Muhyiddin bukan sahaja perlu memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi semasa krisis Covid-19, beliau juga perlu memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai wang yang cukup untuk membelinya
Semalam, ketika mengumumkan pelanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) hingga 14 April, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat Malaysia bertenang dan memberitahu semua yang kita mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk semua.
Dalam siaran langsung semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau membuat pengumuman awal mengenai pelanjutan itu supaya persediaan awal boleh dibuat.
Beliau juga menggesa rakyat supaya bertenang dan memberi jaminan bahawa bekalan makanan negara mencukupi untuk semua orang.
Perkara ini tidak cukup.
Sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin bukan sahaja perlu memastikan bekalan makanan dan keperluan asas yang mencukupi semasa bencana Covid-19, tetapi juga memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai wang yang mencukupi untuk membeli makan dan keperluan asas tersebut.
Setakat hari ini, selepas empat minggu bermulanya gelombang kedua wabak Covid-19 di Malaysia dan 25 hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan, Muhyiddin tidak memberikan keyakinan terhadap kebolehan beliau untuk memimpin negara ini keluar daripada bencana ekonomi yang berpunca daripada wabak ini.
Pakej rangsangan ekonomi komprehensif Muhyiddin yang akan diumumkan esok akan menjadi ujian kepada janji beliau dalam siaran langsungnya semalam bahawa "tidak ada yang akan ditinggalkan" dalam bencana terhadap nyawa dan kehidupan ini, dan rakyat Malaysia, terutama golongan yang miskin dan berpendapatan rendah, akan mempunyai wang untuk mengatasi krisis ekonomi yang berpunca daripada wabak Covid-19.
Sebagai permulaan, kita tidak boleh lagi bercakap mengenai rangsangan ekonomi tetapi kita memerlukan penyelamatan ekonomi. Apa yang kita perlukan bukanlah pakej rangsangan ekonomi tetapi pakej penyelamatan ekonomi.
Kita tidak boleh mengharamkan virus itu. Dan tidak ada dasar ekonomi yang dapat menghentikan kesulitan ini selagi mana dasar kesihatan awam memerlukan sebegitu banyak aktiviti ekonomi kita dihentikan. Tetapi kita mesti menyelamatkan ekonomi negara.
Perdana Menteri perlu menyedari pemikiran baharu dalam menghadapi ujian berganda bencana kesihatan dan ekonomi yang belum pernah terjadi sebelum ini yang ditimbulkan oleh wabak Covid-19, yang telah mengorbankan hampir 20,000 nyawa dan menjangkiti hampir setengah juta orang di seluruh dunia dunia (berbanding dengan 81,218 jangkitan dan 3,281 kematian Covid-19 di China) dan menarik dunia ke dalam kancah kemelesetan.
Menurut unjuran Pertubuhan Perdagangan Dunia, kemerosotan ekonomi dan kehilangan pekerjaan yang disebabkan oleh wabak ini berkemungkinan untuk menjadi lebih buruk daripada kemelesetan ekonomi pada tahun 2008.
Dirumuskan dalam tajuk e-buku terbaru dari Centre for Economic Policy Research (CEPR), "Mitigating the Covid Economic Crisis: Act Fast and Do Whatever it Takes", pakar ekonomi terkemuka dunia menggesa supaya kerajaan untuk menggunakan “senjata berat” fiskal untuk satu tindak balas ekonomi “tanpa had” terhadap krisis COVID-19, dan menggesa kerajaan untuk bertindak dengan pantas dan melakukan apa sahaja untuk menjaga kelangsungan hidup rakyat.
Ini adalah masa untuk dasar yang tidak konvensional seperti "wang helikopter", di mana semua rakyat mendapat wang bantuan tanpa syarat dan bank pelaburan negara menyediakan pinjaman kecemasan tanpa had kepada perniagaan.
Adakah pakej penyelamatan ekonomi Muhyidding yang akan diumumkan esok akan mempunyai unsur "wang helikopter" untuk mengurangkan kebankrapan peribadi dan korporat, memastikan rakyat mempunyai wang untuk mengekalkan perbelanjaan walaupun mereka tidak boleh bekerja, dan meningkatkan pelaburan awam dan perbelanjaan penjagaan kesihatan.
Langkah-langkah yang diperlukan untuk membendung penyebaran virus ini -- kuarantin, penjarakan sosial, penutupan sekolah, universiti dan pusat jagaan kanak-kanak, penutupan perniagaan yang tidak penting, dan langkah bekerja dari rumah -- meperlahankan ekonomi negara.
Seperti yang dikatakan oleh Pierre-Olivier Gourinchas daripada University of California, Berkeley di dalam satu bab tentang cara meratakan lengkungan sebaran jangkitan dan kegawatan ekonomi: "Kita sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah moden”.
Pakej penyelamat ekonomi komprehensif Muhyiddin akan dinilai berdasarkan pemikiran baharu ini di mana kerajaan bukan sahaja perlu menyelamatkan nyawa, tetapi juga pekerjaan dan kehidupan rakyat -- bagaimana dasar fiskal digunakan untuk mencegah atau mengatasi kegawatan yang disebabkan bencana, dan membangunkan apa yang dikatakan oleh Gourinchas sebagai "Unit rawatan intensif, katil dan ventilator kepada sistem ekonomi."
Malah Amerika Syarikat, yang akan menjadi pusat baharu wabak Covid-19, telah merekodkan hampir 10,000 kes Covid-19 baru membawa kepada jumlah keseluruhan 64,765 kes yang disahkan (bakal mengatasi China dari segi jumlah kes yang disahkan dalam tempoh beberapa hari), akhirnya mengumumkan pakej penyelamatan ekonomi Covid-19 yang bernilai sebanyak USD2 trilion.
Pemimpin Kongres Demokratik dan Republikan, bersama-sama dengan pegawai-pegawai White House, sedang berusaha untuk memuktamadkan satu pakej penyelamatan ekonomi Covid-19 yang bernilai USD 2 trilion yang akan membantu sektor perniagaan, korporat dan secara langsung ke poket rakyat Amerika.
Rakyat Malaysia dan dunia sedang menunggu pakej penyelamatan ekonomi komprehensif Muhyiddin yang akan diumumkan besok.