Petanda memberansangkan yang jangkaan suram JP Morgan bahawa Malaysia akan mempunyai 6,300 kes Covid-19 menjelang pertengahan April mungkin terbukti silap

Sebelum Mac, soalan yang sering ditanyakan dalam peperangan global melawan wabak Covid-19 adalah: Negara manakah yang telah melaksanakan perintah berkurung? Kini persoalan ini bertukar kepada, negara manakah yang masih belum melaksanakan perintah berkurung!

Buat masa ini, UK, AS, Kesatuan Eropah, dan negara-negara di Asia dan serata dunia sedang berada dalam suatu bentuk perintah berkurung, di mana rakyat mereka diarahkan untuk kekal berada di rumah bagi mengelakkan jangkitan dan penyebaran virus Covid-19.

Seminggu yang lepas, pusat kajian JP Morgan meramalkan yang Malaysia kini berada “fasa pemecutan” dengan peningkatan jangkitan Covid-19 yang berpotensi memuncak kepada 6,300 kes menjelang pertengahan April.

Pusat kajian tersebut menjangkakan yang fasa pemecutan ini akan berkekalan selama kira-kira seminggu setengah hingga ke dua minggu sebelum masuk ke dalam fasa pengumpulan, di mana kadar peningkatan jangkitan keseluruhan menurun kepada antara 100 ke 250.

Terdapat beberapa pakar kesihatan yang merasakan jangkaan JP Morgan adalah terlalu optimistik, manakala Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan jumlah kemuncak yang lebih tinggi pada 8,900 kes.

Tetapi, semua jangkaan suram ini telah membuatkan pihak Kementerian Kesihatan bertungkus lumus dalam peperangan global ini bagi memastikan jangkaan 6,300 oleh pihak JP Morgan ini tidak menjadi kenyataan.

Seperti yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, pihak Kementerian telah mengambil maklum semua jangkaan ini namun percaya yang ianya boleh dielakkan.

“Kami berharap dengan sistem kesihatan dan perintah kawalan pergerakan sedia ada, kita boleh mengenal pasti mereka yang dijangkiti, dan mengasingkan mereka untuk dirawat.

“Harapnya dengan dengan usaha ini, kita dapat mengurangkan angka tersebut dan tidak mencapai tahap seperti yang dijangkakan. Itu adalah sasaran kita. Kita sedang cuba untuk meratakan lengkungan eksponensial”.

Terdapat petanda memberansangkan yang jangkaan JP Morgan ini mungkin terbukti silap, dengan Malaysia mempelajari pengajaran daripada negara-negara lain seperti Korea Selatan, China, Itali, Sepanyol, Perancis, Iran, Turki, United Kingdom, dan Amerika Syarikat berkenaan wabak Covid-19.

Amatlah mengejutkan apabila pihak berkuasa di UK menjangkakan kematian sehingga 20,000 nyawa dan pada masa yang sama pihak berkuasa di AS pula menjangkakan korban sehingga 100,000 ke 200,000 nyawa akibat wabak Covid-19 ini.

Memandangkan Malaysia mempunyai sejumlah lebih kurang satu persepuluh populasi Amerika Syarikat, adakah perlu menjangkakan korban nyawa sekitar 10,000 ke 20,000?

Walau bagaimanapun, saya percaya yang kita boleh bangkit daripada mimpi ngeri Covid-19 ini dan membuktikan yang kita mempunyai sistem kesihatan awam yang jauh lebih baik daripada yang ada di Amerika Syarikat, United Kingdom, dan banyak lagi negara di Kesatuan Eropah dan negara OIC lain.

Perkara ini boleh dilihat di mana Malaysia berjaya mengekalkan kadar kematian yang rendah sekitar 1.4% daripada jumlah kes yang disahkan, berbanding dengan kadar kematian 11.4% di Itali, 8.6% di Sepanyol, 7.4% di Belanda, 6.8% di Perancis, 6.6% di Iran, 6.4% di United Kingdom dan 1.9% di Amerika Syarikat.

Kadar kematian di United Kingdom dan Amerika Syarikat dijangkakan untuk terus meningkat memandangkan wabak ini belum lagi mencapai kemuncaknya di dua negara tersebut.

Dalam tempoh 24 jam yang lepas, Sepanyol telah mengatasi China sebagai negara ketiga terbanyak kes positif Covid-19, di belakang Amerika Syarikat dan Itali.

Sejumlah 775,540 kes disahkan telah direkodkan di seluruh dunia, dengan 37,901 kematian dan 164,541 kes yang sudah pulih. Jumlah kes aktif semasa adalah 573,908 kes.

Statistik untuk jumlah keseluruhan kes positif dan kematian (bersama dengan kadar kematian daripada jumlah keseluruhan kes positif) untuk sebelas negara teratas dan Malaysia adalah seperti berikut:

  • AS: 159,689 kes, 2,951 kematian (1.8%)
  • Itali: 101,739 kes, 11,591 kematian (11.4%)
  • Sepanyol: 85,195 kes, 7,340 kematian (8.6%)
  • China: 81,470 kes, 3,304 kematian (4%)
  • Jerman 66.125 kes, 616 kematian (0.9%)
  • Perancis: 44,550 kes, 3,024 kematian (6.8%)
  • Iran: 41,495 kes, 2,757 kematian (6.6%)
  • UK: 22,141 kes, 1,408 kematian (6.4%)
  • Switzerland 15,760 kes; 348 kematian (2.2%)
  • Belgium 11,899 kes, 513 kematian (4.3%)
  • Belanda: 11,750 kes, 864 kematian (7.4)
  • Malaysia 2,626 kes, 37 kematian (1.4%)

Data diambil daripada laman web https://www.worldometers.info/coronavirus/

Semua rakyat Malaysia perlu memberikan sokongan penuh kepada para petugas kesihatan dan barisan hadapan dalam negara kita yang sedang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19 ini, bukan sahaja untuk memastikan jangkaan JP Morgan tidak menjadi kenyataan, tetapi juga untuk mengelakkan krisis kesihatan yang berlaku di negara lain terjadi di negara kita.

Pihak pegawai kesihatan di Sepanyol yang telah menyaksikan 537 kematian akibat wabak ini dalam tempoh 24 jam yang lepas, telah mengatakan yang sekurang-kurangnya enam daripada 17 daerah di negara tersebut telah kehabisan unit rawatan rapi dan tiga lagi daerah mungkin akan berhadapan dengan situasi yang sama tidak lama lagi. Para pekerja Sepanyol sedang berlumba melawan masa untuk membina hospital lapangan bagi membolehkan mereka merawat jumlah pesakit yang sedang bertambah.

Perkara yang memburukkan lagi keadaan adalah kira-kira 15% mereka yang disahkan positif Covid-19 adalah kakitangan kesihatan yang mengurangkan jumlah keseluruhan petugas kesihatan untuk menguruskan peningkatan jumlah pesakit.

Di Madrid, penularan bergerak dengan amat pantas dan mengorbankan terlalu banyak nyawa sehingga satu gelanggang ais terpaksa diubahsuai menjadi rumah mayat sementara untuk menangani peningkatan jumlah mayat yang meningkat secara mendadak.

Malaysia perlu terus bersedia untuk menghadapi situasi terburuk dan pada masa yang sama mengharapkan yang terbaik. Kita tidak boleh hanya mencontohi Korea Selatan dengan kadar kematian 1.6 peratusnya tetapi kita perlu buat yang lebih baik untuk menurunkan kadar kematian dalam negara ke bawah satu peratus.

Banyak negara lain di sekitar Asia dan Afrika yang mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi -- Indonesia (8.6%), Mesir (6.25%), Maghribi (6.2%), Algeria (5.9%), Filipina (5%) dan India (2.6%).

Malaysia tidak boleh mencapai satu tahap di mana doktor perlu membuat keputusan, siapa yang dapat terus hidup dan siapa yang perlu dibiarkan mati kerana ketiadaan alat bantuan pernafasan. Kerana hanya satu kematian yang boleh dielakkan sekalipun adalah terlalu banyak untuk Malaysia.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri