Kadar peningkatan harian kes Covid-19 di peringkat dunia semalam telah melepasi paras 100,000 kes sehari dan seluruh dunia dijangkakan mencecah 6 juta kes menjelang 30 Mei

Peningkatan harian kes Covid-19 yang disahkan semalam telah melepasi paras 100,000 kes sehari. Kini sejumlah 5,784,603 kes telah dicatatkan di seluruh dunia, peningkatan sebanyak 106,575 kes berbanding dengan hari sebelumnya.

Sementara negara kita menghelakan nafas lega dengan penurunan semula peningkatan harian ke dalam julat dua angka selepas mencatatkan peningkatan tiga angka untuk dua hari berturut-turut, wabak ini terus merebak ke seluruh dunia dengan peningkatan korban yang kian meningkat -- dengan 213 negara dan jajahan yang telah terkesan, dan 187 negara yang telah melaporkan kematian.

Wabak ini mengambil masa selama 13 minggu untuk mencapai sejuta pertamanya; 12 hari untuk mencapai sejuta kedua, ketiga, dan keempat; dan kemungkinan besar hanya 10 hari untuk mencapai sejuta kelimanya dengan kadar kenaikan sedia ada. Kita mungkin bakal melihat kes keenam juta menjelang 30 Mei.

Kadar kematian akibat Covid-19 juga amatlah menghibakan, dengan Amerika Syarikat yang kini telah mencatatkan lebih daripada 100,000 kematian dengan 1,745,677 kes positif. Sementara itu, Brazil pula kini telah melonjak ke tangga kedua dengan 411,821 kes dan 25,598 kematian.

AS telah mencatatkan lebih banyak kematian berbanding dengan mana-mana negara dalam dunia dan mencatatkan hampir kali ganda lebih banyak kematian berbanding dengan negara kedua iaitu United Kingdom yang kini mempunyai 37,460 kematian akibat Covid-19.

Jumlah korban daripada daripada enam negara teratas sahaja -- iaitu Amerika Syarikat (102,095), United Kingdom (37,460), Itali (33,072), Perancis (28,596), Sepanyol (27,118) dan Brazil (25,598) -- telah mewakili hampir 71 peratus jumlah kematian global.

Jumlah korban sebenar akibat wabak ini mungkin lebih tinggi daripada angka yang dilaporkan kerana perbezaan definisi, kadar dan kelambatan keputusan ujian saringan, dan kemungkinan kurang-lapor.

Negara-negara di seluruh dunia kini sedang berusaha untuk hidup bersama dengan wabak ini sehinggalah satu vaksin yang berkesan dicipta dan tersedia dengan meluas: bagi membolehkan satu keseimbangan dicapai, di antara keperluan untuk membuka semula ekonomi negara dan pada masa yang sama mengekang penularan wabak Covid-19 dan bersedia untuk penularan semula yang mungkin terjadi pada bila-bila masa.

Bilakah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyedari yang usaha untuk mencapai keseimbangan ini -- untuk membuka semula ekonomi negara dan pada masa yang sama mengekang penularan semula wabak -- adalah mustahil di negara kita tanpa keyakinan dan kepercayaan rakyat dan pemulihan semula kuasa menyemak imbang dan meneliti kepada Parlimen dalam menangani wabak Covid-19?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri