Muhyiddin ditanyakan beberapa soalan mengenai kekuatan dan kelemahan negara dalam perjuangan melawan wabak Covid-19 dan adakah kerajaan bersedia membentangkan rancangan keluar dari PKP ke Parlimen untuk diluluskan?

Saya telah menghantar beberapa soalan untuk persidangan Parlimen pada 18 Mei yang meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyatakan “kekuatan dan kelemahan negara dalam perjuangan melawan wabak Covid-19 ini dan menyatakan sama ada kerajaan bersedia membentangkan rancangan keluar dari PKP ke Parlimen untuk diluluskan”.

Soalan di atas adalah satu daripada enam soalan yang telah saya hantar ke Parlimen -- kesemuanya berkaitan dengan isu Covid-19. Soalan-soalan lain yang dihantar adalah seperti berikut:

  1. Minta Perdana Menteri menyatakan kriteria untuk petugas barisan hadapan menerima elaun khas RM600 seperti yang dinyatakan di dalam pengumuman Bantuan Prihatin Nasional dan berapa ramaikah petugas barisan hadapan yang telah menerima bantuan ini.
  2. Minta Menteri Sumber Manusia menyatakan berapa lamakah kerajaan mampu untuk meneruskan Program Pengekalan Pekerjaan jika PKP terpaksa disambung lagi dan rasional di sebalik kadar bantuan ini yang bernilai RM600 yang jelas tidak mencukupi untuk para pekerja yang mengambil cuti tanpa gaji.
  3. Minta Menteri Kesihatan menjelaskan kapasiti semasa ujian saringan, penjejakan kontak rapat, dan rawatan untuk para pesakit Covid-19 dan rancangan KKM untuk meningkatkan kapasiti ini jika berlakunya kenaikan mendadak jumlah jangkitan selepas PKP dilonggarkan.
  4. Minta Menteri Kewangan menjelaskan mengapakah berlakunya perubahan kepada polisi kerajaan mengenai moratorium pinjaman yang diumumkan sebagai sebahagian daripada Bantuan Prihatin Nasional yang kini menyebabkan para peminjam terpaksa menanggung bayaran faedah tambahan akibat moratorium ini.
  5. Minta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan rancangan kerajaan untuk membantu para penyewa swasta yang kini hilang mata pencarian akibat PKP dan wabak Covid-19 daripada berhadapan dengan kemungkinan pengusiran akibat kegagalan membayar sewa.

Memandangkan penciptaan vaksin melawan Covid-19 mungkin akan mengambil masa sehingga 12 ke 24 bulan sebelum tersedia dengan meluas, rakyat Malaysia haruslah mencipta satu norma baharu untuk kehidupan mereka, sama ada di tempat kerja ataupun di rumah. Penjarakan sosial pula perlu menjadi satu daripada ciri utama norma baharu ini.

Negara kita boleh belajar daripada kesilapan dan kejayaan daripada seluruh dunia dalam perjuangan melawan wabak ini, memandangkan Covid-19 telah menular ke 219 negara dan kawasan, di mana 180 daripadanya telah melaporkan kematian.

Semasa negara kita mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020, jumlah keseluruhan kes di peringkat global baru sahaja melepasi paras 200,000 kes dengan kurang daripada 9,000 kematian. Hari ini jumlah keseluruhan kes global telah pun melepasi paras 3.5 juta kes dengan kadar kematian menghampiri satu perempat juta.

Jumlah kes disahkan di seluruh dunia telah meningkat 16 kali ganda, dengan 3,560,915 kes berbanding 218,910 kes pada 18 Mac manakala jumlah kematian pula telah meningkat 27 kali ganda, dengan 248,067 kematian, berbanding 8,925 kematian pada 18 Mac.

Semasa Malaysia melaksanakan PKP pada 18 Mac, kita adalah negara ke-18 teratas di dunia dari jumlah kes positif dan negara ke-33 teratas dari jumlah kematian disebabkan Covid-19. Kini, kita berada di kedudukan ke-50 dari jumlah kes positif dan kedudukan ke-53 dari jumlah kematian.

Berdasarkan statistik ini, terdapat juga kisah seram di Eropah dan Amerika Syarikat, di mana wabak Covid-19 ini terus merebak seperti mana di Itali yang pada 18 Mac merekodkan 35,713 kes dan kini merekodkan 210,717 kes (peningkatan sebanyak 5.9 kali ganda); Sepanyol, dari 14,769 kes kepada 247,122 kes (peningkatan 16.7 kali ganda); Jerman, dari 12,327 kes kepada 165,664 (meningkat sebanyak 13,4 kali); Perancis, dari 9,634 kes kepada 168,693 kes (meningkat sebanyak 17,5 kali); United Kingdom, dari 3,269 kes kepada 186,599 (meningkat sebanyak 57 kali); dan Amerika Syarikat dari 9,296 kepada 1,186,073 (meningkat sebanyak 127.5 kali).

Kisah seram ini tidak hanya berlaku di negara barat. Pada 18 Mac, Brazil merekodkan lebih sedikit kes positif berbanding Malaysia, hanya 529 kes, tapi kini negara tersebut telah berada di kedudukan kesembilan, melepasi China, dengan 101,147 kes (peningkatan hampir 191 kali ganda, lebih tinggi daripada AS) dan sejumlah 6,750 kematian.

Di samping itu, kita juga mempunyai kisah-kisah kejayaan Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong, dan Vietnam.

Semasa PKP dilaksanakan, terdapat tiga negara dengan lebih daripada seribu kematian; China, Itali, dan Iran.

Kini, terdapat 22 negara yang merekodkan lebih daripada seribu kematian, iaitu:

  1. Amerika Syarikat - 68,545
  2. Itali - 28,884
  3. United Kingdom - 28,446
  4. Sepanyol - 25,264
  5. Perancis - 24,895
  6. Belgium - 7,844
  7. Brazil - 7,025
  8. Jerman - 6,866
  9. Iran - 6,203
  10. Belanda - 5,056
  11. China - 4,633
  12. Kanada - 3,682
  13. Turki - 3,397
  14. Sweden - 2,679
  15. Mexico - 2,061
  16. Switzerland - 1,762
  17. Ekuador - 1,564
  18. India - 1,391
  19. Ireland - 1,303
  20. Peru - 1,286
  21. Rusia - 1,280
  22. Portugal - 1,043

Apakah pengajaran terpenting yang boleh kita pelajari daripada kesilapan dan kejayaan negara-negara lain dalam melawan wabak Covid-19? Tambahan pula, peperangan melawan wabak ini akan berterusan dalam tempoh dua tahun yang akan datang.

Selain daripada enam kriteria yang perlu dipenuhi sebelum kita melonggarkan kawalan pergerakan secara berfasa dan mengikut kawasan untuk mengekang penularan virus ini, negara perlu melonjakkan semula ekonomi negara dalam pada masa yang sama. Pengajaran terpenting adalah untuk mempunyai pendekatan yang melibatkan “kerajaan secara menyeluruh” dan “masyarakat secara menyeluruh”. Ini kerana, ia jelas sekali tidak kelihatan dalam strategi semasa kerajaan melawan Covid-19.

Perkara ini telah menyebabkan perkara tidak masuk akal berlaku, seperti persidangan Parlimen dalam tempoh sehari. Ini jelas melemahkan dan mengenepikan fungsi Parlimen yang menjadi punca banyak hal mengelirukan berlaku kebelakangan ini.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri