Seruan kepada semua rakyat Malaysia untuk menandatangani petisyen atas talian menggesa sekurang-kurangnya persidangan Parlimen selama dua minggu yang bertumpukan kepada isu-isu berkaitan wabak Covid-19
Saya seru semua rakyat Malaysia untuk menandatangani petisyen atas talian yang menggesa Parlimen untuk bersidang sekurang-kurangnya untuk tempoh dua minggu untuk membahaskan isu-isu berkaitan dengan pengendalian wabak Covid-19, dan bukan persidangan sehari di mana ahli-ahli parlimen tidak diberi ruang untuk berbahas langsung.
Petisyen atas talian tersebut yang dilancarkan oleh Aliran bulan lepas tersebut -- yang menyeru sekurang-kurangnya dua minggu persidangan Parlimen bermula 18 Mei -- menyatakan:
“Persidangan sehari Parlimen ini kelihatan dilakukan semata-mata untuk memenuhi keperluan Perlembagaan supaya Parlimen bersidang sekurang-kurangnya setiap enam bulan. Kali terakhir Parlimen bersidang adalah dalam bulan Disember 2019.
“Perbuatan melewatkan persidangan sebenar Parlimen ke bulan Julai -- lebih daripada lapan bulan sejak persidangan yang terakhir -- ini menghina keperluan Perlembagaan ini, yang bertujuan untuk memastikan cabang eksekutif tidak memonopoli kuasa tanpa sebarang semak imbang Parlimen untuk satu tempoh yang terlalu lama.
“Kami seru supaya persidangan Parlimen diadakan sekurang-kurangnya dua minggu, bermula 18 Mei (tanpa mengira minggu cuti sambutan Hari Raya) -- mungkin dengan melalui sistem persidangan video atau pun dengan penjarakan sosial yang bersesuaian -- supaya semua isu-isu penting boleh dibentangkan dan dibahaskan secepat mungkin!”
Petisyen ini harus disokong oleh semua rakyat Malaysia yang mahu melihat demokrasi berparlimen kekal subur di Malaysia dan tidak menjadi satu sistem yang dihilangkan daripadanya segala semangat dan erti demokrasi berparlimen dengan, di mana prinsip-prinsip utama yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti pemisahan kuasa di antara cabang-cabang utama kerajaan dan kedaulatan undang-undang dicabuli begitu sahaja.
Petisyen atas talian ini boleh diakses melalui pautan berikut:
Kerajaan telah bertindak dengan satu cara yang tidak masuk akal apabila mereka memutuskan untuk mengadakan persidangan Parlimen selama sehari pada 18 Mei. Kerajaan juga tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengadakan persidangan secara maya untuk Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas, terutamanya untuk isu-isu kesihatan. Sedangkan rakyat Malaysia telah diberitahu oleh kerajaan untuk bersedia hidup bersama Covid-19 ini mungkin sehingga dua tahun lamanya -- sebelum satu vaksin yang berkesan berjaya dicipta dan tersedia secara meluas.
Marilah kita semua tandatangani petisyen ini.