Muhyiddin harus memanggil sidang parlimen tergempar selama dua hari untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi beliau dan memperdebatkan permulaan semula enjin ekonomi negara
Dalam siaran langsung pengumuman pakej rangsangan ekonomi bernilai RM250 bilion beliau semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menekankan bahawa “kerajaan ini peduli kepada anda” walaupun kerajaan ini bukanlah kerajaan yang diundi oleh rakyat Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke 14 dua tahun yang lepas.
Atas sebab ini, adalah penting untuk Muhyiddin diperingatkan bahawa Malaysia masih lagi sebuah demokrasi berparlimen dan beliau harus memanggil satu persidangan tergempar selama dua hari Parlimen untuk meluluskan pakej rangsangan ekonominya bagi memastikan ia akan mempunyai kredibiliti dan legitimasi.
Tidak perlu sebarang urusan lain untuk persidangan tergempar Parlimen ini, sama ada sesi soal jawab, usul “undi tidak percaya” terhadap Perdana Menteri, pemilihan Speaker baharu atau perkara-perkara lain kecuali perdebatan untuk meluluskan pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM250 bilion ini.
Perdebatan ini juga boleh memberikan ruang kepada Ahli Parlimen untuk menyampaikan pandangan rakyat mengenai peperangan terhadap wabak Covid-19 ini dan krisis kesihatan awam, ekonomi dan maklumat yang melanda negara akibat serangan Covid 19.
Apabila Muhyiddin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi semalam, Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu infografik 24 halaman mengenai "Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020".
Infografik ini bermula dengan penerangan kesan global dan domestik wabak Covid 19, dari segi penularan wabak dalam jumlah jangkitan global dan kematian dan kesannya ke atas ekonomi, tetapi sangat jelas bahawa infografik ini menggunakan angka-angka lama, ketika wabak Covid-19 sedang memecut dengan kelajuan eksponensial di seluruh dunia.
Infografik ini menunjukkan bahawa di seluruh dunia, wabak Covid-19 telah merekodkan 434,000 kes dan mengorbankan kira-kira 20,000 nyawa, ketika Muhyiddin menyampaikan siaran langsungnya, jumlah kes Covid-19 di seluruh dunia telah melepasi paras setengah juta dengan 536,639 kes dengan 24,117 kematian.
Penggunaan unjuran oleh kajian di Imperial College London bahawa jika wabak Covid-19 ini tidak dibendung, mungkin akan ada 2.2 juta kematian di Amerika Syarikat dan 510,000 kematian di United Kingdom adalah yang sesuatu yang tidak bertanggungjawab.
Semua ini, serta idea untuk strategi kesihatan awam yang lebih berkesan untuk membendung wabak Covid-19 di Malaysia dan permulaan semula enjin ekonomi Malaysia secepat mungkin, perlu menjadi perkara perdebatan di dalam persidangan tergempar Parlimen, yang perlu diadakan dalam masa satu atau dua minggu.