Jika tidak kerana Langkah Sheraton dan krisis politik yang berlaku akibatnya, Malaysia mungkin tidak akan berhadapan dengan gelombang kedua Covid-19 dan tidak perlu melalui PKP dan PKPB dan kesan buruknya terhadap nyawa dan kehidupan
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semalam, hampir separuh daripada kes Covid-19 di dalam negara kita boleh dijejaki semula kepada kluster perhimpunan keagamaan di Sri Petaling, Kuala Lumpur yang berlangsung di antara 28 Februari sehingga 1 Mac dengan melibatkan peserta dari seluruh dunia.
Jika tidak kerana Langkah Sheraton dan krisis politik yang berlaku akibatnya seperti yang dikatakan oleh baginda Yang di Pertuan Agong di dalam Titah Ucapan Baginda sempena pembukaan Parlimen pada persidangan sehari Isnin lalu, negara kita mungkin tidak akan berhadapan dengan gelombang kedua Covid-19 dan jumlah kes positif dalam negara mungkin hanya akan mencapai sekadar 3,000 kes ataupun lebih rendah lagi, bukannya hampir mencecah 7,000 kes seperti yang kita lihat hari ini.
Semasa Malaysia melaksanakan PKP pada 18 Mac, kita adalah negara ke-18 dengan jumlah kes tertinggi di dunia dan merupakan negara teratas di Asia Tenggara, pada masa yang sama negara kita adalah ke-33 teratas dengan jumlah kematian akibat Covid-19.
Kini kita telah turun ke kedudukan ke-56 dari segi jumlah kes positif yang direkodkan -- malah, jika tidak kerana gelombang kedua ini, kita mungkin berada di atas kedudukan ke-70. Kita sepatutnya berada di belakang Thailand, yang mempunyai dua kali ganda jumlah penduduk. Thailand kini berada di kedudukan ke-70 dengan 3,033 kes dan 56 kematian.
Setakat hari ini, terdapat sebelas negara yang telah melepasi paras 100,000 kes positif Covid-19. Negara-negara ini adalah: (1) Amerika Syarikat - 1,570,144; (2) Rusia - 299,941; (3) Sepanyol - 278,803; (4) Brazil - 271,628; (5) United Kingdom - 248,818; (6) Itali - 226,699; (7) Perancis - 180,809; (8) Jerman 177,827; (9) Turki - 151,615; (10) Iran - 124,603; dan (11) India - 106,475 kes. Peru dengan 99,483 kes adalah negara ke-12 dengan hanya 520 kes lagi sebelum mencecah paras 100,000 kes positif manakala China kini berada di tempat ke-13 dengan 82,960 kes.
Kos Langkah Sheraton dan pergolakan politik yang menyusulinya terbukti sangat tinggi untuk negara kita.
Jika tidak kerana Langkah Sheraton dan pergolakan politik ini, Malaysia tidak akan berhadapan dengan gelombang kedua penularan Covid-19 dan pastinya dapat mengelakkan pelaksanaan PKP dan PKPB yang datang dengan kesan buruk terhadap nyawa dan kehidupan dalam negara.
Kita bernasib baik kerana kita tidak perlu bergantung kepada kepimpinan politik dalam kerajaan -- yang hanya memikirkan bagaimana untuk memperkukuhkan kuasanya, termasuklah dengan mengunci Parlimen daripada menjalankan tanggungjawabnya -- untuk memimpin dalam peperangan melawan wabak ini.
Saya tidak dapat membayangkan apakah yang akan terjadi sekiranya kita terpaksa bergantung kepada pimpinan politikal dalam negara, apabila kita dapat melihat kepincangan dan penyalah-gunaan kuasa yang telah berlaku, seperti isu “penawar air suam kepada Covid-19”, “15 negeri”, “500 negara”, “Doraemon”, “Menteri”, “Tik Tok”, pertuduhan berat mengenai diskriminasi dalam pengedaran bantuan makanan untuk golongan B40 di kawasan Parlimen pembangkang, dan tawaran rayuan Riza Abdul Aziz.
Rakyat Malaysia telah memberikan penghormatan kepada petugas barisan hadapan yang mempertaruhkan nyawa dan keselamatan diri mereka sendiri untuk mengawal gelombang kedua wabak Covid-19.
Kerajaan seharusnya mengambil kesempatan semasa penyampaian Titah Diraja di Parlimen pada hari Isnin lepas (yang berlangsung dua bulan selepas PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac) untuk membentangkan rancangan kerajaan untuk membawa negara kita keluar daripada PKP dan mengawal penularan wabak ini yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk memastikan Malaysia berjaya mengawal wabak ini dan mengekang sebarang penularan semula serta melonjakkan semula ekonomi negara.
Adalah menjadi satu pengabaian tanggungjawab yang serius oleh pimpinan politik dalam negara apabila perkara ini tidak dilakukan.
Bilakah kerajaan akan membentangkan rancangannya, memandangkan pakar di seluruh dunia kini mengatakan yang kita mungkin perlu belajar untuk hidup bersama-sama dengan virus ini, memandangkan virus yang berkesan mungkin akan mengambil masa di antara dua ke lima tahun sebelum dapat dicipta dan tersedia dengna meluas?