Muhyiddin perlu membuat pengumuman langsung setiap hari untuk menyampaikan perkembangan terkini berkenaan wabak Covid-19 kepada semua rakyat Malaysia

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu meneruskan siaran langsung pengumuman beliau setiap hari sehingga 31 Mac, -- atau pun lebih baik lagi, dua kali sehari -- bagi memastikan rakyat Malaysia dapat mengikuti perkembangan terkini mengenai wabak Covid-19.

Siaran langsung kedua Muhyiddin yang berlangsung semalam sepatutnya dilakukan pada tengahari Selasa, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa bagi menunjukkan bahawa bencana ini dalam suatu keadaan yang terkawal.

Siaran langsung beliau malam tadi akan lebih berkesan jika beliau mengambil tanggungjawab terhadap kekhilafannya dalam menguruskan krisis ini yang telah mendatangkan kekecohan dan perasaan panik di kalangan rakyat Malaysia yang berpusu-pusu ke pasaraya untuk membeli bekalan makanan asas, terutamanya pada hari Selasa.

Perkara ini kemudiannya disusuli pula dengan barisan panjang di balai polis oleh mereka yang berhasrat untuk mendapatkan kebenaran untuk pulang ke kampung, yang kemudiannya membawa kepada situasi di mana kerajaan berpatah balik dua kali mengenai isu permit perjalanan antara negeri, penutupan asrama universiti yang telah memaksa para pelajar untuk pulang ke kampung halaman, ketiadaan perlindungan untuk pekerja berpendapatan rendah, ketiadaan persediaan untuk penjagaan anak-anak petugas barisan hadapan, dan kekurangan koordinasi dua hala untuk rakyat Malaysia yang berkerja di Singapura.

Australia telah mengisytiharkan “darurat biokeselamatan kemanusiaan” dan rakyat mereka telah dinasihatkan untuk membatalkan semua perjalanan antarabangsa kerana pandemik koronavirus ini yang mungkin akan berlanjutan sehingga enam bulan. Sesetengah negara lain pula sedang mempersiap-sediakan rakyat mereka -- untuk berhadapan dengan krisis Covid-19 ini dan kejatuhan ekonomi yang menyusuli -- untuk sekurang-kurangnya setahun

Malaysia tidak sepatutnya kalah dalam perjuangan untuk “membendung” krisis Covid-19 ini, tetapi kini kita perlu menang dalam perjuangan untuk “mengurangkan” impaknya. Sekarang ini bukanlah masanya untuk kita mencari kesalahan satu sama lain, tetapi ini adalah waktu untuk kita semua sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kawasan, latar belakang politik mahupun sosio-ekonomi, bersatu sebagai rakyat Malaysia untuk mengatasi bencana Covid-19 ini.

Kesemua jemaah menteri haruslah menjadikan bencana ini sebagai agenda paling penting mereka dan semua menteri haruslah memikirkan apakah yang boleh dilakukan oleh kementerian mereka untuk membantu semua rakyat Malaysia dalam memenangi perjuangan melawan bencana Covid-19 ini.

Di atas sebab ini, saya cadangkan supaya jemaah menteri bermesyuarat setiap hari sehinggalah perjuangan melawan Covid-19 ini selesai dan supaya semua rakyat Malaysia diberitahu mengenai perkembangan terkini bencana ini melalui siaran langsung setiap hari.

Lim Kit Siang Ahli Parlimen Iskandar Puteri