanyaan tambahan oleh ahli-ahli Parlimen atau untuk dijawab kemudian dalam bentuk jawapan bertulis, perlu bergantung kepada kepentingan awam soalan tersebut dan bukannya sama Menteri yang menjawab tersebut suka atau pun tidak kepada soalan tersebut.

Semestinya, Kabinet Muhyiddin tidak mahu perkara mengenai kegagalan penguatkuasaan SOP kuarantin Covid-19 Menteri PAS ini dibangkitkan dalam Waktu Pertanyaan Jawab Lisan, tetapi sebarang campur tangan Kabinet dalam perkara ini melanggari doktrin pemisahan kuasa di antara pihak Eksekutif, Badan Perundangan dan Kehakiman.

Harus ada garis panduan yang jelas dan berpatutan untuk menentukan kedudukan soalan Parlimen untuk Waktu Pertanyaan yang boleh diteliti oleh semua pihak dan diputuskan oleh Jawatankuasa Dewan atau mana-mana Jawankuasa Pilihan Khas Parlimen yang berkenaan untuk pelaksanaan oleh pihak pentadbiran Parlimen.

Ini adalah salah satu bidang reformasi parlimen yang memerlukan perhatian.

Penyusunan aturan urusan mesyuarat untuk persidangan Parlimen yang bermula pada hari esok ini agak berkontroversi.

Dua minggu lalu, salah satu perkara yang hangat diperkatakan di media sosial adalah satu keratan rancangan bual bicara 2015 yang bertajuk “Art of the Matter: How to Overthrow a Government (Legally)”, di mana Yang di Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harus yang juga dikenali sebagai Art Harun mengatakan yang sebarang usul tidak percaya kepada kerajaan, “melalui konvensyen atau amalan berpelembagaan, dan bukan melalui undang-undang”, haruslah menjadi perkara pertama urusan mesyuarat Parlimen.

Namun perkara ini tidak dapat dilihat diamalkan dalam aturan urusan mesyuarat Dewan esok.

Walaupun dengan mengekalkan pendapat yang mengatakan bahawa di bawah Peraturan Mesyuarat Parlimen sebarang usul bukan kerajaan hanya dapat akan dapat dilompatkan kehadapan usul-usul kerajaan jika mendapat sokongan daripada seorang menteri, Azhar telah melawan kata-katanya sendiri yang mengatakan usul tidak percaya mesti menjadi perkara pertama urusan Parlimen dalam kalangan usul-usul bukan daripada kerajaan.

Dalam Aturan Urusan Mesyuarat Parlimen untuk hari esok, jelas bahawa dua ahli Parlimen kerajaan telah mengemukakan usul kepercayaan untuk menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala 25 ahli Parlimen pembangkang telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

Tetapi, tidak ada satu pun daripada 27 usul ini yang diletakkan sebagai perkara pertama selepas kesemua usul-usul kerajaan dalam aturan urusan mesyuarat persidangan hari esok.

Daripada 27 usul ini, sama ada dalam bentuk usul kepercayaan atau usul tidak percaya kepada Perdana Menteri, yang pertama disenaraikan adalah usul daripada Ahli Parlimen Pejuang untuk Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah di tempat ke-19.

Empat usul pertama adalah usul-usul rasmi kerajaan, dan yang lain semua adalah usul peribadi daripada ahli-ahli Dewan.

Menurut video tahun 2015 Art Harun, sebarang usul berkaitan dengan keyakinan dan kepercayaan terhadap Perdana Menteri sepatutnya diletakkan di tempat ke-5 dalam aturan urusan mesyuarat untuk hari esok jika ia tidak dapat diletakkan sebagai perkara pertama!

Speaker perlu memberikan penjelasan.

Laporan daripada Dr Noor Hisham mengenai keadaan gelombang ketiga wabak Covid-19 semalam amat memberansangkan kerana Malaysia nampaknya sedang beralih arah dari segi jumlah jangkitan dan kematian baharu akibat Covid-19.

Ini adalah “alih arah” yang berbeza sama sekali dengan apa yang dikatakan oleh Donald Trump dalam kempen pilihan raya presiden Amerika Syarikat -- di mana Trump menggunakan istilah itu semasa jumlah kes dan kematian harian Covid-19 meningkat mendadak di Amerika Syarikat, melebihi 100,000 jangkitan dan 1,000 kematian dalam satu hari manakala Malaysia pula sedang mencatatkan pengurangan jangkitan dan kematian Covid-19 selama tiga hari berturut-turut.

Pada hari Jumaat, dunia mencatat rekod tertinggi peningkatan harian sebanyak 573.630 kes (hampir lima kali ganda jumlah kes terkumpul global pada 11 Mac ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai satu pandemik).

Terdapat lonjakan baharu kes-kes Covid-19 di Timur Tengah, Eropah dan Amerika Syarikat, di mana seluruh negara berada kini berada dalam zon merah dan klasifikasi zon berwarna merah, oren dan hijau tidak lagi mempunyai makna.

Di United Kindom, Perdana Menteri Boris Johnson melaksanakan kawalan pergerakan di England selepas United Kingdom mencapai tahap baharu dengan satu juta kes Covid-19 dalam gelombang kedua yang berpotensi untuk melumpuhkan perkhidmatan kesihatan di UK.

Malaysia juga menghadapi cabaran suram daripada wabak Covid-19, tetapi kita tidak berada di dalam liga yang sama seperti negara lain, seperti sembilan negara teratas dengan jumlah kes terkumpul lebih dari satu juta, yang didahului oleh Amerika Syarikat dengan lebih daripada 9.4 juta kes, diikuti oleh India dan Brazil masing-masing dengan hampir 8.2 juta dan 5.5 juta kes.

Dengan 31,548 kes, kita sekarang berada di kedudukan ke-88 di dunia dari segi jumlah jangkitan Covid-19 walaupun pada masa awal Covid-19 kita berada di kedudukan ke-18.

Dari segi jumlah kes per sejuta penduduk, kita berada di kedudukan ke-130.

Malaysia mencatatkan 971 kes Covid-19 per sejuta penduduk, sementara 10 negara teratas pula mencatatkan di antara 30,838 kes hingga 60,345 kes per sejuta penduduk.

Bilakah gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia ini akan memuncak? Adakah akan terdapat lebih banyak gelombang wabak Covid-19 sebelum wabak ini dapat dikawal, yang dijangkakan oleh sesetengah pihak, hanya akan berlaku menjelang 2022?

Malaysia sedang berusaha untuk memastikan kita mengelakkan peningkatan harian jangkitan Covid-19 empat angka, walaupun kita telah gagal dua kali pada 24 dan 26 Oktober di mana negara kita mencatatkan 1,228 dan 1,240 kes baru Covid-19.

Terdapat unjuran model oleh ahli akademik di Malaysia yang mengatakan akan ada 15,000 kes Covid-19 aktif pada 8 November 2020.

Laporan kes Covid-19 oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Noor Hisham Abdullah dalam tiga hari memberikan sedikit kelegaan.

Dalam tiga hari lepas -- 629 kes baharu tanpa sebarang kematian pada hari Khamis, 799 kes baharu dan tiga kematian pada hari Jumaat, dan 659 kes baharu tanpa sebarang kematian semalam -- kelihatan seperti petanda permulaan penurunan gelombang ketiga wabak Covid-19, di mana tidak ada lagi peningkatan harian empat angka.

Pada saat ini, marilah kita bawa ke Parlimen, Belanjawan 2021 untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan di Malaysia dalam berhadapan dengan wabak Covid-19, yang sepatutnya buat kali pertama, menunjukkan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat”, yang mengambil kira pandangan kedua-dua belah pihak, baik Kerajaan mahupun Pembangkan dalam perang melawan wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri