Sekurang-kurangnya, kelihatan seakan-akan pimpinan PN mampu untuk membuat lawak berkelas dunia -- menjanjikan pentadbiran berkelas dunia dalam satu hari dan keesokan harinya pula menghancurkan asas pentadbiran berkelas dunia dengan menghalang penelitian dan semak imbang Parlimen
Sekurang-kurangnya, kelihatan seakan-akan pimpinan PN mampu untuk membuat lawak berkelas dunia -- menjanjikan pentadbiran berkelas dunia dalam satu hari dan keesokan harinya pula menghancurkan asas pentadbiran berkelas dunia dengan menghalang penelitian dan semak imbang Parlimen
Persidangan sehari Parlimen hari ini merupakan satu titik yang paling hitam buat Parlimen Malaysia sepanjang 63 tahun penubuhannya.
Hari ini menunjukkan satu Kabinet yang tidak menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan prinsip-prinsip utamanya; doktrin pemisahan kuasa di antara cabang eksekutif, Parlimen, dan kehakiman, dan prinsip kedaulatan undang-undang.
Perbuatan adalah suatu perkara yang tidak akan dilakukan oleh mana-mana Kabinet yang menjunjung Perkara 43(3) Perlembagaan yang memperuntukkan “Kabinet hendaklah bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen”.
Dengan Parlimen dikunci dan sebarang penelitian dan semak imbang Parlimen digantung sehingga bulan Julai, kepada siapakah Kabinet sekarang ini bertanggungjawab?
Ini adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima oleh mana-mana menteri jika beliau ikhlas dan jujur kepada sumpah yang di bawah Jadual Keenam Perlembagaan yang diangkat di hadapan Yang di Pertuan Agong untuk “memelihara, melindungi dan mempertahankan” Perlembagaan Persekutuan.
Malaysia kini mempunyai satu Kabinet yang secara terang-terangan menolak asas pembinaan negara yang berada di dalam Rukunegara.
Kita mempunyai Menteri daripada parti politik yang secara terang-terangan menolak Rukunegara sebagai asas pembinaan negara, tetapi ini adalah kali pertama virus anti-Rukunegara ini menjangkiti semua Jemaah Menteri yang akhirnya membawa kita kepada keputusan untuk Parlimen hanya bersidang selama sehari.
Ahli-ahli Parlimen sepatutnya telah bersidang lebih awal lagi untuk membahaskan cabaran-cabaran baharu yang datang dengan wabak Covid-19 -- bagaimana untuk mengekang penularannya dan mengelakkan penularan semula dan juga kaedah bagaimana untuk negara kita membina semula ekonomi negara yang telah dirosakkan oleh wabak ini: dalam kata lainnya, membincangkan bagaimanakah negara kita akan hidup bersama wabak ini untuk jangka masa hadapan terdekat, yang mungkin berlanjutan sehingga lima tahun dan bukannya 12 ke 24 bulan seperti yang dijangkakan sebelum ini.
Adalah sedih dan tragik apabila persidangan Parlimen diadakan hanya semata-mata untuk memenuhi keperluan Perlembagaan supaya Parlimen bersidang setiap enam bulan dan bukannya bersidang untuk memastikan Malaysia mempunyai pentadbiran berkelas dunia yang berasaskan penelitian dan semak imbang tindakan kerajaan untuk memastikan hanya polisi yang terbaik dilaksanakan negara dalam menghadapi cabaran yang dibawa Covid-19.
Sepatutnya kita sedang membangunkan polisi dan amalan terbaik di dunia dalam peperangan melawan wabak Covid-19, sebaliknya negara kita kini mempunyai titik hitam di mata dunia sebagai tempat di mana berlakunya penyalahgunaan kuasa, rasuah berleluasa, pengembalian kleptokrasi, dan pencabulan hak asasi manusia.