Mangsa-mangsa peperangan melawan Covid-19 di Malaysia -- demokrasi berparlimen, integriti, keadilan, keyakinan dan solidariti kebangsaan

Mangsa-mangsa peperangan melawan Covid-19 di Malaysia -- demokrasi berparlimen, integriti, keadilan, keyakinan dan solidariti kebangsaan.

Semalam, telah saya katakan, jika tidak kerana berlakunya Langkah Sheraton dan pergolakan politik yang tercetus daripadanya, Malaysia mungkin tidak akan menghadapi gelombang kedua wabak Covid-19 dalam negara kita. Ia telah mengorbankan 113 nyawa dan mencatatkan hampir 7,000 kes positif dalam negara serta kesan buruk terhadap kehidupan 32 juta rakyat Malaysia akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKPB.

Pada hari yang sama, terdapat satu artikel di media elektronik yang bertajuk: “Bagaimana PN kongsi ghanimah”.

Sepatutnya ada satu lagi artikel yang bertajuk “Mangsa peperangan melawan Covid-19 di Malaysia -- demokrasi berparlimen, integriti, keadilan, keyakinan dan solidari kebangsaan”.

Wabak Covid-19 ini adalah satu fenomena antarabangsa dan saya sentiasa menyeru Malaysia supaya belajar daripada kejayaan dan kegagalan negara-negara lain agar kita dapat membangunkan satu amalan terbaik yang bersesuaian dengan negara kita dan bukannya melakukan perkara-perkara buruk semasa wabak ini menular dalam negara.

Sebagai contoh, semasa PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac, negara kita berada di tangga ke-18 dari segi jumlah kes positif dicatatkan -- dengan 790 kes positif. Sedangkan Amerika Syarikat pula berada di tempat keenam dengan 9,269 kes dan Rusia pula mempunyai jauh lebih sedikit kes positif berbanding Malaysia di tempat ke-48 dengan 147 kes.

Tetapi hari ini, Malaysia berada di tangga ke-56 dengan 7,009 kes (peningkatan 8.9 kali ganda dalam tempoh dua bulan), sedangkan Amerika Syarikat pula merupakan negara dengan jumlah kes tertinggi, sejumlah 1,591,252 kes (peningkatan 17.7 kali ganda) manakala Rusia pula berada di tempat kedua dengan 308,705 kes (peningkatan 2,100 kali ganda).

Perkara yang sama juga dapat diperhatikan di Brazil dan United Kingdom, yang kini merupakan negara ketiga dan kelima dari segi jumlah kes terkumpul, masing-masing mencatatkan 291,579 dan 248,818 kes.

Pada 18 Mac, Brazil mempunyai lebih sedikit kes berbanding dengan negara kita, hanya 529 kes (peningkatan 551 kali ganda dalam tempoh dua bulan). Manakala UK pula berada dalam kalangan 10 negara dengan jumlah kes tertinggi dengan 2,626 kes (peningkatan 94.8 kali ganda).

Hakikatnya, dalam tempoh dua bulan lepas, jumlah kes Covid-19 yang disahkan di Malaysia hanya meningkat 8.9 kali ganda, sedangkan jumlah kes di Amerika Syarikat, Rusia, Brazil, dan United Kingdom meningkat sebanyak 171.2; 2,100; 551; dan 94.8 kali ganda, menunjukkan terdapat sesuatu yang tidak betul berkenaan polisi kesihatan awam dalam melawan wabak Covid-19 di negara-negara tersebut.

Malaysia sepatutnya dapat mengelak daripada berlakunya gelombang kedua wabak ini yang menyebabkan jumlah kes positif meningkat daripada 22 kes dan satu kematian dalam tempoh 16 ke 22 Februari kepada 7,009 kes dan 114 kematian setakat 19 Mei, jika kita tidak berhadapan dengan Langkah Sheraton dan pergolakan politik yang menyusul.

Namun, syukur di atas pengorbanan para petugas barisan hadapan yang merisikokan nyawa dan keselamatan diri mereka dalam memerangi wabak ini, kita kini berjaya mengawal penularan gelombang kedua ini. Sedangkan di Amerika Syarikat, Rusia, Brazil, dan United Kingdom, mereka masih lagi menunggu kemuncak gelombang pertama wabak ini, ataupun sedang rancak berdebat sama ada kemuncak ini sudahpun berlalu di negara mereka.

Terdapat mereka yang tidak mahu mengetahui apa yang berlaku di negara lain. Tetapi kita sebagai sebuah negara dengan keterbukaan ekonominya perlu mengambil pengajaran dalam memastikan kebolehhidupan dan kesejahteraan Malaysia.

Amat menyedihkan dan tragis apabila Malaysia sedang bertungkus-lumus melawan wabak ini, terdapat pemimpin politik dalam negara kita yang sibuk membahagikan “rampasan perang” daripada Langkah Sheraton, tanpa mempedulikan “kecederaan” negara akibat peperangan melawan wabak Covid-19 ini. Ini termasuklah kerosakan terhadap; demokrasi berparlimen, integriti, keadilan, keyakinan dan solidariti kebangsaan.

Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, mahupun fahaman politik, terseksa apabila Parlimen dikunci dan kuasanya ‘diikat’ dalam menyemak imbang serta meneliti tindak-tanduk kerajaan. Hal ini penting terutama sekali dalam menghalang berlakunya penyalah-gunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, kembalinya kleptokrasi, mahupun pencabulan asasi manusia.

Dewan Undangan Negeri Perlis semalam telah mengadakan persidangan penuh Dewan, manakala Dewan Undangan Negeri Sabah pula telah bersidang selama tiga hari. Dewan Undangan Negeri Selangor dan Pulau Pinang juga telah mengadakan persidangan penuh.

Apakah sebabnya Perdana Menteri memendekkan sidang Parlimen pada hari Isnin yang menyebabkan ahli-ahli Parlimen hadir sekadar untuk mendengar Titah Diraja? Mesyuarat pada hari itu ditangguh dalam tempoh masa kurang daripada satu jam, sedangkan DUN di negeri Perlis, Sabah, Pulau Pinang, dan Selangor boleh bersidang?

Semalam, seorang lagi ahli Parlimen Perikatan Nasional telah dilantik sebagai pengerusi GLC, selari dengan pengumuman Menteri Hal Ehwal Parlimen Takiyuddin Hassan, bahawa semua ahli Parlimen Kerajaan yang tidak mempunyai kedudukan sebagai anggota pentadbiran akan dilantik untuk mengetuai syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ini adalah satu lagi contoh di mana pengagihan “rampasan perang” daripada Langkah Sheraton telah menjadi keutamaan kerajaan berbanding dengan “kecederaan yang dialami negara dalam peperangan melawan Covid-19”!

Bilakah semua ini akan berakhir? Situasi yang berlaku ini hanya menyuburkan penyalah-gunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, kembalinya kleptokrasi, dan pencabulan hak asasi manusia!

Kerajaan Perikatan Nasional telah merendahkan kepentingan menangani “kecederaan” yang dialami negara kita dalam peperangan melawan Covid-19 dan memilih untuk mengutamakan pengagihan “rampasan perang” daripada Langkah Sheraton. Ini menunjukkan kerajaan masih tidak mempunyai sebarang rancangan keluar bagi negara kita yang sepatunya melibatkan “keseluruhan masyarakat” bagi dibentangkan kepada Parlimen pada Isnin lepas.

Perkara ini juga merupakan sebab berlakunya tawaran rayuan yang mengejutkan dalam kes Riza Abdul Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan di atas tuduhan pengubahan wang haram -- yang melibatkan sejumlah ASD 248 juta (RM1.08 bilion) yang berkaitan dengan dana 1MDB -- dengan pengembalian sejumlah ASD107.3 juta (RM645.3 juta) sebagai ganti.

PN harus mengumumkan pendiriannya mengenai skandal 1MDB -- sama ada ia menyokong pendirian Pakatan Harapan yang skandal ini adalah skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara, yang telah membawa kepada pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri, ataupun PN bersetuju dengan pendirian kerajaan Barisan Nasional sebelum PRU14? Mungkinkah PN menganggap segala perbincangan mengenai skandal 1MDB ini sebagai penipuan sehingga para ahli Parlimen dihalang daripada membahaskannya?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri