Malaysia tidak boleh mengikut buta-buta, pengajaran di UK, AS, ataupun China tetapi harus muncul dengan strategi yang tegas, kreatif, fleksibel, dan lincah untuk memenangi peperangan melawan wabak Covid-19

Tiga peristiwa penting telah berlaku dalam 24 jam yang lepas dalam peperangan global menentang wabak Covid-19.

Peristiwa pertama yang menyedihkan ialah pemecutan berterusan dan penyebaran eksponensial kes Covid-19. Wabak ini mengambil 67 hari dari kes pertama yang dilaporkan untuk mencapai 100,000 kes, 11 hari untuk mencapai 100,000 kes kedua, empat hari untuk mencapai 100,000 kes ketiga, tiga hari untuk mencapai 100,000 kes keempat; dua hari untuk mencapai 100,000 kes kelima; dan kurang 3,000 kes untuk mencapai paras 100,000 pada hari keenam. Jumlah keseluruhan global telah mencapai 597,267 kes sedangkan hari sebelumnya hanyalah terdapat 531,504 kes.

Peristiwa kedua adalah apabila jumlah orang yang dijangkiti Covid-19 di Amerika Syarikat melepasi paras 100,000, dengan peningkatan harian mendadak sebanyak 18,418 kes, dan jumlah kematian lebih daripada 1,600 orang, membawa jumlah kematian global kepada 27,286 orang.

Perkara ketiga adalah Itali, yang mengumumkan 919 kematian baru berpunca daripada coronavirus, jumlah kematian harian yang tertinggi yang dilaporkan negara itu sejak wabak tersebut mula tersebar lewat tahun lepas.

Jumlah kematian akibat COVID-19 di Itali kini adalah 9,134 nyawa - hampir tiga kali jumlah kematian Covid-19 di China (3,287). Jumlah kes itu terus meningkat, mencecah paras 86,498 -- negara kedua yang mengatasi China yang mempunyai jumlah kes Covid-19 sebanyak 81,340 kes.

Perkara ini telah menghancurkan harapan yang Eropah berjaya membendung wabak ini, dengan Sepanyol merekodkan 769 kematian baru dalam satu hari, membawa jumlah kematian kepada 4,858 orang daripada sejumlah 65,719 kes; Jerman mencatatkan sejumlah 50,871 kes (peningkatan harian sebanyak 6,933 kes), Perancis dengan 32,964 kes (peningkatan 3,809 kes), United Kingdom denga 14,543 kes (peningkatan 2,885 kes) dan Switzerland dengan 13,143 kes (peningkatan 1,332 kes).

Ketua lembaga kesihatan kebangsaan Itali telah memberikan amaran bahawa penyebaran Covid-19 ini belum mencapai kemuncaknya di negara tersebut dan perintah berkurung perlu dilanjutkan.

Di seluruh dunia, jumlah kes telah melebihi 597,267 kes di mana kira-kira 133,363 pesakit telah pulih.

Dengan Amerika Syarikat sebagai pusat baharu wabak Covid-19, doktor dan jururawat di barisan hadapan krisis koronavirus Amerika Syarikat telah merayu supaya lebih banyak peralatan pelindungan dan peralatan diberikan untuk merawat pesakit yang dijangka akan membanjiri hospital.

"Kami ketakutan," kata Dr. Arabia Mollette dari Brookdale University Hospital dan Pusat Perubatan di Brooklyn memberitahu agensi berita Reuters. "Kami cuba berjuang untuk kehidupan orang lain, tetapi kami juga berjuang untuk kehidupan kami, kerana kami juga menghadapi risiko pendedahan yang tertinggi".

Para doktor telah menyatakan keperluan mendesak untuk ventilator tambahan, mesin yang membantu pesakit bernafas dan secara meluas diperlukan bagi mereka yang menghidapi COVID-19, yang merupakan satu penyakit pernafasan yang disebabkan oleh virus yang sangat berjangkit dan merbahaya.

Seorang doktor wad kecemasan di Michigan, yang merupakan pusat penularan wabak yang baharu, berkata beliau menggunakan satu topeng muka kertas untuk keseluruhan syif beliau kerana kekurangan topeng muka dan hospital-hospital di kawasan Detroit juga akan kehabisan ventilator.

"Kami mempunyai hospital di kawasan Detroit di Michigan yang sedang menghampiri bekalan akhir ventilator mereka dan perlu mula memberitahu ahli keluarga pesakit bahawa mereka tidak dapat menyelamatkan pesakit kerana tidak mempunyai peralatan yang cukup," kata Dr. Rob Davidson, dalam video yang dipaparkan di Twitter.

Inilah keadaan yang menyayat hati di negara-negara yang memerangi wabak Covid-19 tetapi perkara paling mengejutkan adalah keadaan sistem kesihatan awam di Amerika Syarikat yang begitu rapuh.

Menurut Indeks Keselamatan Kesihatan Global, kad laporan yang memberi nilai kepada setiap negara dalam kesediaannya untuk menghadapi pandemik, Amerika Syarikat mendapat markah 83.5 -- tertinggi di dunia. Kaya, kuat, maju, Amerika sepatutnya menjadi negara yang paling bersedia. Ilusi ini telahpun hancur. Walaupun dengan berbulan-bulan amaran awal mengenai penyebaran virus itu di negara lain, apabila Amerika akhirnya diuji dengan COVID-19, ia gagal.

Kegagalan dalam penyaringan telah digambarkan sebagai "dosa asal" kegagalan Amerika, kecacatan tunggal yang menjejaskan setiap tindak balas yang lain. Sekiranya negara tersebut dapat dengan tepat mengesan penyebaran virus ini, hospital boleh melaksanakan pelan pandemik mereka, bersedia dengan memperuntukkan bilik rawatan, memesan bekalan tambahan, memanggil para petugas, atau menyediakan kemudahan khusus untuk menangani kes-kes COVID-19.

Semua itu tidak berlaku. Sebaliknya, dengan sistem penjagaan kesihatan yang sudah menghampiri kapasiti penuh yang baru sahaja menghadapi musim selesema yang teruk, kini tiba-tiba berhadapan dengan virus yang telah tersebar luas, tanpa disedari, melalui komuniti di seluruh negara.

Hospital-hospital yang sudah mencapai kapasiti tidak dapat menampung jumlah kes baharu lagi. Peralatan pelindungan asas, seperti topeng, gaun, dan sarung tangan, mula habis, diikuti dengan katil dan ventilator yang memberikan oksigen kepada pesakit yang paru-parunya diserang virus.

Apa yang menjadi petanda untuk waktu ini adalah ketika Presiden Amerika Syarikat bercakap melalui telefon dengan Perdana Menteri United Kingdom -- yang telah diuji positif dengan Covid-19 -- hal pertama yang dibangkitkan Boris Johnson kepada Donald Trump adalah "Kami memerlukan ventilator" dan Johnson meminta sebanyak dua kali kepada Trump untuk ventilator.

Malaysia mesti belajar dari kesilapan Amerika Syarikat, Eropah dan juga China, tetapi kita tidak boleh buta-buta mengikuti negara-negara lain dalam peperangan global melawan wabak Covid-19, tetapi harus muncul dengan dengan strategi yang tegas, kreatif, fleksibel, dan lincah dalam menghadapi cabaran Covid-19 yang baru dan beraneka ragam kepada kesihatan awam, ekonomi, sistem maklumat dan politik dunia.

Sebagai permulaan, respons "tegas, kreatif, fleksibel dan lincah" terhadap wabak Covid-19 boleh mengambil kira cadangan oleh "Uncle Yap" dalam suratnya kepada Malaysiakini supaya Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) diubah suai untuk membolehkan seseorang untuk bersenam bersendirian atau dengan ahli keluarga di suatu tempat luar dari rumah.

Seperti yang dikatakan Uncle Yap:

"Di hampir setiap bandar dan kampung di Malaysia, anda boleh melihat sekumpulan rakyat yang berkumpul dari 6 hingga 7 pagi di gelanggang bola keranjang, kawasan rekreasi dan ruang terbuka yang lain di kawasan kejiranan mereka.

"Selagi mereka menjaga jarak sosial mereka, memastikan jarak satu meter, apakah yang bahayanya untuk mereka meneruskan rutin harian tai chi, chi gong, line-dancing, dan sebagainya?

"Sekiranya PKP ini diubah sedikit untuk membolehkan orang ramai bersenam bersendirian atau dengan ahli keluarganya atau sekiranya, dalam kumpulan, dengan menjaga jarak sosial, kita boleh memastikan rakyat kita terus kekal sihat, perkara yang amat penting untuk mengekalkan sistem imun yang kuat untuk menentang Covid-19. "

Saya serahkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri