Muhyiddin perlu bertemu dengan wakil PKS dan rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang untuk mendapatkan maklum balas mengenai pakej rangsangan ekonomi RM250 bilion yang diumumkan Jumaat lepas

Peperangan global menentang wabak Covid-19 terus menerus merekodkan peningkatan mangsa dalam tempoh 24 jam yang lepas, menunjukkan hakikat bahawa peperangan ini adalah satu perjuangan yang kompleks dan akan memakan masa yang panjang.

Ini kerana krisis Covid-19 ini bukan hanya satu krisis kesihatan sahaja, tetapi ia juga membawa bersamanya bencana terhadap ekonomi dan pembangunan negara.

Antara peristiwa suram yang direkodkan dalam 24 jam yang lepas adalah:

  1. Jumlah kematian keseluruhan akibat wabak Covid-19 telah melepasi paras 30,000 nyawa -- dengan dua pertiga daripada keseluruhannya datang daripada Eropah -- sejak wabak itu mula tersebar di China pada Disember tahun lepas.
  2. Korban nyawa di Itali telah melepasi paras 10,000 nyawa, selepas 889 orang meninggal dunia dalam 24 jam yang lepas. Dalam tempoh 10 hari yang lalu, Itali berdepan kadar kematian akibat Covid-19 yang tinggi, iaitu 889, 919, 712, 683, 743, 601, 651, 793, 627 dan 427 kematian ataupun sejumlah 6,105 kematian, dengan purata 610.5 kematian sehari. Negara-negara yang mendahului dari segi korban nyawa adalah Itali dengan 10,023 kematian, Sepanyol (5,690), tanah besar China (3,295), Iran (2,517) dan Perancis (2,314).
  3. Amerika Syarikat melonjak ke rekod baru kenaikan tertinggi kes disahkan dalam tempoh 24 jam, dengan 19,648 kes baharu, membawa jumlah kes yang disahkan di negara tersebut kepada 123,012 kes.

Namun bukan semua berita mengenai wabak Covid-19 ini suram.

Negara China mula dibuka semula selepas wabak Covid-19, menunjukkan bahawa peperangan melawan wabak ini boleh dimenangi. Hari ini, kereta api yang penuh dengan beribu-ribu penumpang tiba di Wuhan -- di mana virus ini muncul buat pertama kali lewat tahun lepas -- selepas bandar China tersebut dibuka semula secara berperingkat selepas beberapa bulan di bawah perintah berkurung.

Tetapi China bukanlah satu-satunya kisah kejayaan dalam perang global terhadap Covid-19.

Korea Selatan juga merupakan satu contoh kejayaan dan Malaysia perlu belajar daripada Korea Selatan dan China untuk memastikan kita boleh memenangi peperangan melawan wabak ini, yang bukan sahaja satu peperangan dari perspektif kesihatan awam, tetapi juga perjuangan untuk ekonomi dan pembangunan negara.

Jika kita gagal untuk memenangi peperangan ini, maka rakyat Malaysia harus bersedia untuk menghadapi nasib yang dihadapi oleh Itali -- sebuah negara dengan kira-kira dua kali ganda jumlah penduduk Malaysia, tetapi mendahului di peringkat dunia dengan 10,000 kematian dan 92,472 kes positif. Sebuah negara di mana dianggarkan seorang rakyatnya terkorban setiap dua minit, yang kini sedang menghadapi kekurangan unit rawatan rapi dan alat bantuan pernafasan yang kritikal sehingga para doktor terpaksa memilih siapa yang boleh diselamatkan dan siapa yang terpaksa dibiarkan mati.

Namun begitu, sebarang kejayaan dalam menewaskan wabak Covid-19 ini tidak mempunyai sebarang makna jika kita gagal untuk menyelamatkan ekonomi negara dan ditinggalkan dengan sebuah sistem ekonomi yang tidak boleh diperbaiki lagi.

Perdana Menteri dan kerajaannya harus sentiasa beringat kepada pesanan Menteri Luar Korea Selatan, Kang Kyung-wha -- dalam wawancaranya bersama BBC yang telah popular di serata dunia -- yang mengatakan kunci kejayaan strategi Kerajaan Korea Selatan adalah “keterbukaan, ketelusan, dan memastikan rakyat sentiasa diberitahu”, yang juga merupakan satu tanda ukur terhadap legitimasi sesebuah kerajaan.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah antara golongan yang mengadu bahawa mereka tidak menerima banyak manfaat daripada ‘pakej rangsangan ekonomi’ yang dibentangkan Jumaat lepas. Mereka menjangkakan sehingga 50% PKS mungkin terpaksa menggulung tikar yang akan menyebabkan hampir 4 juta rakyat hilang pekerjaan mereka.

Perkara yang amat mengejutkan adalah apabila Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang merupakan CEO kepada CIMB Group Holdings Bhd sebelum dilantik menjadi menteri kewangan kelihatan seperti tidak memberikan perhatian kepada laporan bank tersebut yang bertajuk “Landskap PKS di Malaysia” yang diterbitkan bersama dengan CompareHero.

Laporan CIMB-CompareHero tersebut menekankan bahawa nasib ekonomi negara bergantung kepada PKS yang merupakan 98.5% daripada semua perniagaan berdaftar dalam negara. Pada tahun 2018, PKS menyumbangkan RM521.7 bilion kepada KDNK negara selain daripada menyediakan 5.7 juta pekerjaan kepada hampir 70% tenaga kerja negara.

Selari dengan motto “keterbukaan, ketelusan, dan memastikan rakyat sentiasa diberitahu”, Muhyiddin perlu berjumpa dengan wakil-wakil daripada PKS dan juga rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk mendapatkan maklum balas mengenai pakej rangsangan ekonomi yang beliau umumkan Jumaat lepas bagi memastikan pakej ini adalah formula terbaik untuk melonjakkan semula ekonomi negara secepat mungkin.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri