Beritahu rakyat senario terburuk berkenaan bencana Covid-19

Perkembangan pandemik Covid-19 di peringkat antarabangsa secara terus-menerus menjadi semakin suram dan tidak menyenangkan.

Semalam, Itali telah berada di suatu tahap yang baharu apabila jumlah keseluruhan kematian berkaitan dengan Covid-19 di negara tersebut telah meragut 3,405 nyawa, melebihi jumlah kematian di China yang telah mengorbankan 3,248 nyawa.

Tanah perkuburan di bandar Bergamo tidak dapat menampung keperluan bandar tersebut sehingga pihak tentera terpaksa dikerahkan untuk membawa jenazah-jenazah mangsa Covid-19 ini ke tempat yang lain untuk dibakar. Pihak tentera juga telah menempatkan 120 orang doktor dan para petugas kesihatan untuk mengawal situasi di Bergamo dan bandar Lodi yang berdekatan. Sementara itu, hospital lapangan dan unit kecemasan pernafasan juga telah ditubuhkan di beberapa bandar di utara negara tersebut.

Penyebaran virus ini di Itali berlaku pada kadar yang sangat pantas dan menakutkan, walaupun negara tersebut telahpun mengetatkan larangan pergerakan dalam negara. Dengan kenaikan kadar kematian, upacara pengebumian tradisional telah pun diharamkan bagi mengekang perhimpunan orang awam.

Hanya dalam dua hari yang lepas sahaja, Itali telah merekodkan 902 kematian, 475 kematian pada hari Rabu dan 427 pada hari Khamis. Kebanyakkan mangsa korban ini adalah daripada golongan yang berisiko tinggi kerana mempunyai penyakit serius dan negara tersebut kini mempunyai 41,305 kes coronavirus.

Di Amerika Syarikat pula, Gabenor California, Gavin Newsom telah mengarahkan hampir kesemua 40 juta penduduk California untuk tidak keluar daripada rumah kecuali untuk perjalanan yang penting sahaja, selepas 1,040 kes telah dikesan dengan 19 jumlah kematian.

Newsom sebelum ini pernah menyatakan yang negeri tersebut menjangkakan sehingga 56 peratus penduduk California mungkin akan dijangkiti oleh virus ini dalam tempoh 8 minggu yang akan datang -- satu pendedahan yang menggemparkan akhbar kerana jumlah ini melibatkan sebanyak 22.4 juta kes secara keseluruhannya. Namun begitu, Newsom kemudiannya menyatakan yang beliau berharap langkah drastik yang dicadangkan ini boleh menghalang jangkaan tersebut daripada menjadi realiti.

London juga sedang mempertimbangkan pelaksanaan arahan perintah berkurung memandangkan United Kingdom kini tergolong dalam 10 negara yang mempunyai kes kematian tertinggi. Di peringkat global, Covid-19 kini telah meragut 10,028 nyawa -- Itali (3405), China (3,248), Iran (1,284), Sepanyol (831), Perancis (372), Amerika Syarikat (200), United Kingdom (144), Korea Selatan (94), Belanda (76) dan Jerman (44).

Sekurang-kurangnya 245,049 individu telah dijangkiti secara keseluruhannya di peringkat antarabangsa, dengan tujuh negara mempunyai lebih daripada 10,000 kes -- China (80,967), Itali (41,035), Iran (18,407), Sepanyol (18,077), Jerman (15,320), Amerika Syarikat (13,800) dan Perancis (10,995).

Apabila Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada malam Isnin yang lalu, beliau tidak berjaya untuk menyampaikan kepada rakyat tahap keseriusan wabak ini dan kepentingan untuk kita semua berusaha dalam memutuskan rantaian penyebaran dan jangkitan virus Covid-19 ini. Bahkan siaran langsung kedua beliau yang berlangsung dua hari kemudian juga masih tidak menyampaikan mesej ini dengan jelas.

Negara kita sekarang sedang berperang dengan virus Covid-19 ini dan kerajaan perlu mempunyai strategi komunikasi yang berkesan untuk semua rakyat Malaysia -- ini termasuklah dengan memberitahu rakyat senario terburuk bencana Covid-19 ini.

Amatlah penting untuk Perdana Menteri dan semua Jemaah Menteri mendapatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat yang bahawa mereka ini mampu dan berkebolehan untuk melancarkan dan memenangi perperangan ini. Oleh itu, sebarang cadangan yang baik haruslah dipertimbangkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan tanpa berlengah lagi.

Terdapat banyak cadangan yang baik dan membina telah diberikan hari ini, antaranya adalah seperti berikut:

  1. Cadangan daripada bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Dr Wan Azizah Ismail dan timbalan beliau Hannah Yeoh supaya Kerajaan menyediakan peruntukan tambahan untuk barisan hadapan yang merisikokan nyawa mereka dalam membendung wabak Covid-19 ini; dan
  2. Cadangan daripada seorang peniaga kecil-kecilan Lee Siew Lian dalam sebuah artikel yang diterbitkan dalam Malay Mail Online hari ini yang bertajuk “Malaysians need cash injections now to survive Covid-19 economic disaster”, terutamanya cadangan beliau kepada Menteri Kewangan untuk mengembalikan semua pembayaran PCB dan CP204 yang telah dibayar dalam tempoh 12 bulan yang lepas.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri