Berdasarkan latar belakang KRM kita, Parlimen Malaysia seharusnya menjadi Parlimen pertama di dunia yang mengadakan persidangan Parlimen secara maya. Namun sebaliknya, kerajaan PN cuba menggunakan wabak Covid-19 untuk menghalang Parlimen daripada menjalankan peranannya sebagai peneliti dan menyemak imbang

Berdasarkan latar belakang Koridor Raya Multimedia (KRM) kita, Parlimen Malaysia seharusnya menjadi Parlimen pertama di dunia yang mengadakan persidangan Parlimen secara maya. Sebaliknya, kerajaan PN cuba menggunakan wabak Covid-19 ini untuk menghalang Parlimen daripada menjalankan peranannya untuk meneliti dan menyemak imbang tindakan kerajaan.

Malah, satu tinjauan terhadap Parlimen di seluruh dunia menunjukkan bahawa Malaysia adalah satu-satunya negara di mana Parlimennya dihalang daripada menjalankan tanggungjawab.

Parlimen di kebanyakan negara lain menjalankan tugas mereka untuk meneliti tindakan kerajaan dalam menangani isu-isu epidemiologi dan sosio-ekonomi yang berpunca daripada wabak Covid-19 ini. Tambahan pula, terdapat beberapa Parlimen yang telahpun menubuhkan jawatankuasa pilihan khas baharu berkaitan dengan wabak ini.

Sebagai contoh, Dewan Rakyat di Kanada telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Wabak Covid-19 pada 20 April yang bermesyuarat melalui persidangan video dua kali seminggu.

Parlimen New Zealand pula telah menubuhkan Jawatankuasa Tindak Balas Epidemik yang terdiri daripada ahli parlimen kerajaan dan pembangkang untuk meneliti tindakan kerajaan. Manakala di United Kingdom pula, beberapa Jawatankuasa Pilihan Khas telah mengadakan sesi soal jawab atas talian untuk menyiasat pelbagai aspek rancangan kerajaan dalam menguruskan wabak Covid-19. Ini juga termasuk isu-isu berkaitan penjarakan sosial dan kawalan pergerakan yang menimbulkan pelbagai isu kepada wanita dan kanak-kanak yang hidup di dalam isi rumah yang terdedah kepada risiko keganasan rumah tangga. Isu-isu hak asasi manusia berkaitan dengan tindakan kerajaan dalam mengawal penularan wabak ini turut dibincangkan.

Kerana inilah cadangan daripada beberapa pakar akademik supaya platform atas talian seperti Zoom, Microsoft Teams, Cisco Web Meetings, ataupun Google Meet digunakan untuk mengadakan persidangan penuh Parlimen secara atas talian -- dan bukannya persidangan sehari yang tidak masuk akal -- ini tidak mungkin diberikan perhatian yang sepatutnya.

Masalah kita bukanlah ketiadaan teknologi maklumat, tetapi ketiadaan kehendak politik di dalam kerajaan PN untuk memastikan Parlimen kekal memainkan peranannya dalam meneliti dan menyemak imbang segala tindakan kerajaan semasa negara kita dilanda wabak Covid-19. Ianya perlu bagi memastikan tidak berlakunya penyalah-gunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, kembalinya kleptokrasi, dan pencabulan hak asasi manusia secara meluas.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri