“Pemecatan” Mahathir, Mukhriz, Maszlee, Syad Saddiq, dan Amiruddin sebagai ahli Bersatu adalah bukti terjelas permainan politik Muhyiddin ketika negara sedang dilanda wabak Covid-19, membongkarkan penipuan yang kononnya beliau tidak bermain politik kerana rakyat telah muak

Cubaan “membuang” Tun Dr Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir, Maszlee Malik, Syed Saddiq, dan Amiruddin Hamzah daripada Parti Bersatu adalah bukti paling jelas permainan politik Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah mengatakan pada bulan lepas yang beliau tidak pernah terfikir untuk berpolitik sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac kerana “rakyat sudah muak” dengan politik.

Malah, kejadian ini menimbulkan persoalan mengenai mengapa Parlimen Malaysia masih disekat, dengan ahli-ahli parlimen dihalang daripada menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka untuk menyemak imbang dan meneliti tindakan kerajaan sepanjang wabak Covid-19, sedangkan di negara lain yang kini berhadapan dengan beratus ribu kes Covid-19 Parlimen mereka masih lagi berfungsi.

Parlimen Singapura misalnya, bersidang seperti biasa, sebelum dan selepas persidangan sehari Parlimen Malaysia pada 18 Mei, sedangkan di Malaysia, sebarang hal-ehwal Parlimen dihalang pada hari tersebut.

Kejayaan terbesar 100 hari pertama pemerintahan Muhyiddin adalah dalam menyekat fungsi Parlimen Malaysia, yang kini telah membawa malu kepada bukan sahaja beliau, tetapi juga negara kita.

Mahathir dan empat pemimpin Bersatu sedang mencabar kesahan pembuangan mereka daripada parti tersebut, tetap tindakan menyekat dan melumpuhkan tanggungjawab ahli-ahli parlimen untuk meneliti dan menyemak imbang tindakan kerajaan semasa negara dilanda wabak Covid-19 masih belum dijawab oleh Perdana Menteri yang “tidak berpolitik”.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri