Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham dipuji kerana telah bersedia untuk menghadapi situasi terburuk gelombang ketiga Covid-19 yang mungkin mencecah sehingga 1,000 kes baharu sehari

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr. Noor Hisham Abdullah perlu dipuji kerana telah menyiapkan persediaan awal untuk menghadapi situasi terburuk yang mungkin akan datang dengan gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia yang mungkin akan melihat sehingga 1,000 kes baharu sehari.

Beliau berkata, berdasarkan kemungkinan peningkatan kes baru Covid-19, adalah lebih baik bagi Kementerian Kesihatan untuk melakukan lebih banyak penyediaan daripada kurang bersedia, kerana kekurangan persediaan adalah sama seperti tidak bersedia.

Jika Kerajaan “bersedia untuk yang paling teruk” sepanjang wabak Covid-19 di Malaysia ini, kita mungkin telah berjaya mengelakkan mimpi ngeri gelombang penularan kedua wabak ini dan dapat mengelak daripada menjadi salah satu daripada negara di Asia dengan kes-kes dan kematian tertinggi Covid-19.

Semasa gelombang pertama wabak Covid-19 di Malaysia dari 25 Januari hingga 26 Februari, 22 kes telah direkodkan tanpa sebarang kematian. Sekarang kita berada dalam gelombang kedua wabak ini, dan statistik terkini adalah 2,320 kes dan 27 kematian -- peningkatan lebih daripada 10,000 peratus untuk kes positif dan dari sifar kematian hingga 27 kematian.

Kita perlu memastikan bahawa gelombang ketiga tidak menjadi ‘tsunami’, yang sedang cuba dicegah melalui perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan hingga 14 April.

Di seluruh dunia, amaran dikeluarkan bahawa situasi "paling teruk" wabak ini masih belum tiba.

Sepuluh negara teratas dari jumlah kes koronavirus di seluruh dunia, menurut Johns Hopkins University, adalah seperti berikut:

  • AS: 116,505 kes, 1,925 kematian
  • Itali: 92,572 kes, 10,023 kematian
  • China: 81,999 kes, 3,299 kematian
  • Sepanyol: 72,248 kes, 5,812 kematian
  • Jerman: 56,202 kes, 203 kematian
  • Perancis: 38,105 kes, 2,317 kematian
  • Iran: 36,408 kes, 2,517 kematian
  • UK: 17,312 kes, 1,021 kematian
  • Switzerland: 14,076 kes, 264 kematian
  • Belanda: 9,819 kes, 640 kematian

China, di mana wabak Covid-19 ini bermula dua bulan lalu, telah memenangi perang terhadap virus sehinggakan rakyat Malaysia di China tertanya-tanya sama ada mereka harus kembali ke Malaysia kerana bimbang berjangkit dengan virus ini.

Sejak 10 hari yang lepas, tiada kes tempatan Covid-19 dilaporkan di China, dan pada hari ini, hampir 90 peratus daripada pesakit yang dijangkiti di negara itu telah pulih. China mempunyai 81,999 kes dan virus tersebut telah mengorbankan kira-kira 3,300 nyawa di negara itu.

Sepanjang sepuluh hari yang lepas, kes Covid-19 di China yang datang dari luar negara telah meningkat sebanyak purata 30 kes sehari berbanding dengan peningkatan 24 jam terakhir Covid-19 untuk Amerika Syarikat (19,185), Itali (5,974), Sepanyol (7,516), Jerman (6,824), Perancis (4,611), Iran (3,076), United Kingdom (2,546), Switzerland (1,148), Belanda (1,159), Belgium (1,850) dan Turki (1,704).

Terdapat 47 kematian Covid-19 di China dalam tempoh 10 hari yang lepas, berbanding 515 kematian di Amerika Syarikat, 889 kematian di Itali, 844 kematian di Sepanyol, 82 kematian di Jerman, 319 kematian di Perancis, 139 di Iran, 260 kematian di United Kingdom, 33 kematian di Switzerland, 93 di Belanda dan 64 di Belgium hanya dalam 24 jam yang lepas.

Sehingga vaksin untuk Covid-19 dicipta, yang akan mengambil 12 - 18 bulan, penjarakan sosial adalah satu-satunya langkah untuk melambatkan penyebaran eksponensial Covid-19 serta menangani kekurangan bekalan dan keupayaan diagnostik sistem penjagaan kesihatan untuk menangani lonjakan kes-kes Covid-19.

Adalah penting untuk wujud satu usaha yang lebih besar untuk menjelaskan kepentingan penjarakan sosial kepada semua rakyat Malaysia kerana kejayaan langkah ini akan bergantung kepada tahap perpaduan nasional dan sokongan untuknya.

Kerana itulah persidangan tergempar Parlimen mengenai Covid-19 berguna, bukan sahaja untuk meluluskan pakej rangsangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari Jumaat, tetapi untuk menunjukkan sokongan penuh dan perpaduan semua rakyat Malaysia yang melangkaui kaum, agama, kawasan atau politik terhadap langkah-langkah anti-Covid-19, termasuklah penjarakan sosial.

Tenaga dan usaha semua wakil rakyat Malaysia, tanpa mengira politik parti, mesti dimanfaatkan untuk memenangi perang terhadap Covid-19 ini dan untuk melonjakkan semula ekonomi Malaysia secepat mungkin.

Rakyat Malaysia mesti bersedia untuk situasi yang paling teruk tetapi berharap dan bersatu untuk situasi yang terbaik.

Marilah kita membuktikan yang jangkaan bank pelaburan global JP Morgan bahawa Covid-19 akan memuncak kepada 6,300 kes pada pertengahan April itu salah, dan juga Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menjangkakan 8,900 kes Covid-19.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri