Seruan untuk semua rakyat Malaysia bersatu-padu melawan wabak Covid-19 -- yang tanpa sebarang ragu lagi merupakan satu cabaran terbesar kepada perpaduan negara

Semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, latar belakang politik mahupun sosio-ekonomi perlulah bersatu untuk berjuang dan memenangi perang melawan wabak Covid-19, yang buat masa ini merupakan salah satu cabaran terbesar kepada perpaduan negara kita.

Dengan 15 orang petugas barisan hadapan telah dijangkiti oleh wabak ini, dan seorang daripada mereka ditempatkan di pusat rawatan rapi (ICU), lebih daripada 200 rakan sekerja mereka -- doktor, jururawat, dan ahli farmasi -- telah membuat satu rayuan yang sangat menyentuh jiwa dan raga supaya seluruh rakyat Malaysia memainkan peranan mereka dalam menewaskan penularan virus ini.

Di dalam laman Facebook “Rayuan Pengamal Perubatan”, mereka merayu kepada rakyat Malaysia supaya kekal berada di rumah, membasuh tangan dengan kerap, dan mengamalkan penjarakkan sosial dan fizikal.

Seperti yang dikatakan oleh Pakar Obstretik dan Ginekologi Dr Siti Rohayu Kamarul Baharain: “Kami semua mahu berkhidmat demi pesakit kami sebaik mungkin. Kami juga mahu kekal boleh berbuat demikian selama yang boleh. Dan kami mahu berada dan bersedia untuk mereka yang memerlukan.”

Doktor pakar di Hospital Sultan Abdul Halim, Dr Aznita Ibrahim pula menyeru orang awam supaya bersikap jujur dan memikirkan kebajikan petugas kesihatan.

“Saya sorang pengamal perubatan. Saya juga seorang isteri dan ibu kepada 4 anak kecil. Saya juga anak kepada seorang ibu tua yang sedang uzur. Kami sangat peduli tentang anda. Tolong ambil peduli tentang kami juga ya.”

Mereka semua menegaskan keperluan untuk semua orang berhenti daripada keluar rumah semasa perintah kawalan pergerakan ini berkuatkuasa bagi membolehkan negara kita memutuskan rantaian penyebaran jangkitan Covid-19 ini.

Seperti yang disampaikan oleh Dr Gee Teak Sheng, seorang pakar neurosurgeri daripada Hospital Pantai apabila beliau memuat naik sebuah gambar beliau memegang sekeping kertas yang tertulis padanya “Saya terus bekerja untuk anda, Anda duduk di rumah untuk saya”, dengan hashtag #StayHome dan #DudukRumah.

Terdapat kerisauan yang sistem kesihatan negara mungkin tidak dapat menampung jumlah pesakit Covid-19 apabila wabak ini mencapai tahap kemuncaknya dalam beberapa minggu yang akan datang -- pandangan ini juga telah dikongsi oleh Profesor Benjamin Cowling daripada Pusat Kolaborasi Epidemiologi dan Kawalan Penyakit Berjangkit WHO yang bertempat di Jabatan Kesihatan Awam, Universiti Hong Kong.

Apabila diumumkan semalam yang Malaysia mempunyai 130 kes baharu Covid-19 yang membawa jumlah keseluruhan negara kepada 1,030 kes, Malaysia kini berada di tangga keempat dari segi jumlah kes terbanyak jangkitan Covid-19 di Asia -- kini berada di belakang China (81,008), Iran (19,644), dan Korea Selatan (8,652).

Apa lebih membimbangkan adalah perkara di mana Malaysia kini adalah negara kedua di Asia dari segi kenaikan kes harian -- di mana Iran mendahului dengan 1,237 kes semalam, diikuti oleh Malaysia dengan 130 kes baharu, 60 kes di Jepun, 60 kes di Indonesia, 52 kes di India, 48 kes di Hong Kong, 41 kes di China, 40 kes di Singapura, 37 kes di Pakistan, 27 kes di Taiwan, 13 kes di Filipina, 13 kes di Sri Lanka, 6 kes di Vietnam, 5 kes di Brunei, 4 kes di Kemboja, dan 0 kes baharu di Korea Selatan.

Setakat semalam, jumlah korban global telah mencecah paras 10,296 nyawa, sebuah peningkatan sebanyak 268 kematian baharu. Wabak Covid-19 ini juga telah menjejakkan kakinya ke tujuh negara baharu semalam, membawa jumlah keseluruhan negara yang terjejas kepada 185 negara dan jajahan, di mana 77 daripada negara ini telah melaporkan kes kematian. Jumlah jangkitan global telah meningkat sebanyak 29,806 kes baharu, membawa kepada keseluruhan 274,855 kes di peringkat antarabangsa.

Kita semua perlu bersatu dalam melawan wabak ini dan kita tidak mempunyai ruang untuk dipimpin oleh pelawak dalam usaha ini.

Atas sebab ini, usaha daripada Dr Amalina Bakri yang kini berada di UK dalam membongkar nasihat tidak berasas yang diberikan oleh Menteri Kesihatan untuk meminum air suam bagi melawan penularan wabak ini haruslah dipuji memandangkan nasihat ini tidak berasaskan sebarang fakta.

Tambahan lagi, mitos ini telahpun dibongkarkan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO).

Kini adalah masanya untuk professionalisme dan keseriusan untuk menyatu-padukan rakyat Malaysia dalam usaha memerangi virus Covid-19 ini.

Jika terdapat permintaan daripada pihak Kerajaan untuk bekas Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad untuk kembali bagi menjalankan satu khidmat demi negara dalam memimpin peperangan melawan Covid-19 ini, saya pasti Majlis Presiden Pakatan Harapan akan mempertimbangkan permintaan ini sebaik mungkin.

Tetapi, penyatu-paduan rakyat Malaysia dalam melawan wabak Covid-19 ini tidaklah bermakna perlunya satu pengambil-alihan oleh pihak tentera.

Apa yang penting sekarang adalah untuk kita menaik-taraf kemudahan perubatan sedia ada dengan menambah jumlah katil hospital untuk membolehkan pihak hospital menguruskan lebih banyak kes, dan juga menaik taraf pelbagai alatan perubatan dan bekalan ubat-ubatan serta menambahkan tenaga kerja dengan memberikan keutamaan dalam melindungi petugas barisan hadapan.

Angkatan Tentera kita mempunyai pelbagai kebolehan, dengan Kor Perubatan, Kejuruteraan, Unit CBRNe (bahan letupan kimia, biologikal radioaktif, dan nuklear) yang boleh digembleng dalam usaha memerangi wabak ini.

Perkhidmatan profesional seperti persediaan katil dan wad tambahan di hospital tentera untuk membantu hospital tempatan, pergerakan untuk membina struktur sementara untuk kegunaan kecemasan, dan kerja-kerja pembasmian adalah bertepatan tetapi tidak ada keperluan untuk tujuan rondaan.

Negara China berjaya membina hospital di Wuhan yang dilengkapi dengan 1,000 katil, beberapa wad pengasingan, dan 30 pusat rawatan rapi dalam masa sepuluh hari. Bolehkah kita mencontohi tauladan ini?

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri