Seruan kepada Kerajaan untuk mengguna pakai motto baru dalam peperangan melawan wabak Covid-19 -- Segala-galanya demi nyawa, kehidupan dan pekerjaan rakyat!
Kadar penularan wabak Covid-19 sedang meningkat saban hari, di dalam negara kita dan juga di peringkat antarabangsa.
Di Malaysia, kadar peningkatan kes baharu masih lagi berada dalam takuk tiga angka seperti lapan hari yang lepas yang telah membawa kepada 1,306 kes secara keseluruhannya -- meletakkan Malaysia di tangga ke-20 dari segi jumlah kes keseluruhan dan tempat ke-22 dari segi penambahan kes harian di peringkat antarabangsa.
Dengan 10 korban nyawa, negara kita menduduki tempat ke-25 dari segi kematian berkaitan Covid-19.
Malaysia beraspirasi untuk menjadi sebuah negara yang terulung di mata dunia, tetapi bukan dengan mendahului carta kes Covid-19.
Namun begitu, perjalanan kita masih lagi panjang.
Pakar epidomiologi Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud mengatakan yang negara kita memerlukan sekurang-kurangnya enam minggu Perintah Kawalan Pergerakan secara berturut-turut bagi menurunkan kadar jangkitan Covid-19 ke satu tahap yang boleh dikawal.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, negara kita kini sedang beralih ke peringkat keempat penyebaran wabak Covid-19 iaitu fasa mitigasi.
Peringkat-peringkat ini disenaraikan mengikut kadar keterukan penularan sesuatu wabak, bermula dengan fasa permulaan (onset), fasa pembendungan awal (early containment), pembendungan lewat (late containment), dan akhirnya fasa mitigasi (mitigation).
Beliau berkata: “Kita sedang bergerak kearah fasa keempat iaitu fasa mitigasi, oleh itu amatlah penting untuk kita semua memanfaatkan peluang kecil yang ada ini untuk memutuskan rantaian jangkitan virus ini dalam komuniti kita.”
Malaysia tidak sepatutnya kalah dalam “peperangan untuk membendung” wabak Covid-19 ini tetapi seperti yang diperakui oleh Dr Noor Hisham semalam, pihak berkuasa kesihatan tidak menyedari kewujudan perhimpunan tabligh yang dihadiri oleh seramai 14,000 orang di sebuah masjid di Sri Petaling sehinggalah Brunei mengesahkan pesakit kes pertamanya menghadiri majlis tersebut.
Dalam satu sidang akhbar semalam, Dr Noor Hisham menyatakan pihak berkuasa telah mula mencari dan menyaring peserta majlis tersebut selepas pengesahan kes pertama tersebut.
Setakat ini, daripada 14,500 peserta tempatan, pihak berkuasa telah berjaya mengesan hampir 11,000 peserta dan menyaring sejumlah 6,700 peserta.
62% kes positif dalam negara kita buat masa ini tergolong di dalam kelompok kes himpunan tabligh ini, ini bermakna 743 daripada 1,306 kes setakat ini.
Setakat ini, kita telah mempunyai dua gelombang kes di Malaysia, dengan 22 kes dan sifar kematian di dalam gelombang pertama yang bermula pada 25 Januari sehingga 16 Februari.
Tidak ada sebarang kes dilaporkan di antara 16 sehingga 27 Februari.
Kekecohan bermula dengan gelombang kedua yang bermula pada 28 Februari, yang kini merekodkan peningkatan tiga angka sepanjang lapan hari yang lepas.
Dalam tempoh lima hari yang penting di antara 16 ke 27 Februari yang melaporkan sifar kes, perhatian negara beralih buat sementara waktu kepada Langkah Sheraton yang bertujuan untuk menumbangkan Kerajaan Pakatan Harapan dan meninggalkan negara kita tanpa sebarang kerajaan.
Kerana inilah saya telah katakan pada 28 Februari yang lalu, perbuatan menimbulkan krisis politik dalam pada masa negara kita menghadapi krisis Covid-19 ini adalah satu perkara yang sangat tidak bertanggungjawab.
Namun, sekarang bukanlah waktu untuk kita mencari kesalahan satu sama lain. Tetapi kita mestilah belajar daripada kesilapan yang lepas untuk memahami mengapa kita telah kalah dalam “peperangan pembendungan” wabak ini dan menyedari apa yang perlu kita lakukan untuk memenangi peperangan mitigasi wabak Covid-19 ini dengan menyatukan semua rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, politik, mahupun latar belakang sosio-ekonomi.
Seperti yang digambarkan oleh Setiausaha Agung PBB, dunia kini menghadapi satu keadaan yang tidak pernah dihadapi, di mana peraturan biasa tidak lagi terpakai.
Saya bersetuju sepenuhnya dengan pakar ekonomi Dr Muhammed Abdul Khalid yang menyatakan bahawa kerajaan tidak boleh bersifat kedekut dalam menangani wabak Covid-19 ini memandangkan dua pakej ransangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini jelas tidak mencukupi untuk mempersediakan negara kita dalam melawan wabak ini.
Saya bersetuju dengan Muhammed yang tidak ada gunanya jika negara kita mempunyai pertumbuhan ekonomi yang positif, kedudukan fiskal yang baik, jika rakyatnya mati dan negaranya huru-hara.
Keutamaan negara sekarang adalah untuk memastikan rakyat Malaysia terus hidup. Sekarang bukan masanya untuk memikirkan tentang defisit fiskal, hutang negara, kadar pertumbuhan ekonomi, pandangan agensi kredit, ataupun kepentingan politik.
Atas sebab ini, saya menyeru Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengguna pakai motto baharu dalam peperangan melawan wabak Covid-19 -- Segala-galanya demi nyawa, kehidupan dan pekerjaan rakyat!
Kerana ini jugalah saya telah mencadangkan supaya baki daripada 10 juta topeng muka daripada China ini diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia selepas diedarkan kepada para petugas barisan hadapan.
Dengan semangat motto baharu ini, kerajaan haruslah memastikan sebarang bantuan untuk sektor kesihatan diberikan tanpa sekatan supaya kita tidak perlu lagi melihat para petugas kesihatan menggunakan beg plastik sampah sebagai pakaian pelindungan kerana kekurangan alat pelindungan diri.
Satu arahan mesti dikeluarkan segera untuk mengingkatkan pengeluaran bekalan alatan perubatan yang diperlukan oleh hospital, sistem kesihatan, doktor, jururawat, dan semua para petugas barisan hadapan yang lain.