Adakah Parlimen akan kembali ke masa lampau dengan membubarkan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas sedia ada dan menggantikannya dengan satu sahaja Jawatankuasa Pilihan Khas?

Menteri Hal Ehwal Parlimen, Takiyuddin Hassan harus menjelaskan sama ada kerajaan Perikatan Nasional bercadang untuk menghumban Parlimen kembali ke masa lampau dengan membubarkan sepuluh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan menggantikannya dengan satu Jawatankuasa Pilihan Khas yang mempunyai bidang kuasa ke atas semua perkara.

Malaysiakini melaporkan hari ini bahawa Takiyuddin berkata di dalam satu sidang akhbar yang hanya urusan kerajaan sahaja akan diutamakan dalam persidangan Parlimen sehari pada 18 Mei ini dan urusan kerajaan ini termasuklah pelantikan satu jawatankuasa pilihan khas untuk menggantikan jawatankuasa-jawatankuasa sedia ada.

Terdapat 12 jawatankuasa pilihan khas yang ditubuhkan di bawah kerajaan Pakatan Harapan, iaitu: Jawatankuasa Menimbang Rang Undang-undang, Jawatankuasa Belanjawan, Jawatankuasa Hak Dan Kesaksamaan Jantina, Jawatankuasa Pelantikan Utama Awam, Jawatankuasa Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, Jawatankuasa Hubungan Persekutuan-Negeri, Jawatankuasa Hal Ehwal Pilihan Raya, Jawatankuasa Hubungan dan Perdagangan Antarabangsa, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dan Hal Ehwal Perlembagaan, dan Jawatankuasa Sains, Inovasi, dan Alam Sekitar.

Parlimen akan kembali ke masa lampau dari segi reformasi Parlimen jika jawatankuasa-jawatankuasa ini dibubarkan.

Malah, Parlimen sepatutnya menubuhkan satu jawatakuasa baharu mengenai hal ehwal kesihatan dan penjagaan sosial serta merta untuk membolehkan proses penelitian dan semak imbang tindakan kerajaan dalam mengendalikan wabak Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri