Lapan peristiwa penting 24 jam lepas dalam peperangan global melawan wabak Covid-19 yang boleh berlanjutan selama 12 ke 18 bulan dan mengubah kehidupan dan hubungan antarabangsa

Dalam tempoh 24 jam yang lalu, terdapat lapan peristiwa penting dalam peperangan global terhadap virus Covid-19 yang boleh berlanjutan selama 12 hingga 18 bulan dan akan mengubah kehidupan dan hubungan antarabangsa, iaitu:

  1. Jumlah global yang disahkan Covid-19 telah melepasi paras 500,000 kes, sebanyak 531,504 kes disahkan;
  2. Amerika Syarikat mengatasi China dengan jangkitan 84,946 kes positif Covid-19, berbanding 81,340 kes di China;
  3. Hari kedua berturut-turut di mana Amerika Syarikat mempunyai lebih daripada 10,000 peningkatan harian kes Covid-19 - peningkatan sebanyak 16,992 kes semalam berbanding dengan kenaikan harian sebelumnya sebanyak 14,823 kes;
  4. Jumlah korban keseluruhan Covid-19 melebihi 24,000 nyawa - 24,138 dengan kenaikan harian sebanyak 2,027;
  5. Itali melaporkan angka kematian tertinggi dengan lebih daripada 8,215 kematian, lebih dari dua kali ganda jumlah kematian Covid-19 di China sebanyak 3,287;
  6. Wabak ini telah mencapai lebih daripada 200 buah negara di seluruh dunia, iaitu 203 negara dan wilayah, 111 negara telah melaporkan kematian;
  7. Peningkatan ekponensial kes Covid-19, mengambil masa 67 hari dari kes pertama yang dilaporkan ke 100,000 kes, 11 hari ke 100,000 kes kedua, empat hari untuk 100,000 kes ketiga, tiga hari untuk 100,000 kes keempat dan hanya dua hari untuk 100,000 kes kelima; dan
  8. Buat kali pertama dalam sejarah, sidang kemuncak pemimpin dunia diadakan melalui persidangan video. Pada Sidang Kemuncak Khas Video G20 berkenaan jumlah mangsa kemanusiaan dan ekonomi wabak Covid-19, pemimpin-pemimpin Kumpulan G20 ekonomi utama berjanji untuk menyuntik USD 5 trilion melalui perbelanjaan fiskal ke dalam ekonomi global untuk mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi dan "melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk mengatasi wabak ini". Menunjukkan semangat kerjasama yang lebih tinggi daripada krisis kewangan 2008-2009 yang membawa kepada penubuhan kumpulan G20, para pemimpin ini mengatakan mereka komited untuk melaksanakan dan membiayai semua langkah-langkah kesihatan yang diperlukan untuk menghentikan penyebaran virus ini.

Walaupun Amerika Syarikat telah menjadi pusat wabak Covid-19, Itali akan mengatasi China hari ini untuk menjadi negara kedua dengan jumlah tertinggi kes yang disahkan (Itali semalam berada di tempat ketiga di dengan 80,589 kes disahkan).

Hanya selepas membaca sebuah artikel dalam majalah The Atlantic, yang bertajuk “How the Pandemic Will End” barulah saya mendapat pemahaman yang lebih baik mengenai wabak Covid-19 dan penjarakan sosial, dan sebalik di sebalik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang telah dilanjutkan sehingga 14 April.

Penulis saintifik, Ed Yong, mengatakan selagi virus itu masih di suatu tempat, sehingga vaksin diciptakan -- yang dijangka akan mengambil 12 - 18 bulan, akan ada kemungkinan seseorang yang dijangkiti menyebarkan semula virus ini di negara-negara yang telah berjaya mengawal penyebaran seperti China, Korea Selatan, Singapura dan juga Malaysia.

Beliau menjangkakan tiga kemungkinan “pengakhiran” untuk wabak Covid-19 ini, tetapi menganggap senario yang paling berkemungkinan adalah di mana Covid-19 akan menjadi “perkara kekal kehidupan kita” untuk sekurang-kurangnya setahun, jika bukan lebih lama.

Beliau menulis:

"Sekiranya langkah-langkah penjarakan sosial yang diamalkan sekarang ini berkesan, wabak ini mungkin akan menurun secukupnya untuk membolehkan keadaan kembali normal. Pejabat mula bekerja kembali dan bar menjadi sibuk. Sekolah boleh dibuka semula dan rakan-rakan dapat berjumpa. Tetapi dengan kedatangan semula status quo, begitu juga untuk virus ini. Ini tidak bermakna bahawa masyarakat mestilah terus berkunci sehingga 2022. Tetapi 'kita perlu bersiap sedia untuk menjalani beberapa tempoh penjarakan sosial yang berasingan,' kata Stephen Kissler dari Harvard. "

Dengan pemahaman yang lebih baik tentang wabak ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin harus memastikan bahawa ada strategi yang kukuh tetapi fleksibel dan lincah untuk menangani kedua-dua aspek kesihatan dan ekonomi yang berpunca daripada wabak koronavirus ini dan semoga perkara ini akan menjadi inspirasi dalam menyediakan pakej penyelamatan ekonomi Perdana Menteri untuk menghidupkan semula enjin ekonomi negara secepat mungkin!

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri