Seruan supaya Muhyiddin mengumumkan satu pakej ransangan ekonomi untuk perniagaan, isi rumah, dan rakyat, memandangkan PKP dilanjutkan sehinga 12 Mei, dengan penekanan kepada pelindungan pekerjaan untuk mengelakkan para pekerja daripada dibuang kerja atau dipotong gaji

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin harus mengumumkan satu pakej ransangan ekonomi Hari Buruh untuk perniagaan, isi rumah, dan rakyat, memandangkan perintah kawalan pergerakan yang dilanjutkan sehingga 12 Mei, dengan memberikan penekanan kepada pelindungan pekerjaan dan pendapatan pekerja daripada dibuang kerja ataupun dipotong gaji.

Pihak kerajaan seharusnya berasa bimbang dengan pengumuman penutupan perniagaan, seperti hotel-hotel besar di Pulau Pinang, Ipoh, dan Melaka.

Pihak International Monetary Fund (IMF) pada bulan Januari lepas telah menjangkakan yang ekonomi dunia akan berkembang sebanyak 3.3 peratus dalam tahun 2020. Namun begitu dalam jangkaan terbarunya, IMF kini menjangkan penguncupan sebanyak 3 peratus, tanpa sebarang senario baik dan dengan pelbagai risiko.

Kerajaan masih belum menggunapakai polisi “melakukan apa sahaja” untuk membantu perniagaan dan para pekerja, terutamanya golongan yang bekerja sendiri dalam menghadapi krisis yang dibawa oleh wabak Covid-19.

Malaysia berada di dalam keadaan yang agak baik dalam perjuangan untuk mengekang penyebaran wabak Covid-19 ini, namun kini negara kita perlu berjuang untuk melawan perjuangan berkembar bagi mengelakkan penularan meluas semula wabak ini dan dalam pada masa yang sama perjuangan untuk melonjakkan semula ekonomi negara.

Walaupun dengan kejayaan ini, kita harus memperakui masih terdapat kelemahan dengan sistem kesihatan kita yang perlu diperbaiki segera, dan juga kita telah melakukan beberapa kesilapan yang tidak boleh diulang lagi.

Satu persoalan yang berlegar di minda rakyat adalah mengapakah kerajaan Muhyiddin masih bertindak seakan-akan negara kita antara negara yang paling teruk terjejas dengan wabak ini sehingga Parlimen Malaysia hanya boleh bersidang selama sehari, sedangkan parlimen di negara-negara lain yang jauh lebih teruk terjejas seperti UK, Itali, Perancis, Sepanyol, dan Jerman boleh terus menjalankan tanggungjawab mereka?

Kabinet Muhyiddin perlu terus memerhatikan situasi di seluruh dunia supaya kita semua boleh belajar daripada kejayaan dan kegagalan negara lain.

Semasa Malaysia mula melaksanakan PKP pada 18 Mac 2020, China merupakan negara teratas dengan jumlah kes positif dan kematian akibat Covid-19, 80,907 kes ataupun kira-kira sepertiga jumlah kes global, dengan 3,248 kematian daripada 8,925 kematian global.

Hari ini, China tidak lagi berada di dalam kedudukan sepuluh teratas baik dari jumlah kes positif mahupun jumlah kematian.

Sepuluh negara teratas dengan jumlah kes positif tertinggi adalah:

  1. Amerika Syarikat – 1,091,067
  2. Sepanyol – 239,639
  3. Itali – 205,463
  4. UK – 171,253
  5. Perancis – 167,178
  6. Jerman – 162,530
  7. Turki – 120,204
  8. Rusia – 106,498
  9. Iran – 94,640
  10. Brazil – 85,380
  11. China – 82,862

Sebelum PKP, terdapat 218,910 kes Covid-19 di seluruh dunia, kini jumlah kes ini telah meningkat 15 kali ganda kepada 3,298,631 kes.

Semasa PKP dilaksanakan, terdapat tiga negara dengan jumlah kematian empat angka iaitu China, Itali dan Iran.

Hari ini, terdapat 19 negara yang telah mencatatkan jumlah kematian empat angka iaitu:

  1. Amerika Syarikat – 63,657
  2. Itali – 27,967
  3. United Kingdom – 26,771
  4. Sepanyol – 24,543
  5. Perancis – 24,376
  6. Belgium – 7,594
  7. Jerman – 6,572
  8. Iran – 6,028
  9. Brazil – 5,901
  10. Belanda – 4,795
  11. China – 4,633
  12. Kanada – 3180
  13. Turki – 3,174
  14. Sweden – 2,586
  15. Switzerland – 1,737
  16. Mexico – 1,732
  17. Ireland 1,232
  18. India 1,154
  19. Peru 1,051

Dalam enam minggu yang lepas, jumlah kematian global telah meningkat 26 kali ganda daripada 8,925 kematian kepada 233,533 kematian.

Semasa kita mula melaksanakan PKP, kita berada di paras ke-18 dari jumlah kes positif dan kedudukan ke-33 dari jumlah kematian. Kini kita berada di kedudukan ke-58 daripada jumlah kes positif dan kedudukan ke-48 dari jumlah kematian.

Malaysia telah berjaya melakukan yang terbaik dalam mengawal gelombang kedua wabak ini, tetapi kita tidak boleh berasa selesa dan harus sentiasa berjaga-jaga dan menggunapakai satu strategi yang fleksibel, kreatif, dan lincah untuk mengelakkan gelombang penularan baharu dan dalam pada masa yang sama membina semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat wabak ini.

Pada hari Selasa, kerajaan Perancis telah membentangkan rancangan keluarnya kepada Parlimen Perancis. Di London, pada hari Rabu, Dewan Rakyat UK telah mengadakan persidangan maya keduanya yang merangkumi waktu soal jawab dan waktu Soal Jawab Perdana Menteri. Jumlah ahli parlimen dan menteri yang hadir secara fizikal adalah kurang daripada satu dozen, memandangkan kebanyakan mereka hadir secara maya daripada rumah atau pejabat masing-masing.

Tetapi di Malaysia, kita belum pun mula membuat sebarang rancangan untuk persidangan Parlimen secara maya.

Bolehkah Perdana Menteri menjelaskan mengapa?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri