Riduan perlu segera dikembalikan sebagai Setiausaha Dewan Rakyat memandangkan penurunan jawatan beliau yang drastik dan memalukan itu adalah satu hukuman yang bertentangan dengan Perkara 65(2) Perlembagaan Persekutuan

Riduan Rahmat telah mencatatkan sejarah pelantikan terpendek sebagai Setiausaha Dewan Rakyat ke 13, beliau dilantik pada 22 Februari 2020 -- tidak sampai tiga bulan!

Perkara ini adalah satu pengakhiran yang keji terhadap kerjaya Parlimen selama 31 tahun Riduan, beliau telah menyertai perkhidmatan awam pada 31 Januari 1989 sebagai seorang pegawai pentadbiran dan mula berkhidmat sebagai Setiausaha Dewan Negara sejak 8 September 2014.

Riduan perlu segera dikembalikan sebagai Setiausaha Dewan Rakyat memandangkan penurunan jawatan beliau yang drastik dan memalukan itu adalah satu hukuman yang bertentangan dengan Perkara 65(2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 65(2) memerlukan Setiausaha Dewan Rakyat -- yang merupakan satu jawatan tertinggi perkhidmatan awam dalam negara -- “dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong daripada kalangan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan dan setiap seorang hendaklah memegang jawatan sehingga dia mencapai umur persaraan paksa bagi anggota perkhidmatan awam am melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan jawatannya atau ditukarkan kepada suatu jawatan lain dalam perkhidmatan awam am itu”.

Riduan tidaklah “ditukarkan kepada suatu jawatan lain dalam perkhidmatan awam” tetapi telah dihukum dengan cara yang bertentangan dengan Perlembagaan dan juga dikenakan penurunan pangkat yang drastik juga.

Jawatan Setiausaha Dewan Rakyat adalah adalah lebih tinggi daripada Setiausaha Dewan Negara yang telah disandang oleh Riduan untuk hampir selama enam tahun daripada 8 September 2014 sehingga 21 Februari 2020. Beliau kemudiannya dinaikkan pangkat dengan dilantik sebagai Setiausaha Dewan Rakyat bagi menggantikan Datuk Roosme Binti Hamzah yang bersara setelah dua tahun berkhidmat.

Kini, beliau telah diturunkan pangkat kepada seorang Setiausaha Bahagian pengurusan Dewan Negara, satu jawatan yang lebih rendah daripada jawatan beliau sebelum ini sebagai Setiausaha Dewan Negara, di mana pegawai yang merupakan junior beliau sebelum ini telah pun menjawat jawatan yang lebih senior.

Jika benar Riduan telah cuai dalam menjalankan tugas beliau sebagai Setiausaha Dewan Rakyat, maka perlulah adanya satu siasatan ke atas kecuaian ini kerana beliau tidak sepatutnya dihukum tanpa sebab ataupun siasatan yang menyeluruh.

Malah, memandangkan kedudukan tinggi jawatan Setiausaha Dewan Rakyat ini, Riduan tidak sepatutnya dibuang daripada jawatannya sebagai Setiausaha Dewan Rakyat “kecuali atas alasan dan dengan cara yang sama sepertimana seorang Hakim Mahkamah Persekutuan”, iaitu melalui tribunal.

Biar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan sebab-sebab Riduan dihukum dengan cara yang bertentangan dengan Perlembagaan dan diturunkan pangkat secara drastik dan sama ada perkara ini telah dibawa kepada Kabinet untuk dipersetujukan ataupun ia hanyalah keputusan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggung jawab ke atas hal ehwal Parlimen.

Adakah Riduan dihukum kerana usul tidak percaya kepada Perdana Menteri yang dicadangkan oleh Tun Dr Mahathir untuk persidangan hari Isnin ini telah diterima oleh Yang di Pertua Dewan Rakyat?

Adakah perbuatan ini satu salah laku untuk dijadikan alasan kepada penurunan pangkat secara drastik dan memalukan untuk Riduan?

Biarlah satu tribunal yang menentukan perkara yang berkaitan dengan perlembagaan ini.

Dalam semangat ini juga, perlu difahami yang Menteri yang bertanggung jawab kepada hal ehwal Parlimen bukan Ketua kepada Parlimen, yang boleh mengarahkan Setiausaha Dewan Rakyat untuk bertindak mengikut arahannya, kerana perkara ini hanya akan menghina prinsip utama Perlembagaan Persekutuan iaitu doktrin pemisahan kuasa.

Individu yang berkuasa di Parlimen adalah Yang di Pertua dan Setiausaha Dewan Rakyat bertanggung jawab sepenuhnya terhadap Yang di Pertua Dewan Rakyat dan bukanlah Menteri Hal Ehwal Parlimen. Menteri hanyalah bertanggung jawab dalam urusan Parlimen kerajaan, dan perkara ini tidaklah menjadikan beliau seorang raja di Parlimen.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri