Kerajaan perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat Malaysia bagi membolehkannya untuk berkomunikasi secara berkesan mengenai bahaya yang dibawa oleh wabak Covid-19

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah memasuki hari keenam hari ini, namun begitu masih terdapat segelintir rakyat Malaysia yang degil dengan tidak mematuhi arahan untuk kekal berada di rumah dan perkara ini menimbulkan persoalan sama ada PKP ini akan dilanjutkan lagi selama dua minggu ataupun lebih lama lagi.

Kerajaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu bekerja dengan lebih keras lagi untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat kepada mereka bagi membolehkan mereka berkomunikasi dengan berkesan kepada rakyat mengenai bahaya yang dibawa oleh wabak Covid-19 ini.

Siaran langsung Muhyiddin hari adalah satu lagi langkah ke arah ini, tetapi ianya tidak memadai. Kerana inilah saya pernah cadangkan sebelum ini supaya beliau membuat siaran langsung sekurang-kurangnya sekali sehari, ataupun lebih baik lagi dua kali sehari, mengenai perkembangan terkini bencana yang sedang melanda negara kita ini.

Sedangkan di negara Itali -- yang kini merupakan tumpuan utama wabak Covid-19 dengan jumlah kematian yang lebih tinggi daripada negara China -- pun masih terdapat rakyat mereka yang tidak memahami keperluan pelaksanaan perintah berkurung yang diumumkan beberapa minggu yang lepas.

Perkara ini masih berlaku selepas Perdana Menteri Itali mengumumkan pelanjutan kepada perintah berkurung 25 hari yang mula berkuat kuasa pada 9 Mac 2020 dan sepatutnya berakhir pada 3 April. Perintah berkurung seluruh negara ini diumumkan selepas seluruh daerah Lombardy dan 14 daerah bersempadan dengannya juga diarahkan berkurung sejak akhir bulan Februari.

Timbalan Presiden majlis doktor di Varese, Lombardy, Saverio Chiaravalle memberitahu akhbar UK The Guardian hari ini:

“Di kebanyakan bandar, masih terdapat mereka yang tidak memahami kepentingan untuk kekal berada di rumah. Kita perlukan peraturan yang tegas, semua petugas perubatan bersetuju yang peraturan ini adalah satu-satunya senjata yang kita ada dalam usaha melawan wabak ini melalui pengasingan. Ia adalah satu pengorbanan yang diperlukan dari semua, untuk semua, dalam cubaan untuk mengatasi masalah ini.”

Berita dalam 24 jam yang lepas menunjukkan yang wabak ini masih merebak dengan pantas dan belum lagi mencapai kemuncak penularannya.

Empat hari yang lepas merupakan satu pengalaman yang menyeramkan buat Itali, di mana hampir setiap 4 minit, seorang rakyat Itali terkorban -- membawa jumlah korban nyawa harian kepada 427 orang pada hari Khamis, 627 pada hari Jumaat, 793 pada hari Sabtu, dan 651 pada hari Ahad, sejumlah 2,498 rakyat Itali kehilangan nyawa dalam tempoh hanya empat hari.

Malah, sistem kesihatan di Itali kini berada di ambang keruntuhan ketika negara tersebut sedang berusaha keras untuk membendung penyebaran wabak Covid-19 ini.

Sejumlah 5,476 kematian terkumpul setakat ini di Itali, dan angka ini mewakili hampir satu pertiga jumlah kematian global yang kini telahpun meragut 14,563 nyawa. Negara tersebut kini mempunyai jumlah kes kedua tertinggi dengan 59,079 kes positif daripada sejumlah 334,606 kes di peringkat global.

Di serata dunia, wabak Covid-19 ini sedang tersebar dengan amat pantas, dengan peningkatan lebih daripada 100,000 kes baharu dalam tempoh 4 hari yang lepas dan jumlah kematian global melepasi paras 4,000.

Amerika Syarikat kini merupakan negara ketiga, di belakang China dan Itali sebagai negara yang mempunyai kes Covid-19 tertinggi, dengan 33,623 kes, peningkatan sebanyak sebanyak 9,443 dalam tempoh 24 jam yang lepas dan juga telah merekodkan 89 kematian semalam, membawa jumlah kematian keseluruhan di negara tersebut kepada 406.

Keseriusan wabak ini boleh dilihat pada hakikat di mana wabak ini telah sampai ke semua benua kecuali Antartika, dan juga semua negeri di Amerika Syarikat sejak ia mula muncul di Wuhan pada Disember lalu. 85 juta rakyat AS kini tertakluk kepada perintah untuk berada di rumah selepas New Jersey menyertai New York, Connecticut, Illinois, dan California pada Sabtu lepas untuk mengarahkan penduduk di negeri masing-masing untuk kekal di rumah.

Tetapi di dalam kesuraman ini, masih terdapat berita baik -- dan ianya datang daripada China, yang merekodkan hanya satu kes domestik baharu dalam tempoh 4 hari yang lepas.

Pilihan berada di tangan rakyat Malaysia, sama ada kita mahu mencontohi China ataupun Itali.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri